Rata-rata daripada anak muda sekarang pastinya tidak pernah mendengar mengenai Maarof Zakaria. Walau bagaimanapun, jasanya terhadap orang Melayu sangat tinggi. Bagi yang tidak tahu, beliaulah individu yang menubuhkan Malay National Bank atau Bank Kebangsaan Melayu.

Berasal daripada Seri Menanti, Negeri Sembilan beliau pernah menjadi seorang peguam. Beliau boleh dianggap sebagai seorang elit Melayu dan mendapat pendidikan Inggeris. Ketika mana nasionalis Melayu ketika itu berjuang mendapatkan kemerdekaan, beliau memperjuangkan nasib orang Melayu pada ketika itu dengan cara yang sangat berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penindasan terhadap orang Melayu

pengasas bank melayu pertama

Sebelum kemerdekaan Malaysia (dahulunya dikenali Tanah Melayu), hanya terdapat 2 bank yang beroperasi di tanah. Kedua bank tersebut adalah The Chartered Bank dan OCBC. Walau bagaimanapun, kedua-dua bank ini bertindak menindas orang Melayu dengan menetapkan polisi tidak memberikan sebarang bentuk pinjaman kewangan kepada orang Melayu pada ketika itu.

Bagi orang Melayu yang perlu membuat pinjaman bagi tujuan perniagaan dan pelbagai tujuan lain, mereka terpaksa membuat pinjaman daripada ceti-ceti peminjam wang yang tentunya mengenakan kadar faedah atau bunga yang tinggi dan berat sebelah.

Walaupun merupakan penduduk asal Tanah Melayu, keadaan ini seolah-olah orang Melayu ketika itu ditindas di tanah air sendiri. Menyedari akan hakikat ini, Maarof Zakaria nekad ingin membantu orang Melayu dengan menubuhkan satu bank baru yang khusus untuk membantu ekonomi orang Melayu.

Kelahiran Malay National Bank

malay national bank

Pada tarikh 12 Mei 1947, maka lahirlah Malay National Bank. Dokumentasi mengenai perkara ini terdapat pada dokumen Memorandum of Association and Articles Association, Malay National Bank yang telah disahkan oleh Timbalan Pendaftar Syarikat Malayan Union, Lee Keng Hong.

Selain pinjaman kewangan, bank ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti jual beli saham, bon, stok dan pelbagai lagi yang sememangnya ingin membantu memaju dan mengukuhkan ekonomi orang Melayu pada ketika itu.

Bangunan pertama bank ini dikatakan terletak di alamat No 63, Klyne Street. Walau bagaimanapun, nama jalan itu kini sudah ditukar kepada Jalan Hang Lekiu yang terletak di ibu negara. Bank ini kemudiannya berkembang dengan membuka 6 buah cawangan lain di Muar, Kuala Pilah, Raub, Temerloh, Kemaman dan Rembau.

Malangnya, Maarof Zakaria hanya sempat menguruskan bank ini selama 7 bulan sebelum beliau ditemui mati dibunuh. Dalam tempoh itu, beliau berjaya mengumpulkan 10 orang pemegang saham utama bagi menggerakkan modal bank ini. Pemegang saham ini terdiri daripada usahawan dan golongan elit Melayu.

Percubaan menghalang pembukaan

cubaan membunuh pengasas bank

Pembukaan bank pertama bagi orang Melayu ini sememangnya tidak mudah dan mendapat tentangan beberapa pihak dengan usahanya ini. 3 bulan sebelum bank ini didaftarkan, terdapat cubaan untuk membunuhnya di rumah milik keluarganya di Taman Seputeh, Jalan Klang Lama.

Kisah ini diceritakan sendiri oleh anaknya, Datuk Mustapha Maarof (kini sudah Allahyarham) yang juga merupakan seorang artis. Kawan rumah mereka merupakan sebuah dusun berkeluasan 0.8 hektar dan terdapat dua unit rumah 1 tingkat di kawasan itu iaitu satu unit di atas bukit dan satu unit lagi di lereng bukit.

Ketika Datuk Mustapha Maarof (anaknya) sedang mengecat rumahnya, mereka telah didatangi 3 orang yang melepaskan beberapa tembakan ke arah mereka. Beliau yang ketika itu bersama dengan bapa saudaranya berjaya melarikan diri melalui tingkap belakang dan bersembunyi dalam belukar berhampiran.

Beliau yakin ketiga individu terbabit cuba membunuh bapanya Maarof Zakaria yang sebenarnya belum lagi pulang daripada bekerja di ibu negara. Tiada siapa yang menyangkan bahawa peristiwa tersebut memberi petunjuk kepada peristiwa penculikan dan pembunuhan Maarof Zakaria hanya 7 bulan selepas bank Malay National Bank dibuka. 

Kisah Pembunuhan Maarof Zakaria

kisah pembunuhan maarof zakaria

Peristiwa pembunuhan Maarof Zakaria pada tahun 1947 dianggap sangat tragis dan menyedihkan. Pada tarikh 4 Disember 1947, beliau telah diculik ketika dalam perjalanan daripada rumah lamanya di Kampung Baru ke rumah barunya.

Hanya 3 hari kemudian, iaitu pada tanggal 6 Disember 1947 pihak polis telah menemui keretanya yang tersadai di tepi jalan di Batu 13, Jalan Kuala Lumpur - Bentong. Keesokan harinya, pasukan penyelamat menemui mayatnya tergantung di sebuah pokok dalam hutan tidak jauh daripada lokasi keretanya ditemui.

Kes pembunuhan ini masih lagi menjadi misteri sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, ramai pihak yang beranggapan ianya merupakan sebahagian komplot untuk menggagalkan penubuhan bank pertama untuk orang Melayu dan menghalang kebangkitan ekonomi orang Melayu yang diperjuangkannya. Teori ini disokong dengan cubaan membunuhnya beberapa bulan sebelum itu di kawasan rumah barunya.

Selepas peristiwa hitam ini, Malay National Bank telah diambil alih oleh anak saudaranya Mustapha Mohamed Yusof. Beliau bersama beberapa individu yang selama ini memperjuangkan penubuhan bank tersebut seperti Yahya Mohamed, Mohammad Salleh Mohd Eusof dan Kamsiah Maarof telah bertungkus lumus memajukan bank itu.

Umur bank ini juga tidak begitu lama. Akibat kekurangan modal, bank ini terpaksa juga ditutup akhirnya. Walaupun begitu, jasa Allahyarham Maarof Zakaria sememangnya wajar dipuji dalam usahanya membantu ekonomi orang Melayu ketika zaman sebelum kemerdekaan.

Kredit:

  1. Berita Harian Online
  2. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)