Di Malaysia, rangkaian restoran Kentucky Fried Chicken mudah ditemui di merata tempat. Kita sendiri pun sudah mengetahui tentang wajah ikonik pengasas dan maskot restoran itu iaitu Colonel Sanders, penghias semua produk keluaran restoran tersebut.
Satu kisah yang jarang diceritakan berkenaan apa yang berlaku di sebalik tabir pengendalian KFC melibatkan Colonel Sanders sendiri, adalah kegagalan beliau untuk mengusahakan sebuah restoran baru bagi mengekalkan rasa asli ayam goreng beliau.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini adalah kisah bagaimana Colonel Sanders yang dikenali ramai, gagal memperbesarkan jenama sendiri bagi bersaing dengan restoran yang menggunakan wajahnya sebagai bahan promosi.
Bila wajah sendiri jadi milik orang lain
Bagaimana Colonel Sanders membangunkan perniagaan ayam gorengnya? Kami rasa anda perlu merujuk sebuah artikel lama kami untuk memahami perjalanannya.
Baca dulu, kemudian sambung dalam artikel ini pula ya!
Selepas berjaya membangunkan empayar ayam goreng, Colonel Sanders akhirnya mengambil keputusan untuk menjual perniagaannya kepada kumpulan pelabur baru diketuai dua orang ahli perniagaan bernama John Y. Brown Jr. and Jack C. Massey pada tahun 1964.
Alasan Sanders empayar yang beliau bangunkan berkembang terlalu pesat sehingga dia tidak lagi berupaya menangani tanggungjawab pengurusan. Usianya juga pada ketika itu sudah lanjut.
Perancangan Sanders bagaimanapun tidak menjadi, selepas rangkaian restorannya mula berpindah tangan dari satu pemilik ke satu pemilik dan dia pula hanya bertindak sebagai wajah syarikat, tidak lagi ada kuasa menentukan hala tujunya.
KFC kemudiannya dibeli sebuah syarikat berstatus konglomerat bernama Heublein yang berorientasikan minuman keras dan produk tembakau. Pada ketika inilah rombakan ke atas resipi yang dicipta Sanders mula diperkenalkan pengurusan baru.
Ini mengakibatkan Sander melihat usaha susah payahnya selama ini, hancur satu per satu dan dia mahu agar tradisi resipi ayamnya perlu dipelihara.
Membangunkan jenama baru sebagai alternatif
Selepas perbincangan, Sanders melihat ada peluang dia memulakan sebuah restoran unik yang akan mengembalikan resipi asal ayam gorengnya.
Walaupun demikian, hasrat Sanders bukan mudah untuk dilaksanakan. Ini kerana secara undang-undang, Sanders terikat dengan beberapa kontrak dengan pengurusan KFC yang menghalang dia dalam beberapa kaedah besar.
Dalam kontrak yang telah dipersetujui oleh Sanders sendiri semasa menjual perniagaannya, dia bersetuju untuk terus menjadi wajah korporat dan identiti KFC; menghalang wajahnya digunakan dalam sebarang bentuk lain.
Resipi asal ayam goreng ciptaannya juga telah dijual hak ciptanya kepada pihak lain mengakibatkan Sanders tidak lagi boleh menjual sebarang produk yang menuruti 100% resipi asal CIPTAANNYA SENDIRI. Sengaja kami besarkan huruf tersebut.
Selain itu, syarat paling besar yang mengekang Sanders adalah selepas dia bersetuju menjual KFC dan menjadi wajah rangkaian restoran tersebut, dia hanya dibenarkan membuka perniagaan sama berasaskan ayam goreng hanya di daerah Shelbyville, Kentucky. - lokasi pertama restoran milik Colonel Sanders dibuka dan beroperasi.
Degil dan keras melawan empayar ciptaan sendiri
Menyedari dirinya berdepan banyak kekangan akibat kontrak yang dia sendiri tandatangani, Sanders berkeras mahu memulakan kembali perniagaan sendiri dengan resipi yang paling hampir dengan asal.
Sanders memilih untuk membuka sebuah restoran yang dinamakan 'Claudia Sanders The Colonel’s Lady Dinner House'. Tindakan ini mendapat tentangan pengurusan KFC sendiri, kerana bukan saja Sanders menamakan restoran itu dengan gelaran kolonelnya bahkan dia turut menjadikan wajahnya sebahagian identiti perniagaan.
Berhadapan dengan saman, Colonel Sanders mengalah dan mengubah nama restoran barunya kepada Claudia Sanders Dinner House; meletakkan isterinya Claudia Sanders sebagai daya penarik.
Resipi ayam goreng yang menjadi hidangan utama restoran itu didakwa ciptaan Claudia Sanders sendiri, membolehkan pasangan Sanders mengelak daripada berhadapan tindakan undang-undang yang membolehkan mereka kembali didakwa di mahkamah.
Satu-satunya di dunia
Sekitar tahun 1980, selepas kematian suaminya Claudia mengambil keputusan menjual keseluruhan perniagaan yang telah dibangunkan bersama-sama itu kepada pemilik baru dengan perjanjian yang lebih adil untuk semua.
Pada tahun 1999, bangunan restoran itu terbakar dalam insiden api marak yang mengakibatkan keseluruhan restoran musnah, dalam tempoh 4 jam. Pembinaan semula bangunan tersebut mengikut rekaan asalnya dimulakan, membolehkan perniagaan tersebut terus dijalankan - menawarkan resipi ayam goreng yang dikatakan jauh lebih sedap berbanding ayam KFC.
Claudia Sanders Dinner House bertukar pemilik tetapi berjaya mengekalkan keunikannya selama beberapa dekad, namun legasinya tidak diketahui sampai ke mana.
Dalam tahun 2022, pemilik terkini jenama tersebut mula mengiklankan penjualan kesemua aset yang ada, bukan saja restoran dan pejabat pengurusan KFC yang pertama, bahkan kesemua fasiliti seperti pawagam, stesen minyak, taska dan kedai runcit yang telah dibuka di situ termasuklah tanah seluas 3 ekar yang menjadi tapak kompleks empayar ayam goreng tersebut.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada pembeli ditemui.
Itulah kisah bagaimana sehandal mana pun Sanders membangunkan jenama dengan cara sendiri sehingga terkenal di seluruh dunia, dia akhirnya menjadi mangsa kepada perjanjian yang akhirnya mengekang diri sendiri.
KFC kini masih berkembang, dengan resipi yang berbeza - ini didakwa oleh Colonel Sanders sendiri, walaupun atas kertas menu rahsianya dikatakan sama.