Seekor buaya bernama Kojek merupakan seekor lagi haiwan terbaru yang tiba di pusat pemuliharaan Taman Safari di Bogor, Indonesia. Namun, ada kisah menyayat hati di sebalik kedatangan Kojek ke situ.

21 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1997, seorang penduduk Bogor sedang melalui Cianjur, Jawa Barat apabila terlihat seekor anak buaya sedang didera oleh sekumpulan kanak-kanak. Muhammad Irwan telah menyelamatkan buaya tersebut dengan membayar 20,000 rupiah (RM5.40) kepada nelayan yang menangkapnya. Irwan kemudian membawa pulang buaya yang ketika itu hanya berukuran 10cm dan memberikannya nama Kojek.

irwan memandikan dan memberus gigi kojek buaya peliharaan

Tahun demi tahun, Kojek telah menjadi sebahagian daripada keluarga Irwan. Buaya yang sepatutnya bersifat ganas dan liar itu menjadi binatang peliharaan yang sangat jinak. Kesemua jiran tetangga dan rakan-rakan Irwan menganggap Kojek seekor haiwan peliharaan domestik yang lain sama seperti seekor kucing kerana ia tidak akan mencederakan sesiapa.

Kojek membesar menjadi seekor buaya bersaiz 2.75m panjang dan mempunyai berat mencecah 200kg. Ia mendapat jolokan "buaya gemuk" dan diberi makan sekitar 2kg ke 5kg ikan setiap hari. Selain itu, ia menerima layanan istimewa kerana Irwan akan memandikan dan memberus gigi Kojek seminggu sekali.

buaya kojek haiwan peliharaan keluarga selama 21 tahun

Buaya itu menjadi haiwan yang popular sejak menjadi tular di media sosial. Ramai pelancong dari Australia, Eropah dan Amerika mula datang ke rumah Irwan untuk melihat sendiri buaya jinak ini dengan lebih dekat. Malah, ada seorang pelancong pernah menawarkan 1 bilion rupiah (RM270,000) kepada Irwan untuk membeli Kojek, namun Irwan tidak berniat menjualnya kerana ia telahpun menjadi sebahagian keluarga mereka.

Akan tetapi, kehidupan domestik Kojek yang dimanjakan itu berakhir awal tahun ini apabila berita mengenainya sampai ke telinga pegawai di Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) di Jawa Barat. Tanggan 4 Februari 2018, pegawai-pegawai BKSDA datang untuk mengambil Kojek dari rumah Irwan kerana ia diklasifikasikan sebagai haiwan yang dilindungi di bawah undang-undang Indonesia dan tidak boleh dijadikan binatang peliharaan.

ibu irwan sedih kerana kojek buaya peliharaan harus dipindahkan ke taman safari

Laporan yang disiarkan oleh berita saluran nasional Indonesia itu menunjukkan betapa sukarnya para pegawai mencuba untuk memindahkan Kojek. Kojek kelihatan seperti sedih dan enggan meninggalkan rumahnya selama 21 tahun itu. Ramai juga yang mengalirkan air mata terutama sekali ibu Irwan yang telah menganggap Kojek sebagai cucunya sendiri.

Irwan yang turut berasa sedih dan kehilangan terpaksa redha dengan keputusan pihak berkuasa itu. Cuma Irwan amat mengharapkan agar pihak Taman Safari menjaganya dengan baik dan tidak mencampurkan Kojek bersama buaya lain kerana sifatnya yang jinak.

Kini di Taman Safari, Kojek hidup dalam kandangnya sendiri dan para veterinarian mengenakan diet yang ketat ke atasnya kerana mengalami obesiti. Pihak Taman Safari berharap agar Kojek dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru itu yang lebih menyerupai habitat asalnya berbanding rumah Irwan dan dapat berkenalan dengan buaya-buaya lain.

irwan melawat kojek buaya peliharaannya di taman safari bogor

Selepas kejadian memilukan itu, Taman Safari pernah memuat naik gambar di akaun Instagram mereka menunjukkan Irwan datang melawat Kojek di dalam kandangnya. Mereka juga memuji Irwan yang rela melepaskan Kojek agar ia boleh mempunyai hidup yang lebih baik.

Namun, pada masa yang sama mereka menasihati Irwan dan keluarganya supaya tidak berkunjung terlalu kerap kerana ia boleh menyebabkan ikatan emosi antara mereka terjalin kembali dan melambatkan proses aklimatisasi Kojek.


tags : , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)