Majoriti penganut Islam di India mula berdepan ancaman setelah kerajaan India di bawah pimpinan Narendra Modi dan parti BJP, mula memperkenalkan dasar-dasar nasionalis yang mengutamakan kepercayaan Hindu serta langkah mendifinasikan semula apa yang ditakrifkan sebagai 'orang India.'

Diramalkan mampu melaksanakan perubahan dasar yang bakal menamakan masyarakat Muslim sebagai pendatang, wilayah Assam yang terletak berdekatan dengan sempadan Myanmar dan Bangladesh menjadi ujian pertama dasar baru kerajaan India ini. Assam adalah sebuah kawasan miskin, dengan komuniti di sana sudah diketahui bergenerasi lamanya dilahirkan di India serta mempunyai hak untuk mengundi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika ini ratusan orang sudah ditahan atas alasan - mereka sebenarnya berstatus pendatang tanpa izin atau haram.

india negara nasionalis hindu 225

Apa yang lebih menakutkan, kerajaan India tidak lagi mempedulikan hak-hak kemanusiaan dalam mengendalikan pelaksanaan langkah-langkah ini.

Narendra Modi dalam kempen terbarunya ini secara terbuka sedang berusaha mahu memastikan semua pihak yang disiasat untuk membuktikan status kewarganegaraan mereka - atau bersedia untuk berdepan dengan hukuman keras iaitu buang negara.

Nasib Jammu dan Kashmir

india kashmir protest jone

Kerajaan India baru saja melaksanakan perubahan dasar mengubah kedudukan dua wilayah yang mendapat autonomi sebelum ini iaitu Jammu dan Kashmir, kembali meletakkan bidang pemerintahan dua wilayah itu di bawah kuasa kerajaan persekutuan.

Semuanya dilakukan tanpa wujud sebarang ruang perbincangan atau diskusi di antara kerajaan pusat dengan kerajaan Jammu dan Kashmir - disokong pengaruh yang dipegang Amit Shah, menteri dalam negeri India yang dikatakan sangat berkuasa. Amit tidak lagi malu untuk menyamakan mereka yang dipercayai pendatang ini sebagai serangga anai-anai yang perlu diusir keluar kembali ke tempat asal mereka.

Di Assam, seramai 33 juta penduduknya perlu memberikan dokumen bukti bahawa mereka atau ibu bapa mereka merupakan warganegara India sebelum tahun 1971 - tahun di mana Bangladesh ditubuhkan selepas berpisah daripada Pakistan. Perkara ini tidak mudah. Ini kerana kebanyakan dokumen yang ada sudahpun berusia malahan banyak berada dalam keadaan lusuh, sehingga sukar dibaca tulisannya.

Situasi tegang di kalangan ahli masyarakat ini diburukkan lagi dengan tindakan Modi yang kelihatan sengaja mahu memperkenalkan beberapa keistimewaan khas untuk penganut agama Hindu, Buddha, Kristian dan agama-agama lain; kecuali agama Islam.

Gerakan nasionalis Hindu yang dibawa beliau mendokong matlamat mahu meletakkan satu agama sebagai agama utama, dikritik akan memulakan kempen-kempen keganasan di antara komuniti Hindu dan Muslim yang telahpun berantakan sekian lama.

Memecah belahkan keluarga dengan sengaja

wanita muslim india ditahan polis

Wanita seperti Noor Begum yang tinggal di sebuah pondok kecil yang kerap mengalami banjir di Assam, berdepan masalah besar setelah mendapati beliau dan ibunya dikeluarkan daripada senarai warganegara. Ayahnya dan 7 orang adik beradiknya diterima pula.

Menurut ayahnya, Noor merupakan seorang gadis India sejati. Dia faham bagaimana rasa bangga menjadi rakyat India. Setiap pagi di sekolah, dia akan bersama-sama dengan pelajar lain menyanyikan lagu kebangsaan mereka.

Tidak dapat menerima berita itu serta takut akan masa depannya menjadi semakin gelap, Noor memilih untuk menggantung dirinya, pada usia 14 tahun dalam bulan Jun 2019. Kisah seperti ini semakin kerap kedengaran di kalangan komuniti Muslim India ekoran langkah-langkah yang diperkenalkan kerajaan ketika ini.

Pemberontakan orang Islam di Kashmir berdepan dengan tentangan cara keras kerajaan India. Tembakan dilepaskan. Gas pemedih mata digunakan bagi meleraikan rusuhan. Jaringan komunikasi disekat bagi menghalang berita tentang apa yang berlaku disebarkan.

Ketika artikel ini ditulis, ratusan pemimpin masyarakat Kashmir masih lagi ditahan kerajaan India tanpa sebarang khabar berita.

Tindakan keras didokong masyarakat Hindu

pejabat semakan kewarganegaraan di assam

Majoriti tindakan yang diambil kerajaan India jarang sekali mendapat tentangan daripada komuniti Hindu yang mendominasi kelompok masyarakat negara tersebut.

Kebanyakan di antara mereka kelihatan seakan memejam sebelah mata, memilih untuk mengelak topik-topik sensitif dan lebih gemar bercerita tentang usaha kerajaan India menghapuskan kemiskinan atau kejayaan menaikkan imej negara mereka di mata dunia.

Populariti Narendra Modi dilihat terlalu kukuh untuk dicabar mana-mana pihak dan sekiranya tidak dikekang, bakal menjadikan India sebuah negara nasionalis yang berpaksikan agama Hindu sebagai kuasa majoriti dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Kerajaan BJP di bawah pimpinan Modi sejak tahun 2014 selepas mengambil alih kuasa dilihat sudah mula mengubah sejarah negara itu, memadamkan nama-nama tokoh beragama Islam, menukarkan elemen yang mirip Muslim dan Islam di tempat awam kepada nama baru yang mencerminkan pengaruh Hindu.

Semuanya untuk memastikan identiti baru masyarakat India dapat dibentuk, mengikut acuan yang diperkenalkan oleh Narendra Modi dan BJP.

Mencipta pelarian Muslim tanpa negara

wanita muslim melakukan tunjuk perasaan kashmir

Pada tahun 2018 selepas draf pertama senarai warganegara India melibatkan orang di Assam dikeluarkan, seramai 4 juta orang mendapati diri mereka tidak lagi diiktiraf kewarganegaraannya merangkumi orang Bengali dan majoritinya orang Muslim.

Hasil daripada saringan pertama itu, BJP meminda dasarnya membenarkan permohonan status warganegara dibuka kepada orang Hindu, Kristian, Sikh, Buddha dan Jai - tetapi tidak untuk orang Islam. Hujahnya, kerajaan India ingin membantu komuniti-komuniti minoriti terlebih dahulu berbanding kelompok masyarakat Islam yang merupakan kumpulan kedua terbesar di negara India.

Bagaimanapun, bagi mereka yang meragui hasrat kerajaan India; itu hanyalah salah satu cara kempen anti Muslim kerajaan India dijalankan.

Antara pengkritik paling hebat serta salah seorang yang dikeluarkan daripada senarai kewarganegaraan adalah Mohammed Sanaullah, seorang pesara berpangkat kapten tentera yang sudah bergenerasi hidup di negara itu - tetapi diisytiharkan sebagai pendatang tanpa izin serta dipenjarakan atas kesalahan menceroboh pada tahun 2019.

Kerajaan Assam yang dkuasai oleh pemimpin-pemimpin BJP memperkenalkan peraturan mewajibkan mana-mana individu yang diisytiharkan sebagai pendatang tanpa izin untuk menghadiri tribunal, bagi membuktikan kelayakan mereka. Kebanyakan tribunal yang dijalankan dikritik tidak adil serta banyak memihak kepada permintaan majoriti semata-mata.

Apa yang lebih membimbangkan, mana-mana warganegara India secara undang-undangnya dibenarkan mencabar status kewarganegaraan individu lain di mahkamah. Ini dilihat sebagai satu ruang yang akan digunakan sewenang-wenangnya dalam mengusir masyarakat Islam dari bumi India.

Setakat ini, 3.5 juta orang disahkan tidak mempunyai status warganegara jadi mereka tidak lagi mendapat hak penduduk sebenar. Bagi mengawal aktiviti mereka, BJP dikatakan sedang merancang pembinaan 10 kem tahanan pelarian bagi menempatkan golongan tidak bernasib baik ini.

Bagaimanapun, 10 kem itu diramal hanya mampu menempatkan berpuluh ribu orang 'pendatang' dalam satu-satu masa.

Negara Bangladesh sudah mengeluarkan kenyataan enggan menerima kemasukan 'pendatang' dari India yang beretnik Bengali atau Assam ke negara mereka. Ini bermakna akan ada jutaan orang perlu hidup sebagai pelarian dalam tempat yang selama ini bergelar tanah sendiri.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel 'India Plans Big Detention Camps for Migrants. Muslims Are Afraid' yang diterbitkan pada 17 Ogos 2019 oleh New York Times.




Hakcipta iluminasi.com (2017)