national service south korea kpop

Pada bulan Ogos tahun 2018, Kabinet Malaysia mengambil keputusan untuk memansuhkan salah satu program yang telah dilaksanakan bertahun lamanya, iaitu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan sejak tahun 2004.

Berikutan daripada tindakan itu, kerajaan Malaysia mengumumkan akan menggantikan program tersebut dengan program baru yang dikhabarkan akan menambah baik keseluruhan program sedia ada.

Di kalangan negara Asia, tidak banyak negara mewujudkan program serupa dengan hanya lima negara saja yang mempunyai program hampir sama dengan program yang pernah ada di negara kita. Tahukah anda bagaimana program serupa ini, dijalankan di lima buah negara lain di Asia?

1. Brunei

pkbn brunei

Di antara kesemua program yang ada dijalankan di Asia, Program Khidmat Bakti Negara atau PKBN yang dijalankan di negara Brunei merupakan sistem latihan masyarakat yang hampir serupa dengan model negara kita.

Dijalankan dengan gabungan agensi kerajaan, swasta dan NGO, PKBN menjadi platform bagi kerajaan Brunei membentuk sahsiah anak muda yang seiring dengan hasrat kerajaan tersebut. Penyertaan bersifat voluntari kepada peserta melibatkan golongan belia berusia 16 ke 21 tahun, dengan peserta boleh memohon untuk menyertai program selama 3 bulan itu dan setiap peserta perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dijalankan semenjak tahun 2007, PKBN yang terakhir merupakan pengambilan ke 8 program tersebut, baru selesai pada bulan Mac 2019. PKBN dan PLKN mempunyai persamaan yang ketara iaitu kedua-duanya tidak melibatkan sebarang bentuk latihan ketenteraan. (PKBN Brunei)

2. Filipina

rotc filipina

Kerajaan Filipina memperkenalkan 'National Service Training Program' atau NSTP pada tahun 2001, memperkenalkan kewajipan mandatori kepada pelajar peringkat tertiari untuk menyertai NSTP dengan tawaran 3 jenis kursus, yang perlu ditamatkan dalam tempoh dua semester.

Program NSTP dibentuk bagi menggantikan program ketenteraan yang ada dan hanya dibuka untuk pelajar lelaki, membolehkan tawaran kursus mandatori ini merangkumi kedua-dua jantina, bermula dengan pengambilan pertama bagi sesi 2002-2003. Pelajar yang tidak menamatkan kursus ini dianggap tidak layak untuk menamatkan pengajian mereka.

Tiga kursus yang menjadi opsyen adalah Program Latihan Pegawai Simpanan atau ROTC yang lebih bersifat ketenteraan, melatih pelajar bidang kemahiran peperangan dan militari, Program Latihan Kebajikan Awam (CWTS) di mana peserta akan didedahkan dengan ilmu kemahiran membentuk dan melindungi masyarakat dan yang terakhir Program Latihan Literasi (LTS) di mana peserta akan dilatih untuk mahir mengajar membaca dan mengira, supaya mereka dapat membantu pelajar lebih muda meningkatkan kemahiran mereka. (NSTP Philipinne)

3. Singapura

national service singapuraervice1

Program khidmat negara Singapura (National Service atau NS) sudah dimulakan pada bulan Mac 1967, mewujudkan keperluan mandatori bagi semua warga lelaki Singapura yang telah mencapai usia 18 tahun, dengan kumpulan pertama seramai 900 orang peserta menyertai Rejimen Infrantri Singapura pada bulan Ogos 1967.

Pada ketika ini, syarat kemasukan kepada program NS masih kekal dengan kumpulan yang sama iaitu lelaki berusia 18 tahun, perlu mendaftar. Bagaimanapun, mereka kini sudah mempunyai opsyen sama ada mahu mendaftar NS dengan Tentera Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam (SCDF) atau Pasukan Polis Singapura (SPF).

Tempoh perkhidmatan selama dua tahun melayakkan seseorang bergelar 'Operationally Ready National Serviceman (NSman) dan diperlukan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Singapura, sehinggalah seseorang berumur 50 tahun. Semua aktiviti dibahagikan kepada dua jenis, berbentuk 'High Key' berdurasi minima 7 hari atau 'Low Key' yang berlangsung sekurang-kurangnya 6 hari atau kurang. (Operationally Ready National Service)

4. Korea Selatan

negara yang menjalankan program khidmat negara

Korea Selatan mempunyai program khidmat negara antara yang paling ketat di dunia, membuatkan program ini kerap dikritik kerana menyukarkan masyarakat mereka mempunyai karier yang baik - akibat daripada keperluan khidmat negara yang ketat. Program di negara ini sudah wujud sejak tahun 1957, mewajibkan semua lelaki di negara itu yang berusia 18 ke 35 tahun menjalani latihan.

Kebiasaannya, pelajar di Korea Selatan akan menghabiskan sekolah menengah mereka, mendaftar ke pusat pengajian tinggi dan menghabiskan satu atau dua tahun pertama mereka, sebelum mendaftar diri kepada program yang akan berjalan selama hampir dua tahun, berbeza mengikut bidang tentera yang dipilih.

Sekiranya seseorang itu tidak dapat mengikuti bidang ketenteraan, dia boleh melakukan khidmat sosial selama 2 tahun, 2 tahun 10 bulan untuk khidmat latihan industri atau 3 tahun bagi penyelidik, doktor, peguam atau ahli veterinar. Pengecualian diberikan kepada pemenang pingat sukan Olimpik, Sukan Asia, pemain biola, piano dan ballet. Tidak kepada artis Kpop. (Military Service in Korea)

5. Taiwan

national service khidmat negara wajib

Taiwan mempunyai sistem yang hampir serupa dengan Korea Selatan dan Singapura, namun mempunyai syarat keperluan yang jauh lebih ringan berbanding kedua-dua negara tersebut. Diperkenalkan pada tahun 1951 bagi mewajibkan golongan pemuda dikerah menentang pendudukan Jepun, sistem mandatori yang ada dikekalkan dengan pengenalan sistem khidmat negara tahun 1954.

Pada mulanya, durasi 2 tahun diperkenalkan sebelum dipendekkan kepada 22 bulan sebelum pengumuman kerajaan Taiwan pada tahun 2013, melibatkan golongan pemuda yang lahir pada tahun 1994 - hanya perlu memenuhi syarat perkhidmatan selama 4 bulan sahaja. Bagaimanapun, syarat mandatori tetap kekal dengan setiap pemuda yang sudah berusia 19 tahun dianggap telahpun mendaftar secara rasmi.

Semua peserta boleh memilih untuk berkhidmat dengan tentera, menyertai pasukan perkhidmatan awam atau melakukan perkhidmatan alternatif seperti kerja-kerja komuniti bersama pasukan polis, bomba, perubatan, agensi kerajaan atau guru di kawasan pedalaman. Setiap program yang dipilih mempunyai durasi yang berbeza, dengan program ketenteraan merupakan program paling pendek jangkamasanya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)