Melakukan perbuatan jenayah merupakan satu kesalahan undang-undang di majoriti negara.

Walaupun demikian ada ketikanya dalam situasi tertentu, undang-undang sesebuah negara gagal untuk berfungsi disebabkan masalah seperti perang, berhadapan rampasan kuasa atau pelbagai masalah sosial yang mengakibatkan tiada badan dibentuk mampu menanganinya. Itu pun dalam keadaan sangat ekstrim.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah anda percaya jika kami katakan di Amerika Syarikat wujud satu kawasan yang dinamakan Zone of Death, setakat ini dipercayai 'terkeluar' daripada sistem undang-undang negara itu atas beberapa faktor? 

Ruang lompong dalam sistem undang-undang Amerika Syarikat

zone of death idaho

Sebuah kawasan seluas 129.5 km persegi yang terletak dalam Yellowstone National Park, Idaho terkenal sebagai sebuah kawasan yang duduk di luar lingkungan undang-undang Amerika Syarikat.

Diistilah juga sebagai 'Kawasan Ruang Lompong' (Loophole Land) oleh penduduk setempat, banyak pihak percaya sebarang jenayah yang berlaku di seluruh kawasan tersebut tidak boleh dibicarakan di mahkamah atas masalah teknikal.

Zone of Death merupakan kawasan kosong tidak berpenghuni tetap, terletak agak terpencil serta tiada laluan akses keluar masuk.

Punca utama kawasan itu tidak tertakluk dalam lingkungan undang-undang Amerika Syarikat, adalah disebabkan oleh sejarah pembukaan kawasan taman negara itu serta kaedah penubuhan 3 buah negeri di dalamnya.

Yellowstone National Park dibuka pada tahun 1872 sebelum kemasukan rasmi tiga buah negeri iaitu Montana, Wyoming dan Idaho ke gabungan negeri-negeri di Amerika Syarikat berjaya dibuat pada tahun 1889 dan 1890.

Ketika perjanjian penggabungan ini dicapai, ketiga-tiga negeri bersetuju untuk melepaskan kuasa undang-undang negeri yang terpakai di Yellowstone, menggazetkan taman negara itu di bawah bidang kuasa mahkamah undang-undang persekutuan ekoran statusnya sebagai sebuah kawasan perlindungan.

Persetujuan yang dicapai membolehkan pembahagian dilakukan. 93% daripada keseluruhan taman negara itu diberikan kepada kerajaan tempatan Wyoming, 3% lagi kepada Montana dan selebihnya kepada Idaho.

Semasa pembentukan jajahan undang-undang persekutuan di kawasan tersebut, kongres Amerika Syarikat malangnya hanya menamakan Mahkamah Tinggi Wyoming dalam gazet undang-undang.

Ini bermakna, sekiranya ada jenayah dilakukan di mana-mana bahagian Yellowstone National Park - tertuduh hanya layak untuk dibicarakan di Wyoming.

Jika jenayah berlaku di kawasan taman negara bahagian Idaho dan Montana sekalipun, hanya mahkamah Wyoming layak membicarakan kes itu. Jelas kan?

Sistem juri merumitkan kekusutan

lukisan lama sistem juri amerika syarikat

Penggunaan sistem mahkamah berasaskan juri masih diamalkan di semua perbicaraan mahkamah Amerika Syarikat sehingga kini.

Menurut pindaan keenam artikel kedua seksyen 3 perlembagaan Amerika Syarikat; semua juri yang akan bertindak menilai perbicaraan perlu memenuhi syarat menetap di kawasan dimana jenayah tersebut dilakukan.

Orang luar kawasan dianggap tidak layak menjadi juri mahkamah. Masih ingat bagaimana Yellowstone National Park dibahagikan kepada 3 tadi?

Walaupun mempunyai keluasan terbesar, bahagian Yellowstone di bawah Wyoming hanya mempunyai sekitar 241 orang penduduk tetap. Di bahagian Montana pula terdapat lebih kurang 1,270 orang penduduk berstatus pemastautin. 

Di bawah jajahan Idaho? Kosong. Sifar. Tiada penduduk tetap.

Tidak ada seorang pun berdaftar sebagai penduduk tetap di kawasan seluas 129 km persegi itu, menyebabkan wujudnya situasi di mana mustahil lantikan juri boleh dibuat berdasarkan kepada undang-undang sedia ada, sekiranya suspek jenayah meminta dibicarakan menggunakan sistem juri.

Dalam sistem undang-undang Amerika Syarikat, semua tertuduh layak untuk meminta dibicarakan di hadapan juri. Pilihan ini menjadi salah satu hak kewarganegaraan yang termaktub dalam perlembagaan mereka.

Bagaimana mahkamah akan mampu menyediakan juri sekiranya perbicaraan menerusi sistem juri diminta suspek dalam kawasan yang populasinya jelas kosong?

Lebih menyulitkan - mahkamah tidak ada hak untuk menolak permintaan tertuduh sekiranya permintaan itu dibuat tertuduh sebelum perbicaraan dimulakan.

Isu dipejam sebelah mata Kongres Amerika Syarikat

papan tanda yellowstone national park

Pendedahan berkenaan kawasan 'bebas jenayah' ini dibuat seorang peguam dan profesor undang-undang bernama Brian Kalt menerusi tesis tulisannya, diterbitkan dalam tahun 2006.

Menerusi tulisannya, beliau memperdebatkan klausa pembentukan juri yang terpakai sehingga terlepas pandang keanehan Zone of Death, yang nyata duduk di luar skop undang-undang negara.

Klausa yang dikenali sebagai Klausa Vicinage diguna bagi menentukan cara lantikan juri, didakwa mempunyai banyak kelemahan yang mampu mengakibatkan penjenayah gagal disabitkan kesalahan atau lebih teruk tidak dapat dihadapkan ke mahkamah, hanya disebabkan masalah teknikaliti yang bodoh.

Kalt mencadangkan beberapa solusi kepada masalah ini.

Antaranya, mahkamah boleh mendakwa suspek sekiranya suspek berjaya dibuktikan telah merancang untuk melakukan jenayah ketika berada di luar kawasan taman negara bahagian Idaho.

Kongres Amerika Syarikat juga boleh melukis semula garis sempadan negeri agar beberapa buah kawasan penempatan dapat diletakkan di bawah jajahan Idaho, namun Kalt merasakan opsyen itu berkemungkinan besar akan dibantah penduduk  yang enggan bertukar negeri.

Cara paling senang untuk dibuat tanpa bantahan tetapi paling sukar untuk dicapai adalah dengan memujuk kumpulan penduduk agar berpindah ke kawasan tersebut, bagi memulakan penempatan baru.

Sekurang-kurangnya 12 orang dewasa diperlukan bagi membentuk barisan juri.

Masalah yang masih belum diselesaikan sehingga kini

yellowstone national park

Kongres Amerika Syarikat selepas 15 tahun tesis tersebut diterbitkan, masih belum melakukan sebarang langkah penambahbaikan bagi menyelesaikan dilema kawasan tersebut.

Usaha menggesa penggubal undang-undang Amerika Syarikat khasnya di Wyoming dan Idaho berdepan jalan buntu disebabkan oleh masalah birokrasi melampau. Bagi Kalt, selagi mana lubang pendakwaan undang-undang ini tidak ditutup - risiko seseorang akan memilih melakukan jenayah berat di situ untuk melepaskan diri masih wujud.

Nasib baiklah belum pernah kejadian jenayah berlaku di kawasan tersebut, kecuali satu insiden di mana seorang pemburu menembak haiwan yang dilindungi di kawasan Zone of Death. Malangnya - pemburu tersebut memilih untuk mengaku salah terlebih dahulu serta menerima tawaran hukuman lebih ringan, tidak mencabar dakwaan mahkamah. Kenapa?

Kes ini unik kerana dalam pendakwaan tersebut mahkamah membenarkan hukuman diringankan menerusi rayuan, dengan syarat suspek tidak menggunapakai kelompongan yang wujud untuk meminta diadili menggunakan sistem juri.

Selepas bersetuju dengan syarat itu, tertuduh hanya menerima hukuman penjara 4 tahun, berbanding hukuman asal 7 tahun.

Sehingga kini Zone of Death masih dibiarkan terkeluar daripada sistem kehakiman undang-undang Amerika Syarikat, kosong tanpa penghuni. Secara teknikalnya, semua warga Amerika Syarikat bebas melakukan apa saja di sana walaupun jenayah berat.

Ini kerana besar kemungkinan dia boleh terlepas daripada dibicarakan atau paling teruk pun, mahkamah pula yang akan menawarkan penyelesaian agar hukuman diringankan.

Rujukan

The Perfect Crime - Brian C. Kalt




Hakcipta iluminasi.com (2017)