inilah lelaki yang memiliki domain google dalam tempoh seketika

Google cukup sinonim dengan internet sehinggakan Google menjadi laman pertama bagi majoriti individu pengguna internet seluruh dunia, dalam melayari internet. Perkataan 'google kan sahaja' pula sudah jadi satu sebutan biasa kita sehari-hari.

Tetapi tahukah anda, pada satu hari dalam bulan September 2015, alamat laman web domain Google 'www.google.com' telahpun berpindah tangan kepada seorang individu bernama Sanmay Ved?

Pada waktu tersebut, Sanmay sudah pun menamatkan khidmatnya dengan Google. Secara tidak sengaja dia cuba menggunakan salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google dalam memudahkan pembelian domain atau alamat laman web, melalui Google Domains.

sanmay ved

Sekadar mencuba, Sanmay menaip 'google.com' ke dalam ruangan carian dan hasil carian tersebut memberitahu beliau, dia boleh membeli domain 'google.com' dengan harga serendah RM46 setahun.

Terkejut melihat hasil carian tersebut, Sanmay merasakan mungkin ada kesilapan ke atas sistem Google Domains. Bagaimanapun, dia tetap cuba meneruskan pembelian. Domain 'google.com' dimasukkan ke dalam troli digital, dia memasukkan maklumat kad kredit beliau dan pengesahan datang tidak lama selepas itu.

Sanmay kini adalah pemilik alamat 'google.com' yang sah! Pencarian di beberapa laman web penyenaraian domain mendapati domain tersebut telah bertukar tangan!

Pembelian ditarik balik

google domain check google dot com

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Sanmay mendapat satu email daripada Google memberitahu yang domain 'google.com' telah diambil alih daripada beliau dan caj yang telah dikenakan pada kad kredit beliau akan dipulangkan.

Pengakhiran yang menggembirakan

Selepas mendapati dia boleh membeli domain tersebut, Sanmay melaporkan kejadian itu kepada Google dan Google pula mendapati laporan Sanmay layak dimasukkan ke dalam skim Google Security Rewards Program.

Google Security Rewards Program adalah satu program yang disertai ramai penyelidik dari seluruh dunia. Google pada tahun 2015 telahpun mengeluarkan ganjaran Rm7.79 juta kepada 300 individu yang berjaya mengenalpasti isu dan masalah serta laporan dibuat.

Sanmay ditawarkan ganjaran USD6,006.13 (RM23,405) atas kejayaannya mengenal pasti potensi masalah yang mungkin berlaku, sehingga membolehkan beliau menjadi tuan punya domain 'google.com' selama beberapa minit. Sanmay bagaimanapun mendermakan keseluruhan ganjaran yang diterima kepada program Art of Living's yang membantu dalam program pendidikan di India.

Mengetahui apa yang dilakukan oleh Sanmay itu, pihak Google pun menambah amaun yang sama kepada Sanmay sekali lagi sebagai ganjaran kepada beliau.

Bekas tuan punya Google.com

gambar original dari sanmay ved

Pengalaman Sanmay memiliki Google.com walaupun hanya sementara, katanya merupakan satu pengalaman yang tidak mungkin akan dilalui sekali lagi. Bagaimanapun, dia menasihati Google agar berjaga-jaga agar perkara tersebut tidak berulang.

Selepas saja dia memiliki domain tersebut, seluruh sistem domain Google boleh diakses kerana dia berjaya masuk ke dalam domain tersebut sebagai pengendali utama. Sanmay mengakui, dia berjaya mengakses beberapa perkara sulit yang sepatutnya hanya didedahkan di kalangan pengendali Google sahaja.

Google amat bernasib baik kerana yang terbeli domain 'google.com' pada waktu itu adalah seorang bekas pekerja Google yang beretika dan bukannya seorang penggodam yang berniat jahat. Dilaporkan tidak ada gangguan berlaku pada enjin carian 'google.com' sewaktu Sanmay Ved menjadi tuan punya domain laman web carian paling popular di dunia itu.

Rujukan

Time Magazine


tags : , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)