Oleh pada 11 Sep 2019 kategori

pasport malaysia

Terkejut Adam (bukan nama sebenar) selepas diminta keluar daripada United Kingdom pada tahun 2011 dan akan dihantar pulang ke negara asalnya, Malaysia. Lelaki itu ketika itu berusia 37 tahun sudah menetap di Britain selama 6 tahun menyedari apa yang akan berlaku kepadanya - Malaysia sudah pasti tidak akan menerimanya.

Adam tetap cuba menerangkan statusnya sebagai salah seorang individu berstatus 'British Overseas Citizen' (BOC) tetapi penerangannya ditolak mentah-mentah. Tiga pegawai mengekorinya sepanjang perjalanan ke lapangan terbang. Sampai ke situ, dia diterbangkan 'pulang' ke Malaysia.

Tiba di Malaysia, Adam dihalang masuk. Ini disebabkan oleh keputusannya untuk melepaskan kewarganegaraan Malaysia pada tahun 2005 yang dilakukan selepas mendapat khidmat nasihat peguam serta kedutaan besar Malaysia di sana. Tak sampai dua jam di Malaysia, Adam terbang semula ke Britain sebelum menerima kejutan yang lebih besar.

Pemegang passport BOC

pasport boc britain

Adam merupakan antara individu yang cuba mengambil peluang menjadi warga Britain berikutan kewujudan sistem pasport BOC, sebuah sistem tinggalan kolonial British kepada mana-mana negara jajahan mereka. Dia percaya dengan sistem itu, dia bakal berjaya melayakkan diri menjadi seorang warganegara United Kingdom secara rasmi.

Jabatan kerajaan UK menyedari individu seperti Adam tergantung statusnya, disebabkan oleh keengganan Malaysia menerima mereka kembali tetapi apa yang lebih memburukkan - kerajaan UK juga tidak mengiktiraf kehadiran mereka; menghalang mereka daripada melakukan sebarang jenis pekerjaan, memandu atau berusaha mencari pendapatan secara sah.

Nasib Adam malang. Selepas statusnya diketahui, pihak wakil kerajaan Britain bertindak menahan beliau di sebuah balai polis sebelum Adam dipindahkan ke beberapa buah pusat tahanan berbeza. Selepas hampir seminggu, dia diterbangkan ke Malaysia sebelum ditendang semula pihak imigresen tempatan supaya kembali Britain - kerana dia sudah melucutkan kerakyatan secara sah.

Kembali ke UK, Adam dibebaskan tetapi berdepan kesukaran untuk hidup. Dia melakukan kerja-kerja berbentuk tidak formal, dibayar gaji rendah bekerja sebagai penghantar barangan yang dibayar mengikut jumlah kerja yang dilakukan dan terpaksa menumpang di rumah kawan, berikutan ketiadaan status untuk membenarkan dia menyewa secara rasmi.

Bagi Adam, setiap masa dia berhasrat untuk dapat kembali ke Malaysia tetapi tindakannya dahulu membuatkan niatnya terpaksa dilupakan. Kini dia hidup di UK tanpa tujuan, dikekang pelbagai masalah berikutan statusnya sebagai seorang pendatang tidak sah serta terpaksa meneruskan hidup dengan pelbagai kaedah yang berbeza setiap hari.

Nasib serupa bagi Yan Kit

salah seorang bekas warganegara

Apa yang berlaku pada Adam turut sama dirasai oleh seorang lagi bekas warganegara Malaysia bernama Yan Kit (bukan nama sebenar). Kit tiba di UK pada tahun 2001 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan namun pada tahun 2005, diberitahu wujudnya peluang untuk mendapatkan status kewarganegaraan Britain sekiranya dia setuju untuk melepaskan kerakyatan Malaysia.

Kini, Yan Kit sudah berusia 42 tahun hidup terumbang-ambing setelah disahkan tidak mempunyai mana-mana kewarganegaraan secara sah, baik UK mahupun negara kita.

Pada tahun 2015, Yan Kit yang sebelum itu berjaya melindungi dirinya berjaya ditangkap pihak berkuasa di sebuah garaj tempat dia bekerja. Tangkapan itu membawanya kepada sebuah pusat tahanan dan Kit diberitahu pihak kerajaan UK sedang menghubungi pihak imigresen Malaysia bagi mengesahkan statusnya.

Maklum balas yang diterima mengesahkan Kit bukan lagi seorang warganegara dan tidak akan dibenarkan masuk kecuali dengan penggunaan visa lawatan. Keinginan untuk kembali hidup bersama isterinya yang masih menetap di Malaysia sukar, kerana bagi bekas warganegara seperti Yan Kit - peluang itu hanya datang sekali. Seandainya dilepaskan, tertutup selama-lamanya.

Berikutan ketiadaan status penduduk tetap, Kit menghabiskan masa hari demi hari di rumah ekoran kegagalan mendapatkan kerja tetap.

Liew Teh ingin kembali ke Malaysia

terkandas di britain

Pada tahun 2009, satu perkhabaran buruk menimpa Liew Teh. Dia dimaklumkan bahawa permit kerjanya tidak dapat diperbaharui disebabkan isu berkenaan statusnya sebagai penduduk.

Sama seperti Yan Kit dan Adam, Liew memilih untuk melepaskan kerakyatan Malaysia pada tahun 2006 selepas menamatkan pengajiannya di UK dengan hasrat mahu menjadi penduduk tetap United Kingdom. Selepas mendapatkan nasihat peguam, permohonan itu dilakukan namun sehingga ke hari ini tidak ada sebarang keputusan rasmi dibuat, disebabkan oleh keengganan kerajaan UK mengiktiraf pasport BOC.

Buat masa sekarang, Liew bergantung harap kepada kawan-kawannya untuk membiayai kos sara hidupnya ekoran ketiadaan jalan untuk bekerja. Kelulusan sarjana yang diperolehi oleh Liew juga tidak lagi bermakna, kerana tanpa mempunyai status warganegara - kertas itu hanyalah kertas yang tiada mempunyai sebarang nilai apa.

Pasport BOC merupakan satu sistem di mana kerajaan Britain mengumumkan pemberian status warganegara penuh kepada mana-mana individu yang duduk di negara asal koloni Britain, asalkan mereka tidak lagi mempunyai kaitan atau hubungan dalam bentuk rasmi dengan negara asal mereka.

Walaupun Britian mempunyai beberapa kaedah berbeza dalam menentukan kelayakan pemegang pasport BOC - bagi negara kita, sekiranya seseorang warganegara Malaysia melakukan permohonan pasport BOC secara formal, secara automatiknya kewarganegaraan seseorang itu terlucut kerana negara kita tidak mengamalkan sistem dwi-kewarganegaraan.

kisah wargenara malaysia yang hilang kerakyatan 27

Situasi individu seperti Liew, Adam dan Yan Kit ini memang layak mendapat simpati daripada masyarakat kita tetapi hendak tak hendak, haruslah juga menjadi pengajaran pada kita semua supaya tidak mengambil mudah apa yang sudah kita ada.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel ‘We have nowhere to go’: The stateless UK residents that no country wants to accept terbitan Independent UK pada 9 September 2019.



Hakcipta iluminasi.com (2017)