Oleh pada 17 Aug 2019 kategori

Sejarah pembentukan sistem tulisan orang Melayu sebelum sampai kepada tulisan rumi dan jawi yang kita guna pakai ketika ini, mempunyai sejarah panjang yang boleh dibahagikan kepada beberapa fasa - mengikut zaman.

Wujud empat fasa perubahan sistem tulisan orang Melayu bermula daripada era yang digelarkan sebagai era Melayu lama, kemudiannya Melayu moden awal, Melayu moden akhir dan seterusnya era Melayu kontemporari yang mewakili zaman kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk membincangkan keempat-empat era itu, tetapi untuk memperkenalkan kepada anda 3 jenis sistem tulisan yang telah diamalkan nenek moyang kita sebelum rumi dan jawi diamalkan. Tahukah anda tentang sistem tulisan yang digunakan nenek moyang kita, sejak beribu tahun lamanya?

1. Tulisan Rencong

tulisan melayu lama rencong

Sistem tulisan Rencong atau Rentjong merupakan sistem tulisan yang diamalkan oleh orang Melayu di sekitar kawasan Sumatera, Kerinci, Bengkulu, Palembang dan Lampung ketika era yang dinamakan sebagai era Melayu lama, yang berlangsung secara rasmi pada tahun 682 hingga sekitar tahun 1500, tetapi benar-benar pupus hanya pada abad ke 18.

Wujud percanggahan pendapat tentang usia sebenar tulisan Rencong dengan satu lagi sistem tulisan iaitu tulisan Pallavi, kerana tidak dapat dibuktikan yang mana satu digunakan terlebih dahulu. Ini kerana ketiadaan bukti yang menunjukkan Rencong sudah digunakan sebelum kedatangan orang India ke Tanah Melayu, memperkenalkan tulisan Pallavi.

Bukti paling awal penemuan tulisan Rencong yang ditemui setakat ini berasal daripada abad ke 12, sementara bukti tulisan Pallavi pula dipercayai berasal daripada abad ke 7.

Walau demikian, majoriti penyelidik bersetuju kedua-dua sistem tulisan yang ada telah pun didahului oleh sebuah sistem tulisan yang tidak diketahui apa labelnya, diambil daripada pengaruh kerajaan Melayu Champa sekitar abad ke 4 yang mirip dengan tulisan Pallavi.

Tulisan Rencong ditemui ditulis di atas kulit-kulit kayu, diukir pada batang buluh dan daun pokok palma, selain daripada banyak penemuan ukiran pada tanduk kerbau dan kambing.

Satu perkara menarik tentang tulisan Rencong yang ditemui adalah ketiadaan kata pinjaman bahasa Arab, menunjukkan besar kemungkinan sistem tulisan ini digunakan sebelum kedatangan pedagang Arab ke sini lagi.

2. Tulisan Pallavi

tulisan pallaci

Kedatangan orang India ke kawasan sekitar sini membawa sistem tulisan Pallavi, yang turut sama dikenali dengan nama Pallava, diasaskan daripada sistem tulisan abad pertama masyarakat India yang dinamakan Vatteluttu.

Pallavi merupakan sistem tulisan lama orang Tamil yang datang dari bahagian Selatan India, yang menjadi asas kepada pembentukan sistem tulisan Kawi oleh orang Melayu.

Tergolong dalam era yang sama dengan sistem tulisan Rencong iaitu era Melayu lama, sistem tulisan Pallavi yang berasaskan kepada masyarakat India dan agama Hindu menyebabkan kesukaran apabila tibanya era kedatangan Islam pada masyarakat Melayu.

Ini kerana elemen-elemen Sanskrit dan Hindu menyukarkan orang Melayu menterjemah dan memahami al-Quran dan Hadis dengan senang, menyebabkan orang Melayu zaman dahulu berusaha memperbaiki kelemahan-kelemahan ini.

Dibangunkan sekitar abad ke 3 hingga ke 5, tulisan Pallavi membahagikan penggunaan simbol hurufnya kepada dua, iaitu konsonan dan vokal, dengan beberapa simbol tambahan digunakan bagi mewujudkan bunyi-bunyi yang berlainan.

Secara asasnya, sistem tulisan Pallavi jauh lebih kompleks berbanding dengan sistem rumi yang ada kerana Pallavi turut sama memperkenalkan simbol bagi gabungan bunyi seperti -au, -ai, pa, ya, kka, nca dan lain-lain lagi, dengan setiap konsonan juga tidak menandakan huruf semata-mata, tetapi membawa bunyi yang berbeza.

Beberapa buah batu bersurat yang ditemui memaparkan tulisan ini, iaitu batu bersurat Kedukan Bukit (683M) dan batu bersurat Talang Tuwo (684M) di Palembang, batu bersurat Kota Kapur (686M) dan baru bersurat Karang Brahi (692M) di Hulu Jambi, Indonesia.

3. Tulisan Kawi

tulisan kawi melayu lama

Tulisan kawi adalah sistem tulisan yang digunakan oleh orang-orang Melayu sejak abad ke 8, digunakan serentak dengan bermulanya era permulaan tulisan jawi di kalangan orang Melayu.

Ini berdasarkan kepada penemuan sebuah batu nisan orang Melayu yang dikenali dengan nama Ahmad Majnun di Pengkalan Kempas, Sungai Ujung, Negeri Sembilan. Batu nisan yang tertera tahun 1463 memaparkan kedua-dua bentuk tulisan iaitu Kawi dan jawi, melambangkan era tersebut merupakan era transisi tulisan orang Melayu kepada tulisan jawi yang ada sekarang, serta bukti kedatangan pengaruh Islam yang mula bertapak di Tanah Melayu.

Sistem tulisan Kawi diasaskan oleh orang Jawa, jadi sistem tulisan ini turut dikenali dengan nama tulisan lama Jawa. Banyak meminjam daripada istilah bahasa Sanskrit serta elemen-elemen Hindu, nama 'Kawi' itu sendiri diambil daripada perkataan Sanskrit yang bererti 'penyajak' atau 'penyair', melambangkan gaya bahasanya yang cantik.

Dua artifak lama yang ditemui memaparkan tulisan Kawi adalah dua batu bersurat yang ditemui di daerah Tapanuli, Sumatera. Batu bersurat yang dikenali sebagai batu bersurat Joreng (1179M) dan batu bersurat Padang Lawas (1213M)

Rujukan

Omniglot




Hakcipta iluminasi.com (2017)