Penjajahan Jepun di Tanah Melayu merupakan satu peristiwa hitam yang sering diperkatakan sehingga hari ini. Ia merupakan satu siri pertempuran yang singkat tetapi sengit. Ketika berlakunya penjajahan inilah Tanah Melayu berubah pemerintah daripada British kepada Jepun.

Seorang jeneral Jepun bernama Tomoyuki Yamashita telah memimpin Tentera Darat ke-25 Jepun menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941.

BESARKAN TEKS     A-  A+

tamoyuki yamashita

Tomoyuki Yamashita

Kerana kejayaannya menakluk Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura dalam masa 70 hari, Perdana Menteri British, Winston Churchill, menggelarkan kejadian ini sebagai "bencara terburuk" dalam sejarah ketenteraan British.

Oleh kerana kejayaan itu jugalah, Tomoyuki Yamashita digelar sebagai "Harimau Malaya". Walau bagaimanapun, tahukah anda pada tempoh waktu yang sama ada seorang lagi pemuda Jepun yang digelar sebagai "Harimau Malaya" bernama Tani Yutaka? Berikut adalah kisah menarik mengenainya.

Harimau Malaya berbangsa Jepun

ahli keluarga tani yutaka

Keluarga Yutaka

Tani dilahirkan di Fukuoka, Jepun pada tahun 1910. Ketika berumur tidak sampai setahun, dia dan keluarganya telah berpindah ke Terengganu. Sementara Tani membesar di Tanah Melayu, bapanya berjaya membuka sebuah perniagaan gunting rambut.

Walaupun berbangsa Jepun, Tani yang membesar bersama-sama penduduk tempatan gemar mengenakan pakaian tradisi seperti baju melayu, sampin dan songkok. Menurut beberapa sumber, Tani Yutaka telah memeluk agama Islam dengan nama Mohd Ali bin Abdullah.

Ketika berumur 21 tahun, Tani telah kembali semula ke Jepun untuk memenuhi tanggungjawabnya dalam perkhidmatan ketenteraan yang diwajibkan bagi semua rakyat kelahiran Jepun. Pada ketika itu jugalah merupakan kali terakhir dia melihat adik perempuannya, Shizuoka Yutaka. 

rumah kedai milik keluarga tani yutaka

Rumah kedai milik keluarga Yutaka

Tahun 1930-an, permusuhan terhadap masyarakat Jepun yang tinggal di Tanah Melayu semakin meningkat. Dengan tentera Jepun yang menyerang China dalam insiden Manchuria atau Mukden pada tahun 1931, masyarakat Cina yang lebih besar telah menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap minoriti Jepun di Tanah Melayu.

Mereka memulaukan perniagaan-perniagaan milik bangsa Jepun, melakukan keganasan dan merusuh di jalanan. Pada satu kejadian keganasan yang berlaku pada November 1932, premis perniagaan milik keluarga Tani Yutaka telah dibakar manakala adiknya Shizuoka pula telah dirogol dan dibunuh.

Sekembalinya Tani ke Tanah Melayu, dia kecewa dengan ketidakcekapan kerajaan kolonial British mentadbir dan menguruskan permasalahan yang berlaku.

Ketua kongsi gelap Geng Harimao

tani yutaka dan shizouka adiknya yang mati dibunuh

Tani Yutaka dan adinya Shizouka (paling kanan)

Dia menjadi bertambah marah apabila pelaku keganasan yang menyebabkan adiknya terbunuh itu telah dibebaskan oleh sistem pengadilan British ketika itu. 

Tani memutuskan untuk bertindak sendiri. Dia telah menyertai kumpulan jenayah bersama dengan penyamun Melayu-Siam dan menjadi pemimpin kumpulan yang dinamakan Geng Harimao. Menurut beberapa sumber yang berbeza, Kumpulan Harimao itu mempunyai kekuatan antara 50,000 hingga 300,000 orang ahli.

Bermula dari tahun 1933, dia dan kumpulannya bermula dengan merompak di sekitar Terengganu dan Kelantan. Ketika itu, Tani Yutaka mendapat reputasi seperti Robin Hood.

tani yutaka perisik jepun di terengganu

Tani Yutaka (paling kiri)

Dia dan kumpulannya merompak daripada ahli perniagaan Cina yang kaya (bersekongkol dengan British) dan akan mengedarkan hasil rompakan mereka kepada orang Melayu miskin yang tinggal di luar bandar.

Tani Yutaka dan kumpulannya ditakuti oleh kaum Cina dan penjajah British ketika itu. Geng Harimao terus melakukan jenayah mereka di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura dari awal 1930-an hingga 1940-an.

Pembela, penjenayah dan perisik

fujiwara iwaichi bos kepada tani yutaka

Fujiwara Iwaichi

Beberapa bulan sebelum Tanah Melayu diserang pada 1941, Jepun menubuhkan sebuah agensi yang dinamakan Fujiwara Kikan untuk melancarkan operasi perisikan tentera mereka.

Ia ditubuhkan dan diketuai oleh Mejar Fujiwara Iwaichi yang merupakan Ketua Unit Perisikan Batalion ke-15 Tentera Imperial Jepun. Mejar Fujiwara cuba untuk mempengaruhi sultan-sultan di Tanah Melayu agar bekerjasama dengan Jepun dan menentang pihak British.

Tani mula menyertai agensi perisikan itu dan membantu Mejar Fujiwara dalam mengumpul maklumat dan menjalankan peperangan gerila terhadap penjajah British. 

marai no tora kisah tani yutaka difilemkan

Filem Marai no Tora (1943) 

Ketika penghujung penaklukan Jepun di selatan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura, Tani Yutaka telah menghidap malaria ketika berada dalam hutan di Johor pada Februari 1942. Dia kemudiannya telah meninggal dunia pada 17 Mac 1942 di salah sebuah hospital di Singapura.

Pertama kalinya kisah mengenai Harimau Malaya itu diterbitkan oleh Yomiuri Shimbun dalam sebuah akhbar Jepun pada 3 April 1942. Mejar Fujiwara yang melihat kisah Tani sebagai satu propaganda yang baik telah menegaskan agar kisah Harimau Malaya itu difilemkan.

Kisah hidup Tani Yutaka kemudiannya telah digambarkan dalam beberapa buah novel dan filem seperti Marai no Tora (1943) dan Harimau (1989). Apa yang menariknya ialah, filem yang dihasilkan di Jepun itu berlatarbelakangkan Tanah Melayu dengan para pelakonnya memakai pakaian tradisional kita. Malah, mereka turut menyanyikan beberapa lagu dalam Bahasa Melayu seperti Rasa Sayang dan Terang Bulan.

Rujukan:

1. Utusan

2. Malaya Black and White

3. Tak Usah Risau




Hakcipta iluminasi.com (2017)