Oleh pada 13 Jul 2018 kategori

sifilis tuskegee study kaji tuskegee study

Sains merupakan salah satu cabang ilmu yang cukup penting dalam tamadun manusia, yang tak dapat dinafikan kebaikannya. Walaupun begitu, ada ketikanya sains dijadikan alat untuk memperhambakan orang lain atas alasan demi kemajuan.

Itulah yang terjadi kepada beberapa ratus orang kulit hitam Afrika-Amerika yang dijadikan bahan eksperimen tanpa kerelaan oleh kerajaan Amerika Syarikat sendiri.

Insiden ini adalah salah satu detik hitam dalam sejarah sains perubatan di Amerika Syarikat dan juga dunia, kerana membiarkan perkara jahat berlaku atas nama kesihatan.

Semuanya berlaku di daerah bernama Tuskegee, Alabama, Amerika Syarikat.

Kajian 'Tuskegee Study' yang memangsakan manusia

jururawat kulit hitam ambil darah peserta tuskegee study

Pada 25 Julai 1972, seorang wartawan bernama Jean Heller mendedahkan berita berkenaan satu konspirasi yang dilakukan dan berjaya disembunyikan selama lebih 40 tahun, oleh pengamal perubatan dan kerajaan Amerika Syarikat sendiri.

Dalam laporan tersebut, beliau mendakwa kerajaan Amerika Syarikat selama 40 tahun telah pun dengan sengaja membiarkan individu-individu kulit hitam di kawasan Tuskegee, Alabama yang mengidap penyakit sifilis, sejenis penyakit alat kelamin tanpa diberikan sebarang rawatan - untuk mengkaji kesan penyakit tersebut.

Kajian yang dinamakan sebagai 'Tuskegee Study' itu dijalankan dengan pengetahuan dan kelulusan Public Health Service USA (PHS), dimulakan pada tahun 1932. Kawasan itu dipilih berikutan menjadi lokasi tertinggi kes sifilis ketika itu. Rawatan untuk penyakit sifilis pada zaman tersebut hanyalah dengan menggunakan racun dan merkuri yang mempunyai kesan sampingan pada manusia.

Hampir 600 orang lelaki kulit hitam menawarkan diri menjadi peserta berikutan tawaran pengangkutan percuma, makanan tengahari percuma serta insurans pengebumian percuma sekiranya meninggal. Yang paling menarik perhatian peserta adalah jaminan akan menerima perubatan percuma sepanjang tempoh mereka menyertai program itu.

Walaupun begitu, mereka tidak diberitahu mereka sebenarnya sedang dijadikan bahan kajian dalam mengkaji penyakiti sifilis.

Pihak PHS mengkaburi mata peserta dengan melakukan pengambilan darah secara berkala, dikatakan untuk mengenalpasti penawar kepada wabak yang dinamakan 'bad blood' yang kerap menjangkiti individu kulit hitam.

Dijadikan bahan eksperimen tanpa pengetahuan

pengambilan darah tuskegee study

169 orang peserta lelaki yang dipilih tidak mempunyai sifilis sementara 431 orang mempunyai penyakit tersebut. Separuh daripada pesakit yang mempunyai penyakit itu diberikan rawatan menggunakan ubat-ubatan yang ada pada zaman tersebut, sementara selebihnya pula dibiarkan tanpa dirawat bagi membolehkan pengkaji serta pakar perubatan melakukan kajian ke atas mereka.

Pada awalnya mereka diberitahu hanya perlu menjadi peserta selama enam bulan namun realitinya, kajian ke atas mereka berjalan selama 40 tahun lebih sehinggalah terdedah kajian ini pada tahun 1972. Mengapa tempoh kajian panjang ini diperlukan?

Realitinya, kajian Tuskegee Study ini memerlukan proses autopsi dilakukan ke atas pesakit sifilis yang telah meninggal dunia, bagi mengenalpasti kerosakan yang berlaku akibat sifilis kepada tubuh badan pesakit. Oleh sebab itu, peserta yang mempunyai sifilis perlu terus dibiarkan mengidap penyakit itu dan dibiarkan merana, kerana hanya dengan meninggal dunia barulah penyelidik dapat mengkaji alat kelamin mereka.

Selepas lebih kurang 10 tahun kajian ini dilancarkan pada tahun 1947, penisilin berjaya ditemui membolehkan rawatan ke atas sifilis dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Bagaimanapun, atas dasar sains dan perubatan, kesemua peserta kajian yang masih hidup dan berpenyakit, terus dibiarkan sakit tanpa sebarang rawatan diberikan. Setiap peserta  perlu meninggal dunia dalam keadaan mengidap sifilis bagi memenuhi matlamat eksperimen ini.

Mengkhianati atau diperdayakan?

african and american men receiving special free treatment from physicians and nurses naturalhomeschooling

Kajian yang dijalankan turut sama mendapat bantuan pakar daripada Tuskegee Institute, sebuah kolej komuniti kulit hitam di Tuskegee. Beberapa orang individu seperti Robert Moton, Presiden institut tersebut serta Dr. Eugene Dibble, seorang doktor berkulit hitam melibatkan diri secara langsung dalam kajian ini sejak mula. Kedua-duanya dilantik sebagai individu yang akan berhubung secara terus dengan kesemua pesakit.

Tidak diketahui adakah individu-individu kulit hitam yang menyertai kajian ini tahu tentang penipuan yang dilakukan oleh PHS ataupun mereka sebenarnya turut diperdayakan. Pendapat mengatakan tindakan melantik wakil komuniti kulit hitam sengaja dilakukan akan menghilangkan rasa bimbang individu yang ingin menjadi peserta kajian.

Sehingga Januari 1972 ketika media mendedahkan kajian ini, 74 orang daripada peserta kajian masih hidup. Rekod menunjukkan di antara mereka yang meninggal, 28 orang mati disebabkan sifilis.

154 orang meninggal dunia akibat sakit jantung yang tidak dapat dikenalpasti adakah berpunca daripada penyakit sifilis yang dialami. Apa yang lebih menyedihkan, 40 orang wanita isteri kepada peserta kajian turut sama dijangkiti sifilis.19 orang anak peserta kajian lahir dengan sifilis sejak dari dalam rahim lagi.

Pembongkaran eksperimen keji ini

keratan akhbar tuskegee study didedahkan

Beberapa tahun sebelum didedahkan pada orang ramai, pada tahun 1966, Peter Buxtun seorang penyiasat dari PHS menghantar surat pemberitahuan kepada salah seorang pengarah PHS, berkenaan kekhuatiran beliau terhadap Tuskegee Study. Beliau berpendapat kajian itu menyalahi etika, moral serta melanggar ikrar pengamal perubatan. Walaupun begitu, jawapan yang diterima beliau amat mengecewakan - maklum balas memberitahu terdapat keperluan kajian itu perlu diteruskan sehinggalah kesemua peserta kajian meninggal dunia dan selamat dibedah siasat.

Tidak dapat menerima jawapan itu, Peter memilih untuk berdiam diri sebelum memberanikan diri menemui pihak media bagi mendedahkan apa yang telah dilakukan PHS sekian lama.

Hasil maklumat Peter, pihak akhbar melaporkan tentang kajian itu pada 25 Julai 1972, menjadi topik muka depan kebanyakan surat khabar di Amerika Syarikat tarikh itu. Siasatan di peringkat Kongres dijalankan dengan beberapa orang pegawai serta Peter Buxtun dipanggil untuk memberikan keterangan.

Hasilnya, sebuah panel penyiasatan ditubuhkan bagi mengkaji kajian Tuskegee Study daripada segi etika dan adakah berlaku penyalahgunaan kuasa pengamal perubatan. Hasil penelitian panel itu, arahan untuk menghentikan kajian itu telah dikeluarkan.

Kerajaan Amerika Syarikat diminta membayar pampasan berjumlah $10 juta kepada mana-mana peserta kajian yang masih hidup . Rawatan perubatan percuma kepada peserta dan ahli keluarga mereka perlu diberikan seumur hidup, sekiranya mereka masih menghidapi penyakit berkait dengan sifilis selepas penyelidikan itu dihentikan.

Kesan Tuskegee Study dapat dirasai sehingga kini

bill clinton bertemu peserta tuskegee study

Sebuah simposium bagi meneliti kesan baik buruk Tuskegee Study diwujudkan pada tahun 1994 oleh barisan pengamal perubatan serta ramai lagi pihak professional lain di Amerika Syarikat. Laporan terakhir mereka disiapkan pada bulan Mei tahun 1996, dengan dua saranan utama yang perlu dipenuhi mereka yang terlibat dalam kajian tersebut;

Yang pertama - kerajaan Amerika Syarikat perlu memohon maaf kepada peserta dan waris peserta. Kedua, satu strategi yang lebih berkesan perlu diperkenalkan dalam mengatasi kesan negatif kajian ini dalam jangka masa panjang.

Walaupun Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton memohon maaf kepada peserta serta waris keluarga peserta yang hadir, hubungan di antara sistem perubatan Amerika Syarikat dan masyarakat kulit hitam mula renggang. Rasa kurang percaya dengan sistem perubatan yang dikawal selia masyarakat kulit putih menyebabkan ramai individu kulit hitam kurang mempercayai rawatan di klinik dan hospital.

Rasa tidak percaya itu nampaknya sukar untuk dipulihkan kembali. Pada satu kajian yang dijalankan, 80 peratus individu kulit hitam percaya peserta-peserta Tuskegee Study telah pun dijangkitkan dengan sifilis dengan sengaja, bagi penyelidik mempunyai hos kepada jangkitan dan berjaya melakukan bedah siasat ke atas mereka.

Sehingga kini, masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat menyimpan mimpi buruk Tuskegee Study sebagai satu peringatan kepada mereka, agar tidak lagi mudah dipergunakan hanya kerana warna kulit mereka berbeza.

Rujukan

Science Direct

The Washington Post


tags : , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)