Oleh pada 17 Aug 2021 kategori

Penjara adalah tempat untuk mengurung individu yang dijatuhkan hukuman kerana melanggar undang-undang. Kebanyakan penjara direka dan dikawal dengan ketat supaya banduan tidak boleh lari daripada tempat itu.

Namun, masih terdapat sebilangan kecil kes di mana banduan berjaya melarikan diri daripada penjara. Anda mungkin pernah mendengar kisah banduan melarikan diri tetapi kisah yang kami sajikan ini merupakan antara kisah paling epik banduan meloloskan diri dari penjara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Michel Vaujour

michel voujour

Michel Vaujour merupakan seorang banduan di Perancis yang dipenjarakan selama 18 tahun kerana melakukan rompakan bersenjata dan cubaan membunuh pegawai polis. Sebelum itu, Vaujour telah melarikan diri sebanyak empat kali dari penjara.

Pada tahun 1986, Vaujour melakukan cubaan kali kelima dan yang paling epik. Dia menggunakan buah nektarin yang diwarnakan seakan-akan bom tangan untuk mengelak daripada ditangkap pengawal.

Apabila Vaujour berjaya menaiki bumbung penjara, isterinya iaitu Nadine telah tiba dari Paris untuk membawa lari Vaujour menggunakan helikopter yang disewa.

Nadine sanggup mengambil kursus latihan penerbangan helikopter selama berbulan-bulan lamanya, semata-mata untuk menyelamatkan suaminya. Mereka kemudian mendarat di sebuah padang bola sebelum meloloskan diri.

Tidak lama selepas itu, Nadine ditemui dan ditangkap di barat daya Perancis manakala Vaujour masih lagi bebas. Vaujour cuba melakukan satu lagi rompakan bank tetapi gagal dan ditembak di kepala. Dia bernasib baik kerana terselamat daripada kecederaan serius itu. (sumber)

2. Choi Gap-Bok

choi gap bok

Pada tahun 2012, lelaki Korea Selatan berusia 50 tahun ini telah melakukan cubaan melarikan diri yang agak mustahil. Dia berjaya meloloskan diri melalui ruang makanan yang hanya bersaiz 6 X 18 inci sahaja.

Sebenarnya, penjara bukanlah sesuatu yang baru buat Gap-Bok. Dia telah beberapa kali dimasukkan ke dalam penjara dan menghabiskan masa selama 23 tahun sebagai banduan.

Ketika berada di penjara, Gap-Bok telah berlatih yoga selama hampir 20 tahun dan menjadi seorang yang pakar dalam senaman itu. Dia menyapukan losyen di seluruh tubuhnya sebelum berjaya meloloskan diri tidak sampai satu minit.

Gap-Bok juga berjaya melepasi tiga pengawal yang sedang tidur dan melompat keluar melalui tingkap yang sempit. Apabila menyedari Gap-Bok hilang, satu operasi memburu telah dijalankan.

Gap-Bok akhirnya ditemui bersembunyi di dalam sebuah kotak, 30 kilometer dari tempat dia ditahan. Dia ditahan semula tetapi kali ini ruang makanan dikecilkan kepada 3.5 X 5 inci sahaja. (sumber)

3. Charles Rigoulot

charles rigoulot

Charles Rigoulot merupakan seorang atlet angkat berat Perancis dan dipenjarakan kerana memukul seorang pegawai Nazi ketika Perang Dunia Kedua. Ketika itu, Perancis telah dijajah oleh Jerman.

Dia yang aktif dalam sukan angkat berat sejak muda itu pernah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik dan memegang 10 rekod dunia dalam sukan itu. Rigoulot juga pernah dinobatkan sebagai "Lelaki terkuat di dunia".

Ketika di dalam penjara, Rigoulot yang bertubuh sasa dan mempunyai tenaga yang kuat itu berjaya membengkokkan gerigi besi selnya. Dia bukan sahaja berjaya meloloskan diri tetapi turut membebaskan banduan lain.

Tidak lama selepas melarikan diri, Rigoulot mencari semula pegawai Nazi yang membuatkan dia dipenjara. Apabila menemui pegawai Nazi itu, Rigoulot membelasah pegawai itu sekali lagi untuk membalas dendamnya.

Rigoulot bukan sahaja seorang atlet angkat berat tetapi dia juga seorang penggusti, pelumba kereta dan pelakon buat seketika waktu. Rigoulot meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Ogos 1962. (sumber)

4. Joaquin “El Chapo” Guzman

el chapo 947

El Chapo (Si Pendek) adalah gelaran kepada bekas Raja Dadah Mexico yang mengetuai sindiket Sinaloa Cartel. Guzman pertama kali ditangkap pada 1993 dan dihukum penjara selama 20 tahun atas kesalahan membunuh dan mengedar dadah.

Dia telah ditempatkan di penjara keselamatan tinggi di Mexico. Walaupun di dalam penjara, Guzman tetap menjadi mastermind kepada penyeludupan dadah terbesar di Mexico. 

Pada Januari 2001, dia berjaya melarikan diri dari penjara dengan bersembunyi di dalam bakul pakaian kotor. Bukan mudah untuk lolos dari penjara keselamatan tinggi tetapi Guzman telah menyogok seramai 70 pegawal termasuklah pengarah penjara itu sendiri.

Dia menghabiskan sebanyak RM 10.6 juta untuk merasuah mereka. Selama 13 tahun berikutnya, Guzman menghilangkan diri tetapi empayar dadahnya berkembang dengan begitu pesat. Satu perempat dadah di Amerika diseludup Sinaloa Cartel miliknya.

Majalah Forbes juga menamakan Guzman sebagai salah seorang individu paling berpengaruh dari tahun 2009 hingga 2013. Amerika telah melabelkan Guzman sebagai Public Enemy nombor 1 pada tahun 2013. Guzman merupakan individu kedua dilabelkan sebegitu selepas Al Capone pada 1920-an. (sumber)

1. Yoshie Shiratori

yoshie shiratori

Yoshie Shiratori terkenal dan dianggap sebagai wira di Jepun sebagai seorang yang mempunyai keazaman tinggi untuk bebas. Dia berjaya melarikan diri sebanyak empat kali dari penjara yang berbeza. Yoshie membuktikan bahawa tiada penjara yang dapat mengurungnya.

Pada tahun 1936, Yohshie melarikan diri dari Penjara Aomori setelah berbulan-bulan lamanya memerhatikan rutin pengawal. Dia membuka kunci sel menggunakan peralatan besi yang dikumpulnya dari pelbagai sumber di penjara.

Tidak lama selepas itu, dia ditahan kerana mencuri di sebuah hospital dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Pada tahun 1942, Yoshie telah dipindahkan ke Penjara Akita. Kali ini, dia memanjat dinding penjara setiap malam untuk melonggarkan penutup ruang udara sehinggalah berjaya melarikan diri.

Setelah bebas, dia singgah di rumah seorang pengawal bernama Kobayashi yang baik dengannya di dalam penjara. Namun, pengawal itu telah menghubungi pihak polis ketika Yoshie berada di tandas dan dia ditahan semula.

Yoshie kemudian dihantar ke Penjara Abashiri di Hokkaido. Setiap hari, dia menuangkan sup Miso pada rantainya sehingga ia karat dan mudah dipecahkan. Dia sengaja menyebabkan kedua-dua bahunya terkehel supaya dia muat untuk meloloskan diri dari lubang makanan yang kecil.

Dia telah ditahan tidak lama selepas itu dan dihantar ke Penjara Sapporo. Dia berjaya meloloskan diri kali keempat pada tahun 1947 setelah menggali lubang menggunakan mangkuk sup Miso sedikit demi sedikit. 

Beberapa tahun selepas itu, dia ditangkap dan ditempatkan pula di Penjara Fuchu di Tokyo. Dia memilih untuk tidak melarikan diri sebaliknya menghabiskan 14 tahun hukumannya dengan baik. Selepas dibebaskan, Yoshie hidup bersama anaknya sehinggalah dia meninggal dunia pada 1979 ketika berusia 71 tahun. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)