Walaupun sudah wujud pelbagai jenama motorsikal seperti Yamaha, Ducati dan banyak lagi, jenama Harley-Davidson terus kukuh menelusuri zaman dengan jutaan peminatnya yang tersendiri dari seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Bagi peminat-peminat motorsikal, jenama Harley-Davidson sememangnya jenama yang dihormati kerana ketahanannya dan keunikan rekabentuknya. Walau bagaimanapun, kerana harganya yang premium, mungkin tidak ramai yang mampu memiliki jentera hebat ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerjasama 4 orang

pengasas harley davidson

Keempat-empat orang pengasas syarikat Harley-Davidson

Daripada nama "Harley-Davidson" sahaja, mungkin ramai yang menyangka bahawa jenama ini diasaskan oleh 2 orang individu sahaja. Realitinya, jenama ini sebenarnya dibangunkan oleh 4 orang iaitu WIlliam Harley dan 3 orang adik beradik Davidson iaitu Arthur, Walter dan William.

Impian untuk membangunkan sebuah motorsikal ini dipercayai bermula sejak zaman kanak mereka lagi pada penghujung 1800-an. Keempat mereka tinggal di Milwaukee, Wisconsin dan merupakan jiran. Arthur Davidson dan William Harley merupakan rakan sebaya dan mempunyai minat yang sama terhadap basikal.

Persahabatan erat dan minat yang sama inilah yang telah menjadi asas pembinaan motorsikal jenama Harley-Davison. Seperti mana kebanyakan kanak-kanak pada ketika itu, kedua mereka mempunyai minat terhadap basikal.

Mendalami kepakaran membuat basikal

rekaan pertama harley davidson

Rekaan terawal Harley-Davidson

Namun, minat mereka lebih mendalam sehinggakan pada usia 15 tahun lagi, William Harley telah bekerja di sebuah kilang pembuatan basikal berhampiran kawasan tempat tinggalnya. Tindakan inilah yang menjadi pencetus kepada cita-citanya untuk membina sebuah motorsikal.

Dalam tempoh beberapa tahun, William Harley telah menambah kepakarannya dalam pembuatan basikal. Malah, beliau juga beberapa kali dinaikkan pangkat sehingga akhirnya berjaya menjadi seorang draftsman. Pada ketika inilah, beliau mula berimpian untuk mencipta sebuah basikal yang dilengkapi dengan enjin.

Menurutnya, basikal yang dipasang enjin pastinya lebih menarik kerana boleh bergerak lebih laju dan jauh. Malah, ianya dapat mengurangkan penggunaan tenaga untuk mengayuh basikal.

Pada tahun 1901 ketika berusia 21 tahun, beliau telah menghasilkan draf pertama untuk mencipta sebuah enjin pembakaran dalaman (internal combustion engine) yang diinspirasikan daripada rekaan awal enjin ciptaan orang Peracis. Dalam tempoh 2 tahun berikutnya, William dan Arthur telah bekerjasama pula membangunkan prototaip motorsikal pertama mereka.

Malangnya, prototaip pertama mereka tidak dapat direalisasikan sebagai produk sebenar. Mereka kemudiannya bekerjasama pula menghasilkan prototaip kedua pada tahun 1903. Pada saat inilah kedua mereka sedar mereka perlu mendapatkan kepakaran seorang mechanist (pakar mesin) untuk meneruskan idea pembinaan motorsikal mereka.

Kemasukan adik-beradik Davidson

kilang harley davidson

Pada ketika inilah, kedua mereka telah mendapatkan kerjasama adik Arthur iaitu Walter untuk bekerjasama dengan mereka. Walter sememangnya mempunyai kepakaran sebagai mechanist dan bekerja sebagai mechanist di sebuah syarikat pembinaan landasan kereta api.

Kilang pertama mereka terletak di Chestnut St. dan hanya berukuarn 10 x 15 kaki dan lokasi ini kini masih menjadi ibu pejabat syarikat Harley Davidson. Pada masa tersebut, William Harley telah menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di University of Wisconsin untuk meningkatkan lagi pengetahuannya dalam bidang ini.

Tidak lama kemudian, seorang lagi adik-beradik Davidson, William pula menyertai mereka. William Davidson merupakan seorang mekanik dan bantuannya bersama-sama dengan Arthur Davidson akhirnya berjaya melengkapkan ciptaan motorsikal pertama syarikat ini yang dikenali sebagai Harley-Davidson Serial #1.

Penubuhan syarikat Harley-Davidson

Dengan penghasilan motorsikal pertama ini, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan syarikat Harley-Davidson pada tahun 1907. Walter Davidson telah dilantik sebagai Presiden pertama sementara ketiga yang lain menjawat jawatan tinggi dalam syarikat.

William Davidson dilantak sebagai Pengurus Kerja, Arthur Davidson sebagai Setiausaha dan Pengurus Jualan Am sementara William Harley yang baru menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan telah dilantik sebagai Bendahari dan Ketua Jurutera. Pada tahun tersebut, syarikat ini telah berjaya menghasilkan 150 buah motorsikal.

Pada tahun 1908, motorsikal keluaran Harley-Davidson telah memperoleh markah penuh dalam sebuah pertandingan menguji ketahanan sesebuah motorsikal - 7th Annual Federation of American Motorcycle Enthusiasts Endurance and Reliability. Hasilnya, negeri Detroit telah menjadi pihak pertama yang membeli dan menggunakan motorsikal Harley-Davidson untuk kegunaan pihak polis tempatan.

Pada tahun 1910, logo dan ikon jenama Harley-Davidson yang menggunakan gambar perisai telah diperkenalkan dan digunakan secara menyeluruh. Walaupun banyak lagi jenama motorsikal yang muncul kemudiannya, jenama ini terus mengukuhkan cengkamannya dalam pasaran.

Kesemua 4 pengasas syarikat ini telah menerajui syarikat ini dan bekerja sehingga akhir hayat mereka. Arthur Davidson yang juga merupakan Presiden merupakan yang terakhir meninggal dunia, iaitu pada tahun 1950.

Kredit:

  1. Harley-Davidson
  2. Wikipedia
  3. Business Insider



Hakcipta iluminasi.com (2017)