vladimir putin memegang obor

Majlis Olimpik Antarabangsa atau International Olympic Committee (IOC) baru saja mengumumkan hasil siasatan mereka terhadap skandal dadah yang berlaku semasa kejohanan Olimpik Musim Sejuk 2014 di Sochi, Russia melibatkan kerajaan Russia sendiri. Hasil siasatan tersebut membuktikan berlakukanya campur tangan kerajaan Russia dalam menggunakan dadah terlarang bagi membantu atlit dari Russia mempertingkatkan keupayaan diri.

Berdasarkan siasatan itu, semua atlit dari Russia tidak akan dibenarkan bertanding di bawah nama negara sendiri dan akan bertanding dengan status 'OAR' atau 'Olympic Athlete from Russia', berikutan penggantungan Russia dalam kesatuan Olimpik sedunia.

Ini termasuklah mengharamkan pegawai sukan dari Russia menyertai pertandingan Olimpik musim sejuk 2018, mengharamkan Menteri Sukan Russia dan Timbalannya daripada mana-mana acara Olimpik selepas ini, menggantung keahilan Presiden Majlis Olimpik Russia, Alexander Zhukov serta meletakkan beberapa sekatan pada atlit Russia yang bakal bertanding menggunakan status OAR.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Panjang kisahnya. Semuanya bermula dengan Pengarah kepada makmal terbesar anti dadah Russia yang bernama Grigory Rodchenkov.

KISAH GRIGORY RODCHENKOV

ini wajah dr grigory

Pada temasya sukan Olimpik musim sejak 2014, kerajaan Russia mencipta beberapa kaedah dalam memastikan atlit mereka memenangi pungutan pingat terbanyak. Dr. Rodchenkov bertanggungjawab membina dadah pemangkin atlit yang diberikan kepada kebanyakan atlit Russia. Hasil daripada kegiatan itu, Russia mengungguli beberapa acara terbesar sukan tersebut dan seterusnya dinobatkan juara temasya sukan itu.

Tidak ada seorang pun atlit dari Russia ditangkap mengambil dadah terlarang semasa ujian dalam temasya tersebut hasil taktik licik Dr. Rodchenkov serta beberapa orang lagi pegawai perisikan Russia, menukarkan sampel air kencing atlit yang mereka tahu tercemar dadah dengan sampel bersih.

Sebuah lubang rahsia kecil telah dibuat di dalam makmal rasmi anti dadah temasya Olimpik tersebut, yang bersambung dengan sebuah bilik stor bernombor 124 di belakangnya. Pada waktu bekerja, sebuah almari akan diletakkan bagi mengelakkan lubang itu dikesan.

Bilik stor sementara itu menjadi markas rahsia sementara Dr. Rodchenkov ketika temasya berjalan. Setiap malam. Dr. Rodchenkov akan menerima senarai atlit Russia yang perlu ditukar sampel air kencingnya dan akan menunggu di makmal rahsianya, sementara seorang pegawai risikan Russia akan memecah masuk ke dalam makmal rasmi, untuk menghulurkan sampel-sampel atlit Russia yang perlu ditukarkan melalui lubang kecil itu.

bagaimana bilik rahsia dibina di sebelah makmal rasmi

Botol-botol itu akan diserahkan kepada seorang lagi pegawai risikan Russia oleh Dr. Rochenkov bagi membukanya. Pegawai risikan itu akan membawanya ke satu lokasi yang tidak didedahkan. Botol tersebut direka oleh syarikat Berlinger dari Switzerland, mempunyai sistem sekuriti yang menunjukkan kesan tertentu jika botol tersebut telahpun dibuka, selepas air kencing diisi ke dalamnya.

Tidak beberapa lama selepas itu, Dr. Rodchenkov akan menerima semula botol tersebut dalam keadaan terbuka dan kosong, tanpa berlaku sebarang kecacatan pada rekaan sekuritinya.

Pasukannya akan bekerja dalam bilik stor 142 menggunakan hanya sebiji lampu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan. Mereka akan membersihkan botol-botol, dan mengisi semula botol dengan air kencing atlit yang telah mereka ambil lebih awal sebelum temasya sukan bermula. Garam dan air akan ditambah pada sampel untuk memastikan tidak ada perbezaan ketara di antara kedua-dua sampel yang akan dikembalikan dalam makmal sebenar.

Sampel A untuk ujian serta merta sementara sampel B pula akan disimpan selema 10 tahun oleh badan ujian, jika berlaku sebarang keraguan tentang prestasi tersebut. Dua sampel akan dikembalikan ke bilik storan dalam makmal melalui lubang rahsia kepada pegawai risikan Russia yang sedang menunggu.

botol berlinger untuk ujian air kencing

Menurut pengakuan Dr. Rodchenkov, dia telah pun menerima senarai atlit yang perlu dilindungi dua minggu sebelum temasya sukan itu berlangsung dengan nama atlit serta senarai acara yang disertai dinyatakan. Arahan yang diterima beliau, jika ada mana-mana atliti memenangi sebarang acara, dia bertanggungjawab menukarkan sampel air kencing atlit tersebut.

Apabila disoal siasat bagaimana kerajaan Russia mempunyai akses kepada makmal rasmi serta bagaimana operasi itu dirancang sepenuhnya, Dr. Rodchenkov yang hanya bertanggungjawab dalam operasi rahsia di makmal gagal membantu memberi penjelasan.

Atas usaha beliau 'membantu' Russia memenangi temasya tersebut, Dr. Rodchenkov  dianugerahkan anugerah Order of Friendship oleh Presiden Vladimir Putin.

RUSSIA HILANG KEMENANGAN OLIMPIK

makmal anti dadah di moscow

Nasib Dr. Rodchenkov menjunam selepas laporan siasatan dikeluarkan IOC. Selepas skandal ini terdedah pada tahun 2014, siasatan berjalan bertahun lamanya mengakibatkan kebanyakan pingat emas yang dimenangi Russia ditarik balik sedikit demi sedikit. Norway diisytiharkan sebagai pemenang baru temasya tersebut pada 24 November 2017 selepas 2 pingat emas Russia ditarik balik pada tarikh tersebut.

Dr. Rodchenkov dipaksa untuk meletakkan jawatan oleh kerajaan Russia selepas didapati mendedahkan kisah sebenar tentang apa yang berlaku. Ini memaksa Dr. Rodchenkov lari menyelamatkan diri ke Los Angeles, Amerika Syarikat. Dua orang pegawai yang sama-sama berkhidmat dengan Dr. Rodchenkov pula tiba-tiba meninggal dunia atas sebab-sebab tertentu, tidak beberapa lama selepas Dr. Rodchenkov berjaya keluar daripada negaranya.

MENGAPA SKANDAL INI BERLAKU?

bender olimpik dan russia

Ketika diajukan soalan berkenaan mengapa sampai begitu sekali kerajaan Russia mencipta kaedah penipuan sebegitu rupa untuk temasya Olimpik, ujar beliau tekanan ke atas pegawai-pegawai serta mereka yang terlibat terlalu besar.

Temasya di Sochi merupakan satu peluang kepada Russia untuk membuktikan mereka adalah kuasa besar dunia dengan berbillion wang dibelanjakan untuk menukarkan Sochi kepada lokasi sukan berprestij. Vladimir Putin sendiri terlibat secara langsung dalam permohonan hak tuan rumah serta perancangan perjalanan temasya.Berikutan pencapaian kurang memberangsangkan pada temasya sebelum itu, kerajaan Russia mempunyai tekanan untuk memastikan atlit mereka mampu menguasai kejohanan itu yang dianjurkan dalam negara mereka sendiri.

Dilantik sebagai pengarah makmal anti dadah di Moscow semenjak 2005, Dr. Rodchenkov diminta untuk mencipta kaedah bagi meningkatkan prestasi atlit menggunakan dadah tanpa dikesan.

Dadah yang beliau cipta mampu memulihkan atlit lebih cepat selepas latihan dan memaksimakan prestasi atlit semasa kejohanan sebenar, dengan kesemua dadah yang siap dibancuh, diberikan pada pegawai-pegawai kementerian sukan Russia bagi diedarkan pada atlit. Ketika ditanyakan adakah beliau menyesal atas tindakannya, Dr. Rodchenkov  menjawab semua itu adalah perkara yang perlu beliau lakukan atas tanggungjawab kerjanya, bagi memastikan dana operasi makmalnya terus datang dari Kremlin.

Kesan skandal ini amat besar pada pembangunan sukan di Russia. Hanya 278 atlit daripada 389 senarai penuh atlit Russia dibenarkan bertanding dalam temasya Olimpik di Rio de Jeneiro, Brazil pada tahun 2016. Russia dilarang oleh IOC daripada menyertai pertandingan temasya Paralimpik 2016. Terdapat bukti-bukti kukuh menyabitkan kerajaan Russia terlibat dalam memberikan dadah terlarang pada atlit-atlit kurang upaya penglihatan, dalam acara angkat berat.

Wakil jurucakap kerajaan Russia menafikan semua tuduhan dalam skandal ini dan menyifatkan segala tuduhan yang timbul berniat jahat, dalam mencemarkan imej kerajaan Russia.

Persoalan yang tidak dapat dijawab sehingga kini walaupun siasatan sudah selesai adalah berkenaan misteri bagaimana mereka yang terlibat, berjaya membuka botol-botol sampel yang selama ini dipercayai 'temper proof.' Dr. Rodchenkov sendiri tidak tahu apa kaedah yang digunakan kerajaannya dalam membuka botol tersebut, tanpa menjejaskan sistem sekuritinya.

Rujukan

NYTimes


tags : , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)