Pada 10 Oktober 2006 di Handan, China, ketika hari semaking gelap, pengurus peti besi Bank Pertanian China berada dalam keadaan sangat gementar dan takut. Dia berasa seperti sesuatu yang tidak kena.

Namun, terdapat 2 orang pengawal keselamatan yang sedang meronda di kawasan sekitar, membuatkannya berasa lebih selamat. 

Sebagai seeorang pengurus peti besi, dia mahu memastikan dengan sendiri bahawa semuanya dalam keadaan selamat. Dia memeriksa bilik percetakan dan konferens, tiada kelibat sesiapa di sana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kemudian, dia masuk ke dalam peti besi dan semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Wang di dalamnya dalam keadaan baik dan sistem keselamatan bank terpadam.

Malah, semuanya berada dalam keadaan seperti yang dia rancang. Pengurus peti besi itu mula mengira wang dan memasukkan ke dalam beg, lalu meninggalkan peti besi dengan pantas.

Bagi Ren Xiofeng, menjadi orang yang bertanggungjawab ke atas peti besi adalah satu kelebihan, membuatkan rompakan Bank Pertanian China menjadi lebih mudah.

ren xiaopeng rompakan bank terbesar china

Namun dia perlu pantas kerana masih berada dalam bahawa. Dengan berhati-hati, Ren berjalan ke keretanya bersama beg yang dipenuhi wang tunai.

Tiba-tiba, cahaya terang mengenai wajahnya. 2 orang pengawal keselamatan yang meronda ternampak kelibatnya. Mereka melihat ke arah beg yang dibawa Ren dan bertanyakan sama ada dia berjaya mendapatkan wang tersebut.

Ren sebenarnya sangat bijak kerana mendapatkan bantuan daripada 2 orang pengawal keselamatan, kerana ia membuatkan dia berasa lebih selamat.

Dia memasukkan beg tersebut ke dalam kereta dan tidak cuba untuk melarikan diri, kerana waktu kerjanya masih belum tamat. 

Keesokan harinya di rumahnya, Ren berasa sangat lega. Dia kini mempunyai want tunai sebanyak 200,000 Yuan, yang mana tidak begitu banyak dan bersamaan hampir RM120,000.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah pengakhiran bagi rancangan liciknya. Pada hari yang sama, Ren membeli tiket loteri dalam jumlah yang sangat banyak di seluruh bandar Handan.

tiket loteri china

Dia menggunakan wang yang dicuri untuk membeli tiket loteri dengan harapan memenangi hadiah yang cukup besar, yang membolehkannya mengembalikan wang yang hilang dari peti besi bank sebelum sesiapa menyedarinya.

Ideanya adalah wang yang dimenanginya melebihi wang yang dicuri, memberikan keuntungan kepadanya. Namun, ini merupakan satu idea yang bodoh.

Ini kerana tiket loteri direka untuk membuatkan pemain rugi lebih banyak daripada yang dimenangi. 

Peluang untuk menang lebih daripada apa yang anda belanjakan adalah tersangat rendah. Jika ia begitu mudah, semua orang akan memenanginya.

Namun, Ren tidak menyedari hal ini. Apa yang membuatkan rompakan ini satu rompakan yang paling dahsyat adalah walaupun kebarangkalian untuk menang sangat tipis, tetapi Ren menang.

Rancangannya berjalan dengan lancar di mana Ren berjaya mengembalikan 200,000 Yuan ke dalam peti besi dan masih mempunyai baki untuknya.

Tidak berpuas hati dengan kemenangan pertama

ren xiaofeng merompak bank pertanian china 2

(Ren Xiaofeng)

Bagi sesetengah orang, mereka sudah cukup berpuas hati, namun tidak bagi Ren.

5 bulan kemudian pada Mac 2007, berikutan kejayaannya, Ren berasa sudah sampai masanya untuk "pusingan kedua".

Kali ini, cita-citanya adalah lebih besar kerana Bank Pertanian China adalah antara salah satu daripada 4 bank terbesar di China, jadi dia mahukan lebih.

Terlalu besar sehinggakan Ren tidak mampu melakukannya berseorangan. Walaupun dia mempunyai rakan jenayah iaitu 2 pengawal keselamatan bank, namun mereka hanyalah berfungsi sebagai peninjau.

Dia memerlukan kakitangan bank yang boleh membantunya memindahkan wang dan melindungi aktivitinya daripada kakitangan lain, sekurang-kurangnya sehingga dia berjaya mengembalikan wang yang diambil.

Wang tunai 200,000 Yuan sebelumnya hilang tanpa disedari sesiapa, jadi jika kali ini Ren mahu "meminjam" separuh daripada wang yang ada di dalam peti besi tersebut, pasti ada yang dapat mengesannya.

Hanya ada seorang kakitangan sahaja yang bermain di minda Ren dan individu yang dimaksudkan adalah Ma Xiangjing, seorang lagi pengurus peti besi bank tersebut.

Ini kerana Ma adalah satu-satunya orang yang akan menyedari kehilangan wang dalam peti besi, jadi Ren cuba merekrut rakan sekerjanya itu.

Berjaya merekrut rakan sekerja

ma xiangjing merompak bank pertanian china

(Ma Xiangjing)

Ia merupakan satu risiko yang besar kerana Ma mungkin enggan menyertainya dan membuat laporan. Namun, Ren bernasib baik kerana Ma bersetuju dengan rancangan tersebut.

Maka bermulalah rompakan kedua dan kali ini, ia berlangsung lebih lama.

Sepanjang bulan Mac dan April, Ren dan Ma secara senyap menyelinap keluar wang tunai lebih daripada 2 tan yang bersamaan dengan 33 juta Yuan atau RM17.5 juta pada ketika itu.

Disebabkan terlalu banyak wang yang diambil dari bank, ia membuatkan beberapa kakitangan mula menyedarinya. Ini sangat berbahaya kerana bila-bila masa sahaja perkara ini boleh sampai ke pihak polis.

Namun sebagai pengurus peti besi, Ren dan Ma dapat mencipta alasan sementara yang mana dipercayai oleh kakitangan lain.

Mereka memberitahu bahawa kesilapan seperti itu berlaku dari masa ke masa yang mana bukanlah satu masalah yang serius dan wang tersebut akan kembali seperti biasa.

rompakan bank pertanian china paling besar dalam sejarah

Dan sudah tentu, mereka memerlukan masa yang lama kerana perlu menggores semua tiket loteri yang dibeli dengan wang sebanyak itu.

Untuk tempoh beberapa minggu, kedua-dua pengurus peti besi ini membeli dan menggores sejumlah tiket yang tidak pernah dilakukan sesiapa sebelum ini.

Dan apa yang mengejutkan Ren dan Ma adalah, kali ini, tiket loteri berfungsi seperti mana yang ia sepatutnya berfungsi iaitu merugikan pemain.

Pihak polis menjadi semakin curiga dan sangsi kerana masalah wang tunai dalam peti besi tersebut berterusan. Wang tunai dalam peti besi tidak kembali seperti yang dikatakan Ren dan Ma.

Disebabkan terdesak, kedua-dua mereka mendapat satu jalan penyelesaian yang sangat bijak, iaitu untuk melakukan rompakan ketiga.

Dan kali ini, rancangan mereka harus berhasil. Untuk rompakan ketiga, mereka mencuri 18 juta yuan bersamaan dengan RM9.4 juta dan membeli lebih banyak tiket loteri.

Rompakan ketiga menentukan segalanya

kisah rompakan bank paling dahsyat di china

Tidak seperti sebelumnya, mereka harus membeli dan menggores tiket dengan lebih cepat dan tidak boleh membuang masa berminggu-minggu.

Ren dan Ma menghabiskan kesemua wang yang ada untuk membeli tiket hanya dalam masa sehari dan menggores sehingga jari mereka berdarah.

Jika anda tertanya-tanya bagaimana pembelian tiket loteri yang tersangat banyak ini dilakukan tanpa menimbulkan syak wasangka, ini kerana pada ketika itu walaupun China sedang beralih ke sistem elektronik, namun wang tunai masih menjadi "raja".

Dan di penghujung hari yang sangat memenatkan, Ren dan Ma terpaksa berhadapan dengan realiti yang pahit.

Daripada 51 juta Yuan atau RM26.9 juta yang digunakan untuk membeli tiket, mereka hanya berjaya memperoleh pulangan sebanyak 98,000 Yuan atau RM51,800 sahaja.

Ini bermakna bahawa peratusan kemenangan yang dicatatkan oleh mereka hanyalah 0.19%. Pada ketika ini, Ren dan Ma tahu mereka berhadapan dengan masalah yang tersangat besar.

Pada masa yang sama, bandar Handar dilaporkan mencatakan penjualan tiket loteri yang terbesar dalam sejarah.

Pada 16 April 2007, pengurus cawangan Bank Pertanian China mengetahui tentang kehilangan tersebut dan melaporkan kepada pihak polis.

Pemburuan besar-besaran oleh polis China

bank pertanian china

Pihak polis dengan segera melakukan pencarian ke atas Ren dan Ma bagi apa yang kemudiannya disahkan sebagai rompakan bank terbesar dalam sejarah China.

Akan tetapi, kedua-dua mereka telah meninggalkan bandar Handan.

Walaubagaimanapun, pihak polis berjaya menangkap pasangan yang lain, yang merupakan watak pembantu rompakan tersebut iaitu 2 pengawal keselamatan bank terbabit.

Kedua-dua pengawal tersebut sangat berang dengan Ren dan Ma yang tidak memberikan amaran kepada mereka. Kedua-dua perompak ini hanya memikirkan tentang keselamatan mereka dengan membeli identiti palsu sebelum menghilangkan diri.

Ini mendorong kepada pemburuan besar-besaran di seluruh negara dengan kementerian keselamatan awam China memasukkan nama kedua-dua lelaki itu dalam senarai paling dikehendaki mereka.

Malah, wang ganjaran ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Kedua-dua mereka melarikan diri ke arah yang bertentangan di mana Ren menghala ke wilayah Jiangsu manakala Ma pula ke ibu negara, Beijing.

kisah rompakan bank paling dahsyat di china 2

Wajah mereka dipaparkan dalam semua berita yang mana merupakan satu masalah besar bagi Ma yang berada di bandar besar seperti Beijing.

Dan tak menghairankan bahawa 2 hari kemudian, Ma berjaya diberkas. Dengan ini, hanya tinggal dalang rompakan ini sahaja yang mana sedang menghala ke barat daya China iaitu bandar Liangyungang.

Sebagai individu paling dikehendaki di China, mengembara sejauh 650 kilometer dengan menaiki teksi bukanlah satu idea yang bijak dan Ren menyedari perkara ini lalu dia membeli sebuah kereta Honda hitam yang dipastikannya mempunyai sunroof.

Selepas membeli kereta tersebut dari penjual kereta yang mencurigakan, Ren menyedari bahawa dia perlu mencari satu tempat untuk bersembunyi.

Menggunakan identiti palsunya, Ren menyewa sebuah apartment mewah.

ren xiaofeng menaiki teksi menghala ke jiangsu

Membeli kereta dan menyewa apartment mewah membuatkan simpanan Ren menjadi berkurangan, seolah-olah dia tidak mempunyai rancangan jangka masa panjang.

Namun sekurang-kurangnya untuk ketika itu, dia harus bersembunyi sehinggalah semuanya menjadi reda. Dan tanpa pengetahuan Ren, semuanya telah berakhir kerana pihak polis tahu di mana lokasinya.

Rupa-rupanya, dengan keadaan wajahnya yang kusut masai dan tidak bercukur selama beberapa hari, serta membayar semua yang dibelinya menggunakan wang tunai merupakan satu tindakan yang mencurigakan.

ren xiaofeng diberkas pihak polis

Malang bagi Ren, dia tidak menyedari tentang perkara ini yang membuatkannya dia berjaya ditangkap.

Malah, bukan hanya seorang sahaja yang melaporkan kelibat Ren kepada pihak polis, tetapi 3 orang.

Mereka adalah pemandu teksi yang dinaiki Ren, penjual kereta Honda dan juga tuan apartment yang disewa Ren.

Setelah semuanya diberkas, pemburuan itu pun berakhir.

2 pengawal keselamatan bank tersebut didakwa kerana menyalahgunakan dana awam dan dijatuhkan hukuman sehingga 5 tahun penjara.

ren xiaofeng dan ma xiangjing dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan merompak bank pertanian china 2

(Ren Xiaofeng dan Ma Xiangjing dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan merompak Bank Pertanian China)

Manakala Ren dan Ma pula didakwa melakukan penyelewengan dan ketika perbicaraan, pihak pendakwa raya mendesak hukuman yang paling keras ke atas mereka.

Ren yang pada ketika itu sudah bertaubat dan cuba untuk menawarkan nasihat tentang bagaimana bank tersebut boleh dapat mencegah kecurian seperti itu daripada berlaku di masa hadapan.

Namun malang baginya, semuanya telah terlambat. Kedua-dua perompak bank paling besar dalam sejarah China itu dijatuhkan hukuman mati.

Setahun kemudian pada 1 April 2008, Ren Xiaofeng, 34, dan Ma Xiangjing, 37, dihukum mati.

Rujukan:

1. Medium

2. Ozy

3. Kebento

4. Marker




Hakcipta iluminasi.com (2017)