Sejarah telah tercipta pada 1 Mac 2020 apabila sebuah kerajaan baru telah terbentuk di Malaysia, tidak sampai 2 tahun selepas PRU14 diadakan. Setelah mendapat perkenan YDPA, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 8 menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Setelah hampir seminggu, maka barisan Menteri Kabinet yang terbaru telah diumumkan. Sedikit mengejutkan apabila jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diwujudkan. Ketiadaan TPM ini digantikan dengan 4 orang Menteri Kanan yang akan melaksanakan tugas-tugas PM sekiranya keadaan memerlukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menteri-menteri kanan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Salah satu portfolio yang menarik untuk dilihat sudah tentulah jawatan Menteri Kewangan yang kini disandang oleh YM Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul. Lebih menarik, beliau tidak mewakili mana-mana parti politik sebaliknya dilantik sebagai Senator bagi membolehkannya layak menjawat jawatan ini.

Latarbelakang dalam bidang industri 

zafrul aziz 284

Tidak menjadi satu kepelikan sekiranya rakyat Malaysia tidak pernah mengenali Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memandangkan beliau bukanlah seorang ahli politik. Malah, mungkin ramai juga antara kita tidak tahu bahawa beliau sebenarnya merupakan CEO dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad dan CIMB Bank Berhad.

Namun, jasanya tidak terhad kepada CIMB sahaja. Beliau juga merupakan ahli APEC Business Advisory Council (ABAC), mewakili Malaysia dalam mempromosikan perdagangan dan kerjasama dengan negara-negara di rantau Asia Pasifik.

Beliau juga berperanan sebagai seorang penasihat bagi pembangunan sosioekonomi Malaysia dibawah Majlis Sukan Negara Malaysia  selain menjadi Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana dan ahli Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Negara di bawah Kementerian Pelajaran. 

Melihat sahaja latarbelakang beliau yang hebat dalam pelbagai bidang ini memberikan kita harapan besar agar kewangan Malaysia dapat dipulihkan dengan segera. Ianya pasti menarik sekiranya pengalamannya dalam bidang perbankan dapat diterjemahkan dalam membangunkan negara.

Latarbelakang keluarga

menteri kewangan malaysia

YM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkahwin dengan YM Raja Datin Sri Johanna Raja Arshad. Hasil perkahwinan ini mereka telah dikurniakan 4 orang anak iaitu 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan.

Beliau dilahirkan pada 25 Jun 1973 dan merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik. Ibunya, Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal ABidin merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan bapanya pula Tengku Abdul Aziz adalah seorang ahli perniagaan.

Daripada segi pendidikan, beliau merupakan alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, UK. Beliau kemudian meneruskan pengajian dalam Master of Arts (MA) dalam Kewangan dan Pengurusan dari University of Exeter, UK.

Melihatkan pada latarbelakang pendidikannya sahaja, kita sudah tahu beliau merupakan calon yang layak sebagai Menteri Kewangan. 

Seorang yang aktif bersukan

menteri kewangan marathon

Walaupun sibuk dengan kerjayanya, pencapaiannya dalam bidang sukan juga patut diceburui. Beliau aktif bersukan seperti berbasikal, berenang dan berlari. Malah, beliau banyak menyumbangkan keringatnya dalam bidang pembangunan belia negara melalui penyertaannya dalam pelbagai organisasi seperti Kalsom Movement dan Teach for Malaysia.

Beliau satu ketika dahulu aktif dalam berlari dan pencapaiannya dapat dilihat apabila beliau telah menamatkan banyak acara marathon. Marathon merupakan acara lumba lari jarak jauh dimana setiap peserta dikehendaki menamatkan jarak 42.195km. Tidak ramai yang mampu melakukannya.

Pencapaiannya dalam sukan marathon juga sangat membanggakan. Beliau merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang telah menamatkan kesemua 6 acara marathon  dibawah jenama Abbott World Marathon Majors (WMM). Jika dihitung, terlalu sedikit jumlah rakyat Malaysia yang sudah menamatkan kesemua 6 acara WMM.

Abbott World Marathon Majors merupakan acara marathon berprestij dimana peserta dikehendaki melepasi kelayakan masa tertentu untuk membolehkan mereka menyertainya. Ianya biasa menjadi medan pertempuran pelari=pelari elit seluruh dunia untuk mencatatkan masa terpantas peribadi.

Harapan buat Menteri Kewangan baru Malaysia

ekonomi malaysia 470

Portfolio Menteri Kewangan merupakan antara portfolio paling panas di Malaysia. Boleh dikatakan hala tuju Malaysia, secara langsung dan tidak langsung turut dipengaruhi oleh polisi-polisi yang diperkenalkan oleh Menteri Kewangan.

Dengan latarbelakangnya dalam bidang Perakaunan, Kewangan, Ekonomi dan Pengurusan serta pengalaman luasnya dalam industri, diharapkan kehebatan beliau ini dapat diterjemahkan ke arah pembangunan negara Malaysia. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)