Beberapa tahun dahulu, domain bagi sesuatu laman web adalah terhad kepada 22 Top-Level Domains (TLDs) seperti ".com", ".net", ".org" dan juga TLDs khas yang dikeluarkan untuk negara-negara seperti ".co.uk" (UK) dan ".us" (us). Malaysia juga mempunyai TLDs sendiri antaranya ".my" dan ".com.my".

Walau bagaimanapun, segalanya berubah kebelakangan ini apabila pihak Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN), iaitu organisasi yang mengawal pengeluaran TLDs ini mula membenarkan sesebuah syarikat dan organisasi untuk memohon domain khas. Bagi membolehkan sesuatu TLDs baru dicipta, pihak ICANN memerlukan setiap syarikat atau organisasi yang memohon untuk melakukan bidaan. Tawaran bidaan ini pula boleh dicabar dan ditolak oleh sesuatu syarikat, organisasi mahupun negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

icann pendaftar domain

Bagi sesebuah syarikat atau organisasi yang memenangi sesuatu bidaan pula, mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakannya pada syarikat atau organisasinya sahaja, atau membenarkan pihak lain untuk turut sama menggunakannya. Akibat daripada kebenaran ICANN untuk mendaftarkan TLDs ini, terdapat banyak TLDs pelik yang wujud seperti ".hotel" dan ".sucks".

Kewujudan TLDs yang pelik ini secara tidak langsung telah mencetuskan beberapa kontroversi antaranya berkaitan hakcipta. Kali ini, Iluminasi ingin berkongsi 5 kontroversi besar yang terjadi diakibatkan oleh kewujudan senarai TLDs yang pelik ini.

1. Domain .sucks

domain sucks

Domain .sucks merupakan antara TLDs paling kontroversi dan paling ditakuti oleh jenama-jenama besar. Bayangkan sekiranya terdapat seorang pelanggan yang tidak berpuas hati dengan servis atau produk sesuatu syarikat, kemudian mendaftarkan TLDs .sucks ini dengan nama syarikat tersebut. Contohnya amazon.sucks. Sudah tentulah ini akan memberikan reputasi buruk kepada syarikat tersebut.

Bagi mengelakkan perkara ini terjadi, syarikat-syarikat besar biasanya akan membeli apa sahaja TLDs yang boleh didaftarkan atas nama syarikat mereka bagi mengelakkan orang ramai daripada menyalahgunakannya. Kontroversi terjadi apabila syarikat Vox Populi Registry Ltd. yang mempunyai hak keatas pendaftaran TLDs .sucks ini mengenakan harga yang terlalu mahal untuk pendaftaran domain ini.

Lebih menjadi kontroversi apabila syarikat pendaftar ini menggunakan teknik mengugut syarikat-syarikat besar ini sekiranya mereka tidak mahu membayar harga yang diminta, domain-domain syarikat tersebut akan ditujukan ke forum-forum yang membolehkan para netizen memberi kritikan kepada jenama syarikat-syarikat tersebut. Berang dengan tindakan syarikat syarikat Vox Populi Registry Ltd., pemilik-pemilik bisnes menggesa ICANN melaporkan perkara tersebut kepada US Federal Trade Commission untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

2. Domain .xxx, .adult, .porn

domain xxx

Pihak ICANN telah memperkenalkan TLDs .xxx pada tahun 2011. Tujuan utamanya adalah bagi membolehkan pemilik laman pornografi menggunakannya dan memudahkannya dibezakan oleh orang ramai. Walau bagaimanapun, ianya mencetuskan panik dalam kalangan pemilik laman web yang tiada kaitan dengan laman pornografi.

Banyak syarikat dan juga universiti di Amerika Syarikat mula mendaftarkan alamat laman web mereka dengan domain .xxx untuk mengelakkan ia dibeli dan disalahgunakan oleh orang lain. Syarikat-syarikat besar seperti Pepsi, Google dan Youtube turut sama mendaftarkan domain mereka - pepsi.xxx, google.xxx dan youtube.xxx. Perkara sama turut berlaku pada TLDs .porn dan .adult apabila kedua domain itu diperkenalkan.

3. Domain .catholic

vatican 876

Pihak ICANN masih lagi mempertimbangkan untuk memperkenalkan TLDs .catholic. Pihak Vatican merupakan merupakan entiti yang memohon pengenalan TLDs ini, malah sudahpun membuat bayaran sebanyak $185,000 untuk membolehkan bidaan keatasnya dilakukan. Sekiranya berjaya, pihak Vatican akan mempunyai hak keatas TLDs .catholic ini dan mempunyai autoriti untuk mengehadkan pihak tertentu sahaja mendaftarkannya.

Walau bagaimanapun, permintaan Vatican ini ditentang keras oleh pihak Arab Saudi. Arab Saudi menentang sebarang pendaftaran TLDs baru yang mempunyai kaitan dengan agama termasuklah sekiranya ia mempunyai kaitan dengan agama Islam seperti TLDs .islam, .halal dan .ummah. Menurut pihak Arab Saudi, pemilikan TLDs .catholic oleh pihak Vatican adalah tidak adil kerana terdapat mazhab lain dalam agama Kristian seperti pihak Eastern Orthodox Church dan Oriental Orthodox Church yang menganggap mereka juga sebahagian daripada golongan Katolik.

4. Domain .corp, .home, and .mail

intranet

Pada tahun 2012, kira-kira 20 pemilik bisnes membayar pihak ICANN $185,000 bagi membuat bidaan bagi TLDS .corp, .home, and .mail. Walau bagaimanapaun, tidak lama kemudian pihak ICANN mendapati ketiga-tiga TLDs ini banyak digunakan dalam jaringan intranet dan juga tetapan DNS. Sekiranya mereka membenarkan pendaftaran ketiga-tiga TLDs ini, ianya akan menyebabkan isu sekuriti dimana pengguna internet boleh mengakses jaringan peribadi.

Setelah 6 tahun mempertimbangkan perkara ini, pihak ICANN mengambil keputusan untuk tidak akan membenarkan pendaftaran ketiga-tiga TLDs ini sampai bila-bila. Mereka turut memulangkan kembali bayaran yang dibuat oleh 20 pemilik bisnes yang berminat untuk membuat bidaan bagi TLDs ini.

5. Domain .su

domain ussr

TLDs .su dikeluarkan suatu ketika dahulu dimana ianya dikhaskan untuk negara Soviet Union. Ianya dikeluarkan khas untuk pihak USSR pada tahun 1990, setahun sebelum keruntuhan kerajaan Soviet Union runtuh dan berpecah kepada beberapa negara kecil. Dengan kejatuhan Soviet Union, TLDs .su sepatutnya dilupuskan sama seperti TLDs .yu untuk Yugoslavia dan .dd untuk Jerman Barat yang tidak lagi wujud. Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku dan TLDs .su masih kekal sehingga ke hari ini.

Kini, TLDs .su ini banyak digunakan oleh penggodam dan penjenayah untuk melakukan jenayah digital seperti penghantaran mesej spam, bot, serangan DDoS dan penyebaran virus. Banyak penjenayah memilih TLDs .su semenjak 2011 apabila pihak Russia mengetatkan polisi untuk pemilikan domain dengan akhiran .ru. Sementara itu. antara sebab TLDs .su tidak dimansuhkan adalah kerana terdapat kira-kira 120,000 laman web sah yang masih menggunakannya.

Kredit:

  1. The Week
  2. The Telegraph
  3. The Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)