Walaupun ramai yang sudah mengetahui apa itu Uber dan GrabCar, tetapi hanya penduduk yang tinggal di bandaraya seperti Kuala Lumpur dan sebagainya yang merasai pengalaman menaiki Uber. Informasi ini dikongsi untuk semua orang terutama mereka yang tidak pernah menaiki Uber dan baru pertama kali ke bandaraya yang besar.
Mudah mendapat perkhidmatan di mana-mana sahaja
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi mereka yang dalam keadaan tergesa-gesa dan memerlukan kenderaan dengan segera, Uber antara perkhidmatan yang terbaik untuk anda. Jika anda tersadai di tempat yang tiada teksi, anda boleh terus menggunakan aplikasi Uber untuk memohon perkhidmatan Uber di mana-mana sahaja anda berada.
Ini memudahkan perjalanan anda kerana anda boleh memohon perkhidmatan ini tidak kira tempat. Jika dibandingkan dengan teksi, perkhidmatannya hanya mengikut nasib, jika terdapat teksi di kawasan tersebut maka adalah ia. Jika tiada teksi, anda tidak dapat menggunakan perkhidmatan teksi.
Untuk Uber, anda hanya memerlukan internet yang mana kemudiannya anda terus memohon permintaan Uber dan dalam masa seminit hingga dua minit, permintaan tersebut akan disambut oleh mana-mana pemandu uber. Uber juga memaparkan kepadatan pemandu Uber yang ada di kawasan jadi anda boleh mengetahui kebarangkalian untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.
Tambang yang murah dan tetap
Bagi pengguna Uber, anda dapat mengetahui tambang yang tetap dan murah berdasarkan jarak perjalanan anda. Pihak Uber tidak akan mengambil lebih daripada nilai yang anda patut bayar. Jadi ini dapat memudahkan anda untuk membuat mengetahui jumlah yang anda patut bayar kerana jumlah ini tetap dan dipaparkan di telefon anda.
Berlainan pula dengan teksi yang bergantung kepada meter kereta itu kerana nilai teksi itu mengikut perjalanannya. Jika pemandu teksi mengambil jalan yang jauh maka meter tersebut akan membacakan nilai yang lebih tinggi. Untuk Uber, anda boleh mengetahui jalan yang terdekat kerana ia akan dipaparkan dalam peta Uber itu sendiri. Bagi teksi, tiada peta yang akan dipaparkan jalan yang terdekat.
Bagi teksi yang tidak menggunakan meter, harga teksi selalunya lebih mahal berbanding Uber dengan perbandingan yang sangat ketara. Dalam perjalanan yang sehingga bernilai RM20 bagi teksi, harga untuk Uber hanya sekitar RM10 ringgit. Ini berdasarkan pengalaman penulis dan ramai pengguna Uber sendiri.
Uber juga ada membuat promosi daripada masa ke semasa di mana anda dapat menggunakan secara percuma atau mendapat potongan harga yang berbaloi. Promosi ini boleh digunakan dengan memasukkan kod ke dalam aplikasi Uber dan caranya sangat mudah. Promosi seperti tidak ditawarkan oleh perkhidmatan teksi yang mana harga sentiasa tetap dan tidak diturunkan.
Boleh memohon bila-bila masa
Perkhidmatan Uber boleh dimohon bila-bila sahaja anda mahu. Kadang-kadang perkhidmatan ini boleh anda dapatkan sehingga pukul 2-3 pagi. Jika anda di rumah dan tiba-tiba anda membuatkan keputusan untuk pergi ke pusat membeli-belah, anda boleh terus memohon Uber untuk anda menggunakannya.
Berlainan dengan teksi, anda harus memohon dengan lebih awal kerana anda tertakluk kepada masa pemandu teksi tersebut. Jika anda hendak ke sesuatu tempat, anda harus memohon teksi sehari sebelum atau beberapa jam sebelum perjalanan anda.
Jika dibandingkan dengan perkhidmatan Uber, ini menunjukkan perbezaan yang ketara kerana keputusan untuk menggunakan perkhidmatan ini boleh dibuat bila-bila sahaja anda mahukan. Tambahan pula, kereta Uber ini variasi keretanya yang sangat selesa kerana kebanyakkan keretanya sangat berkualiti berbanding kereta-kereta teksi.
Etika Pemanduan dan Keselamatan Anda Sangat Diutamakan
Jika anda risau dengan pemanduan yang tidak beretika oleh pemandu Uber, anda boleh melaporkan perkara ini kepada pihak Uber. Setiap perjalanan anda direkodkan ke dalam pangkalan data dan anda boleh memberi nilai prestasi pemandu-pemandu Uber daripada 0 hingga 5 bintang. Ini boleh memastikan keselesaan dan keselamatan anda terjamin kerana pemandu yang mempunyai nilai bintang rendah akan dilarang menjadi pemandu Uber.
Berlainan pula dengan teksi kerana perjalanan itu tidak direkod dan pemandu teksi juga boleh berkelakuan seperti yang mereka inginkan. Kelakuan pemandu teksi juga boleh dilaporkan tetapi laporan anda akan mengambil masa dan banyak prosedur yang rumit anda harus lalui untuk melaporkan pemanduan ini. Untuk Uber pula, jika mereka melakukan kelakuan buruk, anda boleh terus melaporkan dan dia akan serta-merta digugurkan daripada menjadi pemandu Uber.
Kaedah bintang yang diperkenalkan dalam aplikasi Uber untuk memudahkan anda untuk menilai pemandu Uber itu sendiri jadi anda tahu jika pemandu tersebut disukai oleh pengguna atau tidak. Selalunya pemandu Uber yang mempunyai nilai bintang 4.5 ke atas mempunyai kelakuan pemanduan yang baik dan anda akan berasa selesa untuk menaiki kereta mereka.
Ramai juga di kalangan pemandu Uber yang mengambil banyak langkah terbaik untuk memastikan keselesaan anda. Contohnya, ada di antara pemandu yang menyediakan charger telefon bimbit dan gula-gula supaya anda berasa lebih selesa untuk menaiki kenderaan anda. Ini salah satu kelebihan penggunaan Uber.
Berhubung terus dengan pemandu Uber
Jika anda sedang menunggu teksi, anda mungkin tidak tahu di mana keberadaan dan cara menghubungi teksi tersebut. Ini menyebabkan anda tertunggu-tunggu tanpa arah ketibaan teksi tersebut. Berlainan buat Uber pula, jika anda sedang menunggu Uber dan anda takut ia akan tiba lewat, anda dapat melihat keberadaan pemandu Uber tersebut.
Pada aplikasi Uber juga akan memaparkan tempoh masa yang akan diambil oleh pemandu Uber itu untuk tiba ditempat anda, jadi sekurang-kurangnya anda tahu berapa lama anda harus tunggu sehingga mereka akan tiba. Anda juga boleh menghubungi pemandu tersebut kerana maklumat untuk anda hubungi pemandu tersebut dipaparkan di aplikasi Uber ini.
Jika pemandu ini sesat atau tidak menjumpai jalan ke tempat anda, mereka akan menghubungi anda untuk memastikan tempat tersebut betul-betul tepat. Anda juga boleh menghubungi mereka untuk memaklumkan keberadaan anda secara tepat. Selain itu, anda juga bebas untuk mengikuti jalan yang anda inginkan dengan memberitahu jalan tersebut kepada pemandu Uber kerana kebanyakkan daripada pemandu Uber sangat peramah dan hanya mahu memudahkan perjalanan Uber.
Lebih Untung Menjadi Pemandu Uber
Selain menjadi pengguna, pemandu Uber juga mendapatkan kelebihannya yang tersendiri. Contohnya, pemandu Uber mendapat gaji yang lebih tinggi berbanding pemandu teksi kerana nilai wang yang mereka harus membayar kepada pihak Uber adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang pemandu teksi harus bayar kepada syarikat teksi.
Pemandu Uber juga boleh melakukan pekerjaan sebagai pemandu Uber secara sambil-sambilan kerana anda tidak tertakluk kepada jam pemanduan. Ramai yang mengambil peluang ini untuk melakukan pekerjaan Uber semasa hari cuti ataupun selepas kerja tamat selalunya selepas pukul 5. Ini dapat memberi pendapatan lebih kepada anda yang mana sedikit sebanyak membantu perbelanjaan harian anda.