Kelahiran kembar merupakan sesuatu yang jarang berlaku. Purata kelahiran kembar di sesebuah negara adalah sekitar 13 dalam 1000 kelahiran. Akan tetapi, terdapat peningkatan dalam kelahiran kembar sejak kebelakangan ini disebabkan oleh rawatan kesuburan.

Peningkatan ini bukan sahaja menyaksikan kelahiran kembar dua malah juga peningkatan dalam kelahiran kembar tiga, kembar empat dan seterusnya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa bandar dan perkampungan di dunia ini yang mempunyai bilangan kelahiran kembar yang lebih tinggi berbanding tempat lain di dunia. Berikut adalah senarai beberapa tempat dengan kelahiran kembar paling tinggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

7. Hung Loc - Vietnam

kembar hung loc vietnam

Sebuah komuniti kecil yang terletak di wilayah selatan Dong Nai, Vietnam, ini telah digelar sebagai "Kampung Kembar". Menurut salah seorang ketua kampung di kawasan itu, Encik Tran Dinh Danh, Hung Loc mempunyai sekitar 70 pasang kembar yang menetap di situ.

Khabar angin mengatakan bahawa kelahiran kembar yang tinggi di situ adalah disebabkan beberapa sumber air telaga yang digunakan oleh penduduk tempatan.

Encik Danh berkata bahawa sekitar tahun 80-an, penduduk tempatan sering menggunakan air daripada sungai dan kolam. Bermula daripada awal 1990-an, penduduk mula menggunakan air telaga dan sejak itu kelahiran kembar dua dan kembar tiga menunjukkan peningkatan drastik. (sumber)

6. Buzim - Bosnia 

kembar buzim

Buzim merupakan sebuah bandar terpencil di barat laut Bosnia dan merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong di negara itu. Ia dikenali sebagai "Bandar Kembar" kerana mempunyai kelahiran kembar yang tinggi berbanding mana-mana kawasan di Bosnia dan negara lain.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan terdapat lebih daripada 200 set pasangan kembar di Buzim. Seorang wartawan tempatan iaitu Nedzib Vucelj menyedari fenomena peningkatan kelahiran kembar di bandarnya apabila isterinya sendiri, Emira melahirkan anak kembar semasa perang saudara sedang berlaku pada 1992-1995.

Menurut seorang doktor di hospital tempatan, kelahiran kembar di Buzim adalah sekitar 12 daripada 1000 kelahiran. Walau bagaimanapun, rekod perubatan ini tidak begitu lengkap kerana banyak lagi kelahiran kembar tidak direkodkan berikutan konflik yang berlaku di negara itu. (sumber)

5. Velikaya Kopanya - Ukraine

kembar velikaya kopanya

Velikaya Kopanya adalah sebuah kampung yang terletak di barat daya wilayah Zakarpattia yang mempunyai kurang daripada 4000 orang penduduk. Akan tetapi, kampung ini menjadi terkenal kerana mempunyai sekitar 61 pasangan kembar yang dilahirkan di sini.

Penduduk tempatan percaya peningkatan kelahiran kembar yang mendadak ini adalah disebabkan oleh sumber air yang digunakan mereka. Air yang dikatakan mempunyai khasiat khas itu bukan sahaja menyebabkan kelahiran kembar meningkat di kalangan manusia, malah kelahiran kembar juga meningkat di kalangan haiwan peliharaan seperti lembu.

Seorang wakil rakyat tempatan, Maryana Savka, berkata bahawa peningkatan kelahiran kembar itu berakhir pada tahun 2004. Sejak itu, kampung Velikaya Kopanya hanya mempunyai sekitar tiga kelahiran kembar setahun. (sumber)

4. Jiangjin - China

kembar jiangjin

Kampung Jiangjin di Daerah Chongqin, China, mula menjadi tajuk berita selepas mencatatkan jumlah bilangan kelahiran kembar yang tinggi. Kampung yang hanya didiami oleh 367 buah keluarga ini mempunyai 39 set kembar dengan kembar paling tua berusia 89 tahun, manakala paling muda ialah berusia 9 bulan.

Selain kelahiran kembar, satu lagi perkara yang menarik perhatian umum ialah ayam yang dibela di kampung ini. Ayam di sini kerap menghasilkan telur yang mempunyai dua telur kuning. Ini bermakna telur itu berkemungkinan akan menetaskan anak ayam kembar.

Akan tetapi, fenomena kelahiran anak kembar kini semakin meningkat di China. Ia mungkin disebabkan kerana para wanita di sana mempunyai akses mudah untuk mendapatkan ubat-ubatan dan rawatan kesuburan berbanding sebelum ini. (sumber)

3. Kodinhi - India

kembar kodinhi

Kodinhi, sebuah kampung terpencil di daerah Malappuram, Kerala, terus menjadi misteri kepada para penyelidik. Ini kerana kampung ini mempunyai bilangan kelahiran kembar tertinggi di India.

Menurut anggaran, terdapat sekurang-kurangnya 400 pasangan kembar di kampung yang didiami oleh 2000 buah keluarga. Kampung Kodinhi digelar sebagai "Kampung Kembar" kerana mempunyai purata kelahiran kembar sekitar 45 dalam 1000 kelahiran berbanding negara India yang hanya mempunyai purata 9 daripada 1000 kelahiran.

Walaupun ramai mengatakan bahawa ia adalah disebabkan faktor genetik, ada juga spekulasi bahawa unsur tertentu di udara dan punca air di kampung itu yang menyebabkan fenomena kelahiran kembar yang tinggi ini.

Terdapat juga laporan bahawa wanita yang telah berkahwin dengan penduduk dari Kodinhi dan juga mereka yang berpindah ke kampung itu telah mengalami kelahiran bayi kembar. Begitu juga penduduk kampung itu yang telah berpindah ke kawasan lain. (sumber)

2. Igbo-Ora - Nigeria

kembar igbo ora

Igbo-Ora merupakan salah satu bandar yang unik di Nigeria. Walaupun Eropah mencatatkan 16 kembar untuk setiap 1000 kelahiran dan Amerika pula kira-kira 33 kembar dalam 1000 kelahiran, statistik dari kajian oleh pakar sakit puan British, Patrick Nylander, mencatatkan purata 50 kembar dalam 1000 kelahiran di bandar ini.

Dalam komuniti di Igbo-Ora ini, kelahiran kembar disambut dan diraikan sejak beberapa generasi kerana mereka percaya ia adalah hadiah khas daripada Tuhan. Kebanyakan wanita di bandar ini mengharapkan kelahiran kembar kerana ia merupakan tuah besar.

Penyelidikan kelahiran yang dijalankan di Universiti Pengajian Hospital Lagos mencadangkan kehadiran sejenis bahan kimia yang tinggi ditemui dalam diet yang masyarakat tempatan di Igbo-Ora seperti ubi kayu dan beberapa jenis tumbuhan lain mungkin menyumbang kepada kelahiran kembar yang tinggi di situ. (sumber)

1. Candido Godoi - Brazil

kembar candido godoi

Bandar Candido Godoi di Brazil yang terletak berhampiran dengan sempadan Argentina ini mempunyai satu fenomena yang ganjil dan misteri. Walaupun rantau di sekitarnya mempunyai kadar purata 18 kembar dalam 1000 kelahiran, bandar ini mempunyai purata yang jauh lebih tinggi iaitu 100 kembar dalam 1000 kelahiran.

Bandar yang dikenali sebagai "Bandar Petani dan Bandar Kembar" ini juga terkenal kerana haiwan peliharaan seperti lembu juga menunjukkan peningkatan dalam kelahiran anak lembu kembar.

Banyak berdebatan tentang fenomena yang terjadi ini. Ada penduduk tempatan yang mengatakan ia berpunca daripada sumber air yang mereka gunakan. Akan tetapi, terdapat penjelasan yang lebih gelap tentang mengapa kelahiran kembar begitu tinggi di bandar ini.

Antara teori paling diperdebatkan ialah tentang lawatan seorang Doktor Nazi yang terkenal iaitu Josef Mengele yang bertanggungjawab melakukan kajian di Auschwitz bagi menghasilkan bangsa Aryan untuk kerajaan Nazi.

Dia yang menyamar sebagai seorang doktor haiwan bernama Rudolph Weiss mula dilaporkan melawat Bandar Candido Godoi sekitar awal 1960-an ketika menjadi pelarian sekitar negara Argentina, Paraguay dan Brazil. Doktor Nazi itu dilaporkan memberikan rawatan percuma kepada para wanita dan mendakwa dirinya berjaya menghasilkan persenyawaan sperma buatan manusia.

Apa yang menambahkan lagi misteri kepada bandar ini ialah kebanyakan kembar yang dilahirkan di sini mempunyai rambut berwarna perang dan anak mata berwarna biru, sesuatu yang agak berbeza berbanding penduduk lain di Brazil. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)