Penyalahgunaan dadah atau tindakan mengedar dadah tidak pernah membawa kebaikan, tetapi sebaliknya. Setiap yang terlibat dengannya pasti akan menghadapi kehancuran.
Dan jika Colombia mempunyai lagenda raja dadah dunia iaitu Pablo Escobar, Indonesia juga mempunyai rakan sejawatan, dikenali sebagai Freddy Budiman.
Terjerumus dalam dunia dadah sejak usia belasan tahun
BESARKAN TEKS A- A+
Freddy Budiman telah menceburkan diri dalam dunia dadah sejak berusia belasan tahun.
Ketika masih bersekolah mengenah di Surabaya, Freddi telah mencuba hampir semua jenis dadah bermula dari heroin, ecstasy hinggalah ke syabu.
Setelah bertahun-tahun berhubung dengan pengedar dadah, Freddy kadang-kala diminta untuk menjadi penghantar atau menemani pengedar untuk berjumpa dengan seorang pengedar yang lebih besar di Jakarta.
Karier Freddy di ibu kota bermula selepas menamatkan sekolah menengah dan menemui rakannya yang juga merupakan seorang pengedar dadah.
Di usia semuda 20 tahun, Freddy sudah mengenali pengedar dadah besar yang memiliki kelab malam di bandar. Malah, dia juga mengenali mafia dadah.
Menggunakan segala pengalamannya dalam dunia serba hitam ini, Freddy dengan pantas membina rangkaiannya di China dan Belanda.
Gemar membantu orang lain
Keluarga Freddy Budiman dikenali oleh jirannya sebagai orang yang mempunyai personaliti yang sopan dan baik.
Menurut sumber, Freddy berasal dari keluarga perniagaan di mana bapanya adalah peniaga yang berjaya. Freddy digambarkan oleh kenalan sebagai seorang yang ramah dan pandai bersosial.
Malah, menurut kenalannya, dia kerap membantu orang yang dalam kesusahan dengan memberikan wang dan makanan. Apabila ditanya, dia hanya menjawab dia sentiasa mempunyai rezeki.
Tiada siapa yang tahu apa punca rezeki Freddy.
Masuk keluar penjara kerana dadah
Freddy telah direkodkan pernah dipenjarakan di Penjara Cipinang pada tahun 1997 kerana ke dadah. Tidak serik, dia ditangkap semula selepas itu kerana kes dadah.
Pada tahun 2009, Freddy dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun 4 bulan kerana memiliki 500 gram methamphetamine. Selepas dibebaskan, Freddy kembali bertindak sebagai pengedar dadah.
Namun, dia sekali lagi ditangkap oleh pihak berkuasa pada tahun 2011 apabila kereta miliknya diperiksa dan menemukan sejumlah barang bukti berupa 300 gram heroin, 27 gram sabu, dan 450 gram bahan pembuat ecstasy.
Disabitkan kesalahan, Freddy dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun.
Diberikan fasiliti yang mewah dalam penjara
Di dalam penjara, Freddy mempunyai pengaruh yang besar. Media melaporkan bahawa di Penjara Batu di Nusakambangan, dia ditempatkan di bilik khusus yang lebih besar daripada bilik banduan lain.
Selain itu, dia juga boleh berhubung dengan dunia luar dengan dibenarkan membawa TV dan telefon bimbit.
Mengatur penyeludupan dadah dari China dan Belanda
Walaupun dipenjara, ia tidak menghalang Freddy untuk meneruskan perniagaan haramnya.
Baru setahun berada di sebalik jeriji besi di Penjara Cipinang, Freddy telah mengatur penyeludupan 1.4 juta pil ecstacy dari China dan 400,000 ecstasy dari Belanda.
Kes penyeludupan yang dianggap paling besar dalam tempoh 10 tahun ketika itu berjaya dihidup pihak berkuasa.
Dan dengan itu, Majlis hakim Pengadilan Negeri Jakarta Barat telah menjatuhkan hukuman mati kepada Freddy Budiman pada Julai 2013.
Menghasilkan dadah di dalam penjara
Freddy kemudiannya dpindahkan daripada Penjara Cipinang ke Nusakambangan, namun ia tidak membantutkan perniagaannya.
Sebelum dipindahkan, Freddy sempat memberikan alat-alat pembuat dadah kepada seorang banduan yang bernama Tjejep Setiawan.
Menurut Tjejep, sehari selepas pemindahan Freddy, segala alatan tersebut dipindahkan ke bengkel pertukangan di Gedung Balai Latihan Kerja Penjara Cipinang.
Dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa membuahkan hasil apabila mereka menemui loji penghasilan dadah di dalam penjara.
Selain menemukan alat pembuat syabu, pemeriksaan tersebut juga menemui sebuah balang yang mengandungi fosforus merah, alatan mencetak, tin berisi cecair putih, buku catatan, telefon bimbit dan beberapa paket syabu.
Freddy kemudiannya dibawa ke Jakarta untuk disiasat berkenaan kes ini. Akhirnya, pihak berkuasa mendapati bahawa semua peralatan tersebut dibawa masuk oleh Freddy ketika dipenjara di Penjara Cipinang.
Dia juga telah menjadikan beberapa orang banduan sebagai pekerja dan mengambil kesempatan daripada beberapa pengawal sebagai penghantar dadah.
Hubungan intim dengan artis dan model di penjara
(Vanny Rossyane)
Selama Freddy dipenjarakan, dia dilaporkan sering berhubungan dengan wanita-wanita cantik termasuklah model. Bukan hanya bercinta, Freddy pernah didedahkan mengadakan hubungan intim di dalam sebuah bilik khas di penjara.
Antara nama-nama yang didedahkan termasuklah penyanyi dan model, seperti Anggita Sari dan Vanny Rossyane.
(Anggita Sari)
Dalam satu temubual, Vanny memberitahu bahawa mereka diberikan sebuah bilik khas yang mewah di dalam penjara untuk melakukan hubungan terlarang itu.
Malah, mereka juga menyalahgunakan dadah ketika berada di bilik khas itu. Vanny menuduh Anggita sebagai individu yang membuatkan hubungannya dengan Freddy retak, membuatkan kedua-duanya bermusuhan.
Insaf dan bertaubat sebelum dihukum bunuh
Sejahat mana pun hati manusia, akan bertaubat lah dia jika diberikan hidayah Allah. Freddy Budiman akhirnya mula menampakkan perubahan dalam diri.
Di hujung nyawanya, Freddy dilaporkan telah mula bertaubat. Ketua Penjara Batu Nusakambangan memberitahu bahawa Freddy membaca Al-Quran dengan begitu banyak sehingga khatam 10 kali pada bulan Ramadhan tahun 2016.
Dia juga berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.
Dihukum mati dengan skuad penembak
Dan pada hari Jumaat, tanggal 29 Julai 2016 bersamaan, Freddy Budiman menemui ajalnya di Penjara Nusakambangan Cilacap, Jawa Tengah dengan ditembak sebanyak dua kali.
Freddy dilaporkan bertakbir sebelum hukuman dijalankan. Freddy juga meninggalkan pesanan kepada masyarakat:
“Pesan saya kepada orang-orang (yang terlibat) dengan dadah, sudah sampai masanya untuk bertaubat. Dadah tidak ada hasilnya. Ke mana pun usaha yang dilakukan, pasti akan tertangkap,".
Dan walaupun pernah bergelar pengedar dadah berkelas atasan, Freddy ingin anak-anaknya untuk menjadi orang yang soleh iaitu ulama.
Rujukan:
1. Bangkapos
2. Megapolitan
3. Panjimas
4. Fokus Islam