Biasanya, kita sering terdengar bahawa seorang pelarian itu menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan di negara orang. Jika ada sekalipun, ia sekadar cukup untuk keperluan paling asas sahaja. Namun, ia berbeza dengan seorang pelarian dalam kisah ini.
Pelarian yang dimaksudkan ini bukan sahaja berjaya menjadi kaya-raya kerana perniagaannya tetapi juga menjadi terkenal kerana terlibat dalam skandal jenayah pada awal 80-an. Berikut adalah kisah seorang pelarian bernama Eddie Nash.
BESARKAN TEKS A- A+
Hanya berbekalkan $7 sahaja
Eddie Nash dilahirkan sebagai Adel Gharib Nasrallah pada 3 April 1929 di Ramallah, Palestin. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian Ortodoks yang sangat kaya. Keluarganya memiliki 48 buah hotel di seluruh Palestin.
Setelah terbentuknya negara Israel pada 1948, keluarganya kehilangan harta dan ditempatkan di kem tahanan manakala abang iparnya dibunuh tentera Israel. Nash melarikan diri ke Amerika Syarikat pada awal 1950-an dengan hanya berbekalkan USD 7 sahaja.
Eddie Nash (kanan)
Pada awal 1960-an, Nash mula membuka gerai hot dog bernama Beef's Chuck di Hollywood Boulevard. Lebih sedekad bekerja keras, Nash akhirnya berjaya memiliki beberapa restoran dan kelab malam di sekitar bandar itu.
Bukan itu sahaja, dia juga merupakan seorang pengedar kokain terkenal di Los Angeles dan sering menggunakan kelab malamnya untuk aktiviti haram itu.
Nash juga menggunakan kediaman mewahnya sebagai tempat perjumpaan kumpulan pengedaran dadahnya. Tidak lama kemudian, dia mengenali pelakon porno bernama John Holmes.
Rancangan merompak Kingpin dadah
John Holmes juga adalah seorang pengedar dadah kecil-kecilan. Walaupun berstatus pornstar, dia hampir dipinggirkan dari industri perfileman dewasa kerana tabiat buruknya menggunakan kokain sehingga sebanyak USD 1,500 sehari.
Pada tahun 1980, Holmes sudah tidak lagi bekerja. Dia mencuri bagasi dari Lapangan Terbang Los Angeles, memecah masuk kereta dan bekerja untuk beberapa sindiket dadah. Walaupun begitu, Nash masih menganggap Holmes sebagai rakannya.
John Holmes
Pada musim panas 1981, Holmes mendapati dirinya berhutang begitu banyak dengan ketua Wonderland Gang iaitu Ron Launius. Untuk membayarnya, Holmes "menjual" rakannya dengan menawarkan bantuan kepada Wonderland Gang untuk merompak rumah Nash yang kaya-raya.
Pada 29 Jun 1981, John Holmes singgah di kediaman Nash dan membiarkan salah satu pintu tidak berkunci supaya Wonderland Gang dapat memecah masuk. Beberapa orang lelaki berpakaian seperti polis kemudian menerpa masuk dan mengacukan pistol pada Eddie Nash.
Perompak itu berjaya melarikan sejumlah dadah, wang tunai, senjata dan barang kemas bernilai USD 1.2 juta. Nash mengesyaki Holmes kerana dia singgah di rumahnya sebelum kejadian berlaku.
Nash membalas dendam
Sangkaan Nash dikuatkan lagi apabila seorang rakannya terlihat Holmes memakai barangan kemas yang dicuri dari kediaman Nash sehari selepas kejadian. Nash tidak akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja.
Nash sebenarnya adalah seorang yang berpengaruh dalam dunia gelap di Los Angeles. Nash mengarahkan pengawal peribadinya membelasah Holmes supaya dia mendedahkan alamat Wonderland Gang yang merompaknya.
No. 8763, Wonderland Avenue
Dua hari kemudian, alamat itu menjadi tajuk utama berita di seluruh negara.
Pada 1 Julai 1981, polis tiba di kediaman No. 8763, Wonderland Avenue, setelah menerima aduan daripada jiran yang terdengar bunyi suara meraung. Polis kemudian mendapati beberapa tubuh kaku berlumuran darah di dalamnya.
Mereka menemui mayat ketua Wonderland Gang iaitu Ron Launius, Joy Miller, Billy DeVerell dan seorang lagi wanita. Isteri Launius pula terselamat tetapi mengalami kecederaan teruk pada tengkoraknya.
Terlepas daripada keadilan
Polis mendapati bahawa kejadian itu adalah "kerja dalaman" memandangkan tiada bukti rumah itu dipecah masuk. Pihak polis menahan John Holmes setelah menemui kesan cap jarinya yang berlumuran darah di dinding rumah itu.
Holmes ketika perbicaraan mahkamah
Walau bagaimanapun, Holmes dibebaskan pada tahun 1982 kerana pihak juri mempunyai keraguan terhadap penglibatannya. Sebelum meninggal dunia akibat AIDS pada 1988, Holmes mendedahkan bahawa Eddie Nash adalah "lelaki paling kejam dikenalinya".
Pada tahun 1990, Nash didakwa kerana menjadi dalang dalam Pembunuhan Wonderland tetapi dia terlepas setelah merasuah semua juri kesnya. Nash ditahan sekali lagi pada tahun 1995 kerana memiliki syabu.
Pada 19 Mei 2000, Eddie Nash ditahan pula atas 16 kesalahan mengedar dadah, penggubahan wang haram dan rasuah. Dia yang mempunyai masalah kesihatan ditawarkan hukuman ringan jika mengaku bersalah.
Akhirnya, Eddie Nash hanya mengaku bahawa menyuruh "orang-orangnya" mendapatkan kembali barangan yang dicuri daripada Wonderland Gang tetapi tidak pernah mengaku mengarahkan pembunuhan mereka. Dia meninggal dunia setahun kemudian.
Tragedi Pembunhan Wonderland diadaptasikan ke dalam filem berjudul Wonderland yang diterbitkan pada tahun 2003.