iluminasi colonel sanders sejarah7

Wajah Colonel Sanders yang terpapar pada logo, kotak dan visual KFC pasti mengingatkan kita tentang pengasas KFC iaitu Colonel Harland Sanders.Tahukah anda, Colonel Sanders merupakan peniaga yang hanya mampu merasai hidup selesa pada hujung usianya?

Kisah perjalanan Colonel Sanders mengembangkan perniagaannya patut memberikan inspirasi kepada anak-anak muda yang baru berjinak-jinak hendak memulakan perniagaan kerana kejayaan terbukti, tidak akan datang dengan mudah.

Awal Usia

iluminasi colonel sanders sejarah

Harland Sanders lahir pada 9 September 1890 di Indiana.

Harland mempunyai kehidupan awal yang susah selepas ayahnya meninggal dunia ketika usianya baru enam tahun dan dua adiknya yang masih kecil. Atas desakan hidup, ibunya terpaksa melakukan pelbagai kerja hanya untuk menampung keperluan hidup sementara Harland ditugaskan menjaga adik-adiknya di rumah, termasuklah menyiapkan adik-adiknya, mengemas rumah dan memasak.

Kemahiran memasaknya pula diasah dari kesempitan hidup yang dirasai.

Tidak cukup dengan itu, Harland telah mula bekerja pada umurnya 10 tahun untuk memastikan belanja rumah mencukupi. Pekerjaan pertama beliau adalah sebagai pembantu ladang dengan gaji 2 dollar sebulan. Mungkin bosan dengan pekerjaannya, pada usia 16 tahun, Harland memalsukan dokumen pengenalan diri lalu menyertai tentera.

Harland tidak kekal lama dalam tentera selepas ditugaskan di Cuba selama 3 bulan sebelum perkhidmatannya berkahir dan dia memulakan hidup di Alabama dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi menampung hidup dan Harland juga pernah mencuba nasib sebagai peguam, sebelum bertumbuk dengan anak guamnya sendiri di dalam mahkamah. Dia juga pernah menjadi bidan bersalin kerana pada waktu itu, ramai orang tidak mampu mengupah doktor.

Menuju Kematangan

iluminasi colonel sanders sejarah2

Harland akhirnya menemui kehidupan stabil sebagai pengusaha stesen minyak selama 6 tahun sebelum Amerika mengalami kemerosotan ekonomi teruk yang digelarkan 'The Great Depression.'

Pada tahun 1930, ketika berusia 40 tahun, Harland tidak ada pendapatan tetap dan hampir-hampir muflis yang memaksanya ke sebuah daerah bernama Corbin di Kentucky. Di sana beliau mendapat kontrak dengan syarikat Shell untuk menguruskan sebuah stesen minyak yang baru dibina dan Shell membenarkan Harland serta keluarganya tinggal di situ.

Sayangnya Harland pada stesen minyak itu, apabila wujud sebuah lagi stesen minyak berdekatan yang dikendalikan oleh syarikat lain, dia berbalas-balas tembakan dengan pengusaha stesen tersebut atas dasar persaingan. Nasib menyebelahi Harland kerana lawannya yang melepaskan tembakan dahulu dan tidak ada pertuduhan dapat dibuat atas tindakannya.

Era Sanders Court and Cafe

iluminasi colonel sanders sejarah3

Semakin hari semakin ramai pemandu yang berhenti mengisi minyak dan bertanyakan di mana lokasi yang menarik untuk makan. Melihat pemandu-pemandu yang menghadapi kesukaran mendapatkan makanan, Harland mula menjual makanan kepada pemandu yang singgah. Oleh kerana kekurangan tempat makan, semua pengunjung akan menggunakan meja makan keluarga Harland sebagai tempat menjamu selera.

Rumah Harland yang menyediakan makanan menyelerakan membuatkan makin ramai orang yang datang berkunjung semata-mata untuk makan. Menu yang dihidangkan mula mengalami proses penambahan- Harland mula menyiapkan steak, ham, telur, biskut dan yang paling terkenal, ayam goreng.

Melihat perniagaannya mula laris, Harland kemudiannya membeli sebuah motel berdekatan dan mengubahsuainya menjadi restoran yang mampu menempatkan 142 tetamu dalam satu masa dan menamakannya "Sanders Court and Cafe."

Bergelar Colonel

iluminasi colonel sanders sejarah5

Walau pun begitu, beliau masih menghadapi masalah apabila proses menyediakan ayam goreng agak perlahan sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu lama. Ketika melawat kedai barang elektrik di sekitar daerah tersebut, Harland menemui 'periuk tekanan' yang mampu memasak ayam goreng dalam waktu yang lebih singkat.

Pada tahun 1935, Gabenor Kentucky yang bernama Ruby Laffoon, menganugerahkan pangkat Colonel pada Harland Sanders atas sumbangannya dalam mempopularkan hidangan masyarakat tempatan Kentucky.

Sejak dari hari itu, Harland Sanders mula dikenali dengan gelaran Colonel Sanders namun nasib tidak menyebelahi Colonel Sanders apabila pada awal 1950, lebuhraya baru dibina mengakibatkan orang ramai tidak lagi melalui jalan di mana restorannya berada.

Menyedari hakikat yang perniagaannya perlu berkembang ke luar, Colonel Sanders yang pada ketika itu sudah berusia 62 tahun, menjual semua asetnya dan mula berkelana mencari pengusaha yang mahu menggunakan resipi ayam goreng beliau untuk dijual di restoran mereka.

Kentucky Fried Chicken dan Hujung Usia

iluminasi colonel sanders sejarah6

Restoran pertama yang bersetuju menjadi francais Colonel Sanders adalah sebuah hotel bernama Do Drop Inn yang terletak di Salt Lake City, Utah yang menjadi tapak pertama Kentucky Fried Chicken. Pada tahun 1952, Colonel Sanders berjaya menjual francaisnya kepada lebih 200 cawangan lain di serata Kanada dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1964, Colonel Sanders menjual syarikat francaisnya dengan harga 2 juta dan hanya meneruskan tugasnya sebagai duta kepada Kentucky Fried Chicken sehinggalah penghujung hayatnya.

Colonel Sanders didapati menghidap penyakit leukimia pada Jun 1980 sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 16 Disember 1980 ketika berusia 90 tahun.

Sehingga tahun 2014, sebanyak 18,875 restoran Kentucky Fried Chicken telahdibuka di seluruh dunia.


tags : , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)