Beberapa dekad yang lalu, ibu mengandung dipercayai berada dalam keadaan yang lemah dan perlu mengelakkan diri daripada menjadi letih, membuat kerja berlebihan atau melibatkan diri dalam aktiviti yang memerlukan tenaga fizikal dan mental. Tradisi dan amalan masyarakat ketika itu hanya membenarkan kerja-kerja ringan di rumah sahaja.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, dengan kecanggihan teknologi dan peredaran zaman, wanita hamil kini berupaya mengambil bahagian dalam aktiviti yang sama seperti sebelum mereka belum mengandung. Malah, ada yang lebih cergas daripada lelaki dan wanita lain yang tidak membawa bayi dalam kandungan. Kami kongsikan 10 aktiviti luar biasa yang pernah dilakukan oleh 10 wanita hebat:
1. Amber Miller - Menyertai maraton
Menyertai maraton ketika sedang hamil merupakan sesuatu yang menuntut dua kehendak fizikal berbeza pada masa yang sama. Namun, ia bukanlah sesuatu yang terlalu luar biasa kerana sudah ramai pelari jarak jauh elit yang menjalani latihan ketika mengandung.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2011, Amber Miller yang menyertai Maraton Chicago mungkin paling diingati dalam sejarah antara kesemua pelari wanita yang lain. Amber merupakan seorang yang suka berlari dan pernah dua kali menghabiskan maraton ketika mengandung iaitu semasa kandungan berusia 17 minggu dan 18 minggu.
Maraton Chicago memberikan sedikit kelainan. Amber telah mendaftarkan diri untuk menyertai perlumbaan ini sebelum mengetahui yang dia disahkankan mengandung. Apabila tiba hari maraton, Amber sudahpun terlalu hampir dengan tarikh bersalin, iaitu memasuki 39 minggu. Dengan nasihat dan kebenaran doktor, Amber meneruskan hasrat menyertai perlumbaan itu.
Amber tidak memaksa dirinya untuk berlari dengan laju. Dia hanya berlari-lari anak dan ingin melihat sejauh mana dia mampu pergi. Dia tidak memperlahankan larian langsung kerana tubuhnya berasa amat segar pada hari itu. Walaupun melepasi garisan penamat tiga jam lebih lewat daripada kebiasaan, Amber akhirnya berjaya menghabiskan maraton tersebut.
Sejurus sahaja lariannya tamat, Amber mula merasakan kontraksi pertamanya. Hanya beberapa jam selepas berlari jauh, Amber menyempurnakan 'larian' keduanya pada hari yang sama dengan melahirkan seorang bayi perempuan sihat seberat 3.54kg. Menurut Amber, berlari Maraton Chicago itu adalah jauh lebih mudah daripada melahirkan si comel bernama June.
2. Catriona Matthew - Memenangi Kejohanan Golf
Ketika Catriona Matthew menjuarai pertandingan golf Piala Brazil HSBC LPGA, wanita ini sudah memasuki bulan kelima usia kandungannya. Dia berjaya menghabiskan kejohanan 36 lubang yang menawarkan hadiah bernilai $500,000 dengan catatan enam di bawah par.
Apabila ditemuramah sejurus selepas kemenangan, Catriona menjelaskan yang anak dalam kandungan tidak sedikitpun memberi kesan kepada staminanya. Sebulan selepas itu, dia menyertai satu lagi kejohanan sebelum bercuti rehat daripada sebarang pertandingan sementara menanti kelahiran cahaya mata kedua.
Tidak sampai lima minggu selepas Sophie dilahirkan, Catriona telahpun mula mengunjungi gimnasium untuk mengembalikan tenaga supaya boleh beraksi di atas padang golf semula. Semasa Sophie hanya berusia 11 minggu, Catriona telah berjaya menyertai dan menjuarai Kejohanan Terbuka British pula.
3. Regan Scheiber - Berenang merentasi Terusan Inggeris
Berenang di sepanjang Terusan Inggeris merupakan satu aktiviti fizikal yang sangat mencabar. Walaupun ombak tenang dan memberi kelebihan kepada perenang, jarak sejauh 33.8km di dalam suhu sekitar 16 darjah Celsius boleh melemahkan semangat sesiapa sahaja.
Selain itu, anda perlu mengelakkan diri daripada obor-obor, kayu hanyut dan juga 800 buah kapal serta tangki minyak yang merentasi salah satu terusan paling sibuk di dunia itu. Masa paling pantas yang pernah dicatat adalah 7 jam namun ada perenang-perenang lain yang mengambil masa lebih 26 jam untuk menyempurnakan renangan.
Apa yang lagi menarik, sejak tahun 1875, hanya kurang 1,600 perenang secara solo sahaja yang berjaya menghabiskan renangan (setakat September 2018). Salah seorangnya adalah Regan Scheiber yang berasal dari Amerika Syarikat.
Pada tahun 2001, Regan telah berenang dari England ke Perancis dalam masa 9 jam 30 minit dan menjadi wanita terpantas berenang merentasi Terusan Inggeris pada tahun itu.
Regan yang mula belajar berenang ketika berusia 9 tahun sentiasa memasang impian untuk berenang merentasi Terusan Inggeris. Akhirnya, dia berjaya menghabiskan renangan pada percubaan pertamanya. Lebih mengagumkan apabila Regan berenang dalam keadaan 11 minggu mengandung.
Selepas berjaya menamatkan renangan, Regan yang bekerja sebagai seorang chef pastri membuat satu kejutan kepada ibunya dengan sebuah kek untuk memberitahu berita gembira tentang kandungannya. Aising di atas kek Regan tertulis "Tahniah, cucu ibu baru sahaja selesai berenang di Terusan Inggeris!"
4. Gal Gadot - Berlakon sebagai Wonder Woman
Mula dikenali sebagai Wonder Woman, Gal Gadot memegang watak sebagai seorang puteri Amazon yang handal bertempur. Banyak adegan penuh aksi seperti melompat, menendang dan berlawan yang terdapat dalam filem tersebut. Namun, dalam Justice League, dia terpaksa menyembunyikan berita kehamilannya, memakai kaca mata hitam dan berlari ke tandas antara setiap babak untuk muntah akibat mabuk hamil.
Semasa penggambaran semula Wonder Woman, usia kandungan Gal sudahpun masuk lima bulan. Kali ini, kru produksi terpaksa bergantung kepada pasukan kesan khas untuk menyembunyikan perut Gal yang semakin membesar. Sehelai kain layar hijau dipasang ke bahagian abdomen Gal kemudian diedit untuk mendapatkan kesan perut mantap seperti Wonder Woman.
Menurut Gal, kandungannya tidak menghalang dia daripada melakukan babak aksi dan fizikal. Kini, dia berasa bangga setiap kali menonton filem lakonannya kerana tahu yang Maya (nama anak Gal yang dilahirkan) turut 'berlakon' bersamanya ketika itu.
5. Meredith Kessler - Menyertai triatlon Ironman
Triatlon Ironman merangkumi tiga set ujian ketahanan fizikal yang memenatkan iaitu berenang sejauh 3.86km, mengayuh basikal sejauh 180km dan berlari dalam jarak 42km. Kesemuanya perlu diselesaikan dalam hari yang sama.
Seorang pesaing triatlon elit, Meredith Kessler telah bersedia untuk menyertai Ironman New Zealand pada 4 Mac 2017. Sebelum itu, Meredith pernah menyertai triatlon ini sebanyak 59 kali dan melalui regimen ketat sekitar 25-30 jam seminggu untuk bersiap sedia bagi perlumbaan ini.
Meredith berharap yang dia akan dapat menjuarai Ironman tersebut buat kali keenam secara berturut-turut. Namun, pada hari perlumbaan, secara tiba-tiba dia mengalami kekurangan stamina yang tidak dapat dikenal pasti puncanya. Selama tempoh 9 jam dia berenang, berbasikal dan berlari itu juga, Meredith tidak henti-henti muntah. Walaupun bertanding dalam keadaan teruk begitu, dia berjaya juga menang dengan menduduki tempat ketiga dan akhirnya mengetahui punca sebenar dia keletihan dan muntah-muntah.
Meredith tidak menyedari yang dia sudahpun hamil empat minggu semasa menyertai triatlon ke-60nya itu. Meredith masih meneruskan latihan walaupun selepas mendapat tahu berita baik itu dan hanya mengurangkan jarak lariannya sahaja. Pada bulan 11 November 2017, Meredith selamat melahirkan seorang "Ironbaby" yang comel dan sihat.
6. Kerri Walsh Jennings - Memenangi pingat emas di Sukan Olimpik
Kerri Walsh Jennings dan Misty May-Treanor sering dianggap sebagai pasangan beregu bola tampar pantai wanita yang terulung dalam sejarah. Mereka telah memenangi pingat emas dalam tiga Sukan Olimpik berturut-turut, memenangi 21 perlawanan dan hanya kalah dalam satu set.
Walau bagaimanapun, sebelum memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik di London pada tahun 2012, Kerri dan suaminya sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat ketiga. Apabila haidnya tiba lebih lewat dan Misty memberitahu yang Kerri mungkin hamil kerana anginnya kerap tidak baik, Kerri mula sedar yang dia mungkin telah mengandung lebih awal daripada dijangka.
Semasa bertarung di Sukan Olimpik, Kerri sudahpun hamil lima bulan. Walaupun mula 'merasakan sesuatu' ketika bermain, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perlawanan sehingga berjaya merangkul pingat emas kali ketiga itu.
7. Serena Williams - Memenangi Kejohanan Tenis Terbuka Australia
Kemenangan Serena Williams dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia pada tahun 2017 merupakan detik manis paling menggembirakan bagi Serena. Pertama sekali, ia merupakan kemenangan ketujuhnya dalam Terbuka Australia sekali gus mengembalikan takhta sebagai pemain tenis wanita No. 1 dalam dunia. Kedua, kemenangan itu mencatat rekod dalam sejarah kejohanan terbuka kerana dia telah menggondol Grand Slam buat kali ke-23. Ketiga, Serena sedang hamil ketika dia menang besar dan tiada siapapun yang mengetahuinya termasuklah jurulatihnya sendiri.
Serena hanya mewar-warkan berita tersebut sekitar 12 minggu kemudian di mana dia memuat naik sekeping gambarnya menayang perut sambil menulis "20 minggu." Wakil jurucakap Serena kemudian telah mengesahkan berita itu. Rupa-rupanya, semasa Serena memenangi Terbuka Australia dengan kejayaan set pendek dan mengalahkan kakaknya dalam perlawanan akhir, dia sudahpun hamil 8 minggu. Walaupun Serena mengalami sedikit komplikasi selepas melahirkan anaknya melalui pembedahan, bayi itu dilahirkan sihat dan sempurna. Tidak lama selepas itu, Serena terus kembali ke gelanggang dan bertanding dalam Terbuka Miami pada Mac 2018.
8. Jacinda Ardern - Memerintah sebuah negara
Pada pertengahan bulan Oktober 2017, ahli politik New Zealand, Jacinda Ardern telah menerima dua berita gembira. Berita pertama ialah kemenangan yang berpihak kepada partinya (Parti Buruh) untuk membentuk sebuah kerajaan sekali gus menjadikan Jacinda sebagai Perdana Menteri wanita paling muda dalam sejarah New Zealand. Berita baik kedua pula adalah, selepas beberapa kali mengalami kesukaran untuk hamil, tanpa disangka-sangka Jacinda disahkan mengandung.
Semasa diumumkan menjadi Perdana Menteri, hanya pasangan Jacinda iaitu Clarke Gayford dan doktor mereka sahaja yang mengetahui tentang kehamilannya. Berita itu hanya dimaklumkan kepada orang awam pada bulan Januari 2018 dengan menjelaskan yang perkara itu adalah terlalu peribadi dan istimewa untuknya. Walaupun mabuk hamil yang dialami ketika mula-mula membentuk kerajaan adalah sangat memeritkan, dia masih meneruskan tugas membentuk kerajaan seperti biasa.
Jacinda bukanlah pemimpin wanita pertama yang hamil ketika memegang tampuk pemerintahan. Perdana Menteri Pakistan pada tahun 1990 iaitu Benazir Bhutto juga perlu ke pejabat sehari selepas melahirkan anak melalui pembedahan C-section.