Oleh pada 01 Jun 2022 kategori

Setiap musim, peminat sukan bola sepak di Malaysia hangat membincangkan berkenaan sukan bola sepak Eropah. 

Tahap sokongan kita kepada kelab-kelab ini layak dikatakan agak tinggi, walaupun realitinya kita tidak ada hubungan dengan mereka - sehinggakan ada di kalangan warga kita yang ternampak jelas fanatiknya. 

Sebagai sebuah masyarakat yang pernah dijajah kuasa kolonial barat, ada masanya kita gemar membincangkan berkenaan kesan penjajahan yang masih bertaut dalam masyarakat kita namun tidak banyak perbincangan berkisar kaitan pengaruh bola sepak Eropah kepada mentaliti kita dilakukan secara formal.

Persoalannya - adakah bola sepak Eropah merupakan kesinambungan bentuk kolonialisme secara tidak rasmi?

Berikut adalah tanda-tanda tidak rasmi kenapa penulis merasakan ya, minda kita masih dijajah dan bola sepak merupakan antara kaedah utama meneruskan dasar kekaguman kita kepada orang Eropah.

1. Kejohanan paling berprestij mesti melibatkan persaingan kelab Eropah

kejohanan liga liga juara eropah

Sehingga kini mana-mana pertandingan yang bukan melibatkan kelab-kelab dari Eropah terus dilihat sebagai pertandingan yang kurang berprestij serta lebih layak dikategorikan sebagai kelas kedua. 

Walaupun pasukan dari negara kita sudah semakin kerap menyertai pertandingan di antara kelab atau pasukan kebangsaan dalam peringkat Asia ataupun Asia Tenggara, tanyalah mana-mana penyokong - kejohanan di Eropah dilihat lebih tinggi martabatnya. 

Bukan setakat itu sahaja; liga-liga di Eropah turut dijadikan model kepada pertandingan bola sepak peringkat Asia yang mengakibatkan pertandingan serantau kita memikul persepsi sebagai 'peniru' atau 'copycat' kepada 'pertandingan sebenar.'

Situasi ini menyumbang kepada satu masalah besar di kalangan pemain serantau kita...

2. Mereka yang dapat bermain di Eropah baru dianggap terbaik

pemain malaysia beraksi di eropah

Bagaimana liga bola sepak di Asia atau Asia Tenggara boleh ditambahbaik, sekiranya pemain-pemain terbaik di rantau ini melihat hanya dengan terpilih menyertai kelab di Eropah sebagai satu bentuk kejayaan?

Ramai pemain-pemain terbaik Asia khasnya dari negara Korea Selatan dan Jepun seperti Son Hyeung Min, Hidetoshi Nakata, Takumi Minamino dan Takehiro Tomiyasu 'perlu' ke Eropah bagi membuktikan kemampuan mereka. Pemain dari Iran seperti Sardar Azmoun dan Mehdi Taremi juga memilih untuk ke liga Eropah kurang terkenal seperti liga Rusia dan Portugal. 

Sekiranya mereka kekal dalam liga tempatan, mereka dilihat seakan-akan gagal memenuhi potensi mereka. 'Player power perlu ke Eropah.' Jika itu pandangan yang terbaik - persoalannya, bagaimana liga kita nak maju ke depan?

Walau bagaimanapun model yang dipakai kelab-kelab dari Asia Tengah agak berjaya dalam mengekalkan pemain-pemain terbaik mereka, untuk kekal bermain dalam liga tempatan.

Pemain terbaik Arab Saudi seperti Salem Al-Dawsari dan Salman Al-Faraj yang dinobatkan sebagai antara kelompok 10 pemain terbaik di Asia kekal bertanding dalam liga tempatan dan juga pertandingan peringkat Asia, berjaya memenangi Liga Juara-Juara Asia tahun 2021.

3. Kita tidak suka kelab kurang ternama Eropah menang

pasukan greece menang kejohanan eropah 2004

Kebangkitan pasukan berstatus underdog kadangkala mencipta kisah yang manis untuk menjadi kenangan.

Bagaimanapun kebiasaannya, majoriti penyokong pasukan bola sepak Eropah ini mahu hanya kumpulan kelab tertentu memenangi mana-mana kejohanan biasanya kelab gergasilah - walaupun mereka sendiri tak menyokong kelab tersebut. 

Bila sesuatu pertandingan bermula, ramai sudah meramal mana kelab yang akan menghuni kedudukan teratas sementara kelab-kelab kerdil dilihat sebagai perencah tambahan. Situasi ini lebih jelas apabila pertandingan antara benua berlangsung. 

Sesuatu pertandingan yang menampilkan perlawanan akhir di antara kelab atau pasukan kebangsaan dari Asia melawan kelab dari Amerika Selatan sebagai contoh, dilihat kurang tarikannya untuk diikuti atau ditonton - kerana tanpa penglibatan pasukan atau kelab dari Eropah, kejohanan itu dilihat telah hilang serinya.

4. Kita masih meraikan kemenangan kelab Eropah secara besar-besaran

penyokong manchester united di malaysia

Setiap kali tiba perlawanan besar peringkat Eropah seperti perlawanan akhir Liga Juara-Juara atau Piala Eropah, peminat bola sepak di sini akan menganjurkan sesi tayangan yang meriah mengumpulkan peminat dan penyokong kedua pasukan sama-sama menonton - ibarat di stadium.

Bila dah berkumpul ramai-ramai tu, emosi kita pun akan mudah terbuai dengan apa yang berlaku di padang. Menganjing dan mengutuk penyokong yang telah kalah menjadi antara adat resam, baik dalam dunia nyata mahupun dalam media sosial.

Kenapa kita rakyat Malaysia, mempunyai tahap kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap pasukan atau kelab yang langsung tidak mempunyai hubungkait dengan kita, sehingga turun naik prestasi kelab itu mampu mempengaruhi emosi dan keadaan diri kita?

Apa yang aneh, bagi segelintir penyokong ini pula - tahap minat sama tidak mampu mereka tonjolkan apabila membicarakan berkenaan liga tempatan atau pertandingan serantau. Hanya pertandingan Eropah melekat di hati mereka.

5. Kesemua liga terkenal Eropah datang dari negara bekas penjajah

kuasa kolonial kini bergelar kuasa bola sepak dunia 02

Jika anda belum sedar - majoriti liga yang mendapat tahap sokongan tidak berbelah bahagi dari rakyat Malaysia, datangnya dari negara-negara bekas penjajah di rantau kita. 

Kita dijajah Britain, Belanda dan Portugal, Indonesia dijajah Belanda, Filipina dijajah Sepanyol, Vietnam dikuasai Perancis. Kesemua bekas kuasa kolonial itu kini memiliki liga paling ramai peminat di sini. Selain itu Jerman, Itali dan Belgium juga mempunyai sejarah hitam berkenaan gerakan penaklukan bagi memperbesarkan empayar. 

Banyak kajian telah menunjukkan bagaimana sukan yang diperkenalkan kuasa kolonial zaman dahulu, perlu dilihat sebagai kaedah kawalan minda; membolehkan masyarakat tempatan yang dijajah bersatu untuk diberikan peluang menewaskan pasukan lawan yang dianggotai barisan pemain kerajaan kolonial.

iklan

Dengan ini sentimen anti kuasa kolonial atau sentimen mahu mencetuskan rusuhan dapat diredakan, kerana orang tempatan dapat menghalakan tenaga mereka dalam usaha bertanding secara sama rata.

Kemenangan dalam perlawanan bola sepak oleh wakil tempatan diraikan sebagai kemenangan besar - walhal yang tewas itu tetap kekal menjajah yang menang. Taktik ini dapat dilihat di mana-mana negara bekas kolonial Eropah walaupun mungkin tidak ramai menyedarinya.

Aplikasikan situasi sama dalam zaman moden; kita di Asia sekiranya dapat menewaskan pasukan dari Eropah dilihat sebagai satu kemenangan yang cukup bermakna walaupun dalam perlawanan persahabatan.

Penyerang tempatan yang mampu menjaring gol melawan kelab gergasi di Eropah terus naik profilnya. Pemain terbaik tempatan yang dipanggil untuk menyertai sesi cubaan di Eropah pun dah dianggap satu kejayaan yang besar.

Jadi persoalannya - siapa sebenarnya yang untung dan menang dalam semua pertukaran ini? 



Hakcipta iluminasi.com (2017)