Biasanya tugu dibina untuk memperingati seorang pemimpin, sesuatu peristiwa atau perkara besar yang berlaku. Di Malaysia misalnya, Tugu Negara telah dibina bagi memperingati perjuangan rakyat dan tentera dalam mencapai kemerdekaan.
Walaupun begitu, bukan semua tugu dibina atas tujuan yang sama. Ada beberapa tugu yang mempunyai mesej pelik yang ingin disampaikan. Kami ingin kongsikan beberapa tugu di seluruh dunia yang boleh dikatakan unik dan pelik ini:
10. Carhenge - Alliance, Nebraska, Amerika Syarikat
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin kebanyakan orang biasa mendengar tentang Stonehenge iaitu satu tugu misteri prasejarah yang terletak di Wiltshire County, England. Walau bagaimanapun, di Amerika Syarikat pula terdapat Carhenge.
Tugu pelik ini telah dibina oleh seorang penggiat seni bernama Jim Reinders dan 30 orang ahli keluarganya pada tahun 1987. Dia telah membina tugu yang sama seperti Stonehenge akan tetapi menggunakan kereta lama sebagai bahan binaannya. Jim mula membina tugu ini bagi memperingati kematian bapanya pada tahun 1962 dan kini menjadi salah satu tarikan pelancong di Amerika.
9. Floralis Generica - Buenos Aires, Argentina
Replika bunga yang besar ini telah dibina oleh arkitek Argentina iaitu Eduardo Catalano. Bunga besar ini akan mengembang setiap pagi dengan mencapai 105 kaki lebar dan akan mengucup kembali pada waktu petang dengan ketinggian 175 kaki. Tugu ini terletak di tengah kolam air di hadapan Muzium Hasil Seni dan Alam Semulajadi di sana. Tugu yang menyerupai bunga ini dilengkapi dengan 4 piston besar dan mempunyai berat sebanyak 18 tan. Kelopak bunganya yang diperbuat daripada aluminium yang mempunyai refleksi seperti cermin dan dapat dilihat persekitaran bandar melaluinya. Bunga gergasi ini mengembang dan mengucup setiap hari kecuali pada 25 Mei, 21 September, 24 Disember dan 31 Disember.
8. The Giant Turd - Ponta Grossa, Brazil
Monumen pelik yang dibina ini mempunyai kontroversi yang tersendiri. Ianya dinamakan "cocozao" yang membawa maksud najis besar di dalam bahasa tempatan. Kebanyakan penduduk di Ponta Grossa tidak menyukai rekaan ini dan menganggapnya tidak perlu. Ia sering dijadikan bahan jenaka oleh penduduk daerah lain di Brazil. Pada mulanya monumen ini bukanlah dibina untuk menyerupai najis akan tetapi berpandukan kepada pokok pine dan bentuk batu yang terdapat di daerah ini. Disebabkan muak dikaitkan nama bandar ini dengan najis gergasi, beberapa orang penduduk telah membakarnya pada tahun 2009 dan diarahkan oleh Datuk Bandar untuk menurunkannya.
7. Victoria’s Way - Wicklow, Ireland
Taman di Wicklow ini mempunyai pelbagai tugu pelik yang diimport dari negara India. Di sini terdapat tugu yang menonjolkan karekter dari mitos Greek, Buddha dan beberapa lagi ilham yang pelik. Setiap monumen di sini mempunyai kisah yang tersendiri. Seperti patung separa tenggelam yang menceritakan tentang tukang bot yang membawa roh orang mati untuk menyeberang dari kehidupan kepada kematian menuju kepada Dewa Hades seperti di dalam mitos Greek. Tidak dapat dipastikan dengan tepat apakah maksud yang cuba disampaikan oleh pereka monumen-monumen pelik di sini dan pelbagai versi diceritakan oleh para pengunjung dan penduduk setempat.
6. Totem - Leuven, Belgium
Mungkin ada di anatara anda yang pernah melihat koleksi serangga mati yang diletakkan jarum dan disimpan di dalam kotak. Namun begitu monumen serangga yang dicipta oleh penggiat seni Belgium iaitu Jan Fabre ini sedikit berbeza daripada apa yang anda bayangkan. Terletak Perpustakaan Universiti Sejarah negara itu, seekor kumbang hijau gergasi yang dicucuk badannya dengan ketinggian 23 meter ini pasti membuatkan anda tercengang. Ramai pelancong tidak melepaskan peluang untuk melawat monumen pelik ini jika berkunjung ke nagara kecil Belgium ini.
5. The Traffic Light Tree - London, UK
Awas jika anda memandu di kota London jika menghampiri bulatan Heron Quays yang terletak di Canary Wharf, London ini. Ini kerana di situ terdapatnya monumen pelik lampu isyarat. Perekanya iaitu Peter Vivantin ingin mengenengahkan kesibukan kota besar dunia ini dengan caranya tersendiri. Menjadi tarikan pelancong, monumen ini terdiri lebih dari 10 lampu isyarat yang menyala secara rawak. Jangan sampai ia membuatkan anda keliru pula.
4. Hand of the Desert - Atacam Desert, Chile
Terletak di Gurun Atacam, 75 km dari bandar Antofagasta, gurun tandus yang luas ini mempunyai monumen seperti tangan yang sedang keluar daripadanya. Semakin dekat anda dengannya kelihatan tangan itu semakin besar dan apabila menghampirinya barulah anda sedar bahawa monumen tangan yang sebesar itu seperti kepunyaan seorang gergasi yang tertanam di dalam tanah. Monumen ini adalah hasil kerja seorang tukang ukir iaitu Mario Irarrazabal. Mario adalah seorang pengukir kelahiran Chile yang mempunyi beberapa lagi monumen lain yang dibinanya di negara kelahirannya itu.
3. Saint on a Dead Horse - Prague, Czech Republic
Salah satu tarikan pelancong yang terkenal di Prague ini ialah monumen yang dibina oleh David Cerny iaitu Saint on a Dead Horse. Ianya terletak di Istana Lucerna yang merupakan salah satu dari ratusan istana lama yang tertaburan di Czech Republic ini. monumen yang kelihatan pelik ini menunjukkan kreativiti perekanya yang mempunyai banyak lagi rekaannya di seluruh ibu negeri salah satu negara Eropah Timur ini.
2. The Child Eater of Bern - Bern, Switzerland
Tugu pelik yang menyeramkan ini telah dibina pada tahun 1546 dan tiada rekod dicatatkan mengapa ianya dibina. Pelbagai teori telah tersebar di kalangan penduduk di sana tentang tugu ini yang salah satunya ialah menceritakan tentang Kronos, salah satu tuhan Greek yang memakan anak-anak lelakinya kerana tidak mahu mereka mengambil alih tahta pemerintahannya. Apapun kisah mengenainya, tugu ini berjaya menakutkan kanak-kanak mahupun orang dewasa selama lebih dari 500 tahun lamanya.
1. Crawling Babies - Prague, Czech Republic
Monumen bayi yang sedang merangkak ini merupakan salah satu daripada krativiti ciptaan David Cerny di Stesen Televisyen Zizkov di Prague. Kelihatan beberapa orang bayi sedang merangkak di menara stesen ini. Ianya dibina pada tahun 2000 bagi menunjukkan protes terhadap penjajahan Soviet Union terhadap Czech Republik yang berakhir pada tahun 1989. Monumen yang hampir 10 meter tinggi setiap satunya ini juga dipanggil Miminka Babies di dalam bahasa tempatan. Terdapat juga beberapa patung bayi ini di taman berdekatan Muzium Zizkov di mana kesemua patung ini tidak mempunyai muka, hanya bar kod yang diukir pada bahagian mukanya. Agak pelik dan unik idea dari pengukir seni yang agak kontroversi ini.