Oleh pada 12 Dec 2017 kategori

Penulisan ini ditulis saudara Nik Mohd Iznan di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. 


Banyak orang berkongsi tip menjemput rezeki. Antaranya ialah banyakkan bersedekah.

Sekarang, saya ingin berkongsi 10 tip menjemput idea atau ilham. Benar, idea atau ilham sangat penting bagi seorang penulis. Tanpa idea dan ilham, agak sukar untuk kita menulis. Tidak kiralah menyiapkan manuskrip buku atau penulisan di media sosial.

1. Banyakkan amal ibadat

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ibadat terbahagi kepada dua. Iaitu ibadat umum dan ibadat khusus. Apabila kita perbanyakkan amal ibadat, kita akan semakin dekat dengan Tuhan. Apabila kita dekat dengan Tuhan, ilham akan mudah muncul dalam minda dan jiwa kita.

2. Jauhi perkara maksiat

Benar, apabila kita banyak melakukan maksiat, ilham-ilham karut akan muncul. Impaknya, tulisan kita akan menjadi keras dan kasar. Sebab itulah apa yang kita tulis semuanya bertentangan dengan syariat. Kita cuma nampak semua yang lain tidak betul. Kerana apa, hati kita telah menjadi hitam.

3. Betulkan niat menulis

Memang, ini hal yang nombor satu. Kita menulis untuk apa? Adakah sekadar untuk menagih perhatian insan lain. Adakah kerana hanya mahu mengambil kesempatan di atas bakat yang ada. Mempergunakan orang lain untuk kepentingan peribadi. Maaf kawan, masih belum terlambat. Betulkan niat dahulu. Awalkan menulis kerana Tuhan. Material dan kebendaan kelaknya akan datang sendiri.

4. Jaga adab dan batas pergaulan

jaga batas pergaulan

Memang betullah, setiap orang boleh menulis dengan cantik. Orang yang baca pun tertawan. Tapi kadang-kadang kita menjadi tidak beradab. Lihatlah bagaimana kita membalas komen orang yang tidak sebulu dengan kita. Penuh dengan kata-kata negatif dan cacian.

5. Pergilah mengembara

Betul. Jauh berjalan luas pengalaman. Orang yang banyak mengembara akan mendapat ilham dan idea yang luar biasa. Kumpullah duit. Sesekali keluarlah dari Malaysia. Pergilah mana-mana negara luar dan lihat gaya hidup masyarakat luar. Kalau tidak mampu, mengembara dalam negara pun boleh.

6. Jadilah pembaca setia

banyakkan membaca

Kita terlalu banyak membaca bahan-bahan dalam internet. Jangan hanya bergantung kepada media sosial. Baca juga bahan-bahan bacaan lain. Buku, akhbar, majalah, jurnal, dan sebagainya. Dengan membaca, idea kita akan semakin berkembang. Bagaimana mahu menjadi penulis yang baik kalau malas membaca. Membaca jambatan ilmu. Hanya pembaca setia akan sentiasa segar ideanya.

7. Bergaul dengan masyarakat

Ramai penulis yang jenis tidak pandai bergaul. Program-program penulisan tidak mahu campur. Ada yang jenis suka berkurung di rumah. Berdua-duaan dengan komputer. Untuk merancakkan idea penulisan, keluarlah. Bercakaplah. Bergaullah. Jangan jadi kera sumbang.

8. Banyakkan berdoa

banyakkan berdoa

Ingat, ilham itu daripada Tuhan. Dia yang berhak mengurniakan ilham kepada siapa yang Dia suka. Jadi, banyakkan berdoa. Tadahlah tangan mohon kepadanya supaya dikurniakan kekuatan akal. Supaya idea dan ilham akan sentiasa mengalir sederas air terjun yang jatuh di atas batuan.

9. Amalkan pemakanan yang boleh menguatkan minda

Antaranya ialah kismis, kurma dan madu. Amalkan makanan yang telah terbukti secara saintifik. Bukan sekadar idea, malah kita juga akan beroleh pahala kerana mengamalkan pemakanan sunnah.

10. Sentiasa minta restu ibu bapa

Akhirnya, sentiasalah berbuat baik kepada ibu bapa. Sentiasa mohon restu mereka. Orang yang buat baik kepada ibu bapa, InsyaAllah jiwanya akan tenang. Bila jiwa tenang, senanglah idea akan muncul. Jangan sesekali menjadi anak yang derhaka. Yang lupa jasa dan pengorbanan ibu bapa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)