hh

Oleh pada 20 Jul 2024 kategori

Sukan telah menjadi salah satu medan di mana politik dunia beradu, disebabkan bermacam ideologi dan pegangan yang dibawa atlet dan pemain yang terlibat di dalamnya. 

Walaupun banyak pihak mahu memisahkan sukan dengan politik, realitinya tentulah tidak semudah itu. Ini kerana setiap individu terlibat dalam sukan pasti ada agenda peribadi yang dimiliki serta tidak dapat lari daripada dipengaruhi faktor semangat identiti dan nasionalisme atau kebangsaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Begitulah juga dengan pemain bola sepak. 

Pasukan Sepanyol yang baru meraikan kejuaraan EURO 2024 telah mencetuskan kontroversi antarabangsa, selepas salah seorang pemain tonggak mereka seakan 'menganjing' pasukan England yang tewas dalam perlawanan akhir - dengan ejekan bahawa 'Gibraltar is Spain!' atau 'Gibraltar milik Sepanyol.'

Apakah sejarah yang telah menyebabkan kontroversi ini masih disebut-sebut sehingga ke hari ini?

Sejarah ringkas Gibraltar 

gibraltar batu besar

Gibraltar dipercayai telah menjadi penempatan manusia lebih 50,000 tahun yang lalu, semasa masyarakat terdahulu hadir mendiami gua-gua batu kapurnya.

Berikutan kedudukannya yang strategik, Gibraltar menjadi tumpuan pelbagai tamadun dalam pelbagai zaman, merangkumi tamadun Phoenicia, Yunani, Mesir, Carthaginia dan Rom, dengan masyarakat Rom menjadi antara tamadun berpengaruh di sana selepas mereka mula menjadikan Gibraltar pusat penyebaran agama.

Tiba peluang empayar Islam mengambil alih Gibraltar, membolehkan ketua kerajaan Islam yang terbentuk di sana pada tahun 711M, Tariq ibn Ziyad menjadikan lokasi itu pusat pentadbiran kerajaan beliau. Tariq menamakan kota itu sebagai Jabal at Tariq (Gunung Tariq), yang kemudiannya diubah menjadi Gibraltar. Ini asal-usul namanya.

Nama ini kekal digunakan walaupun selepas jatuhnya empayar Islam di situ dan Jabal at Tariq diambil alih oleh orang-orang Sepanyol.

Dipindahmilik akibat perebutan kuasa

ilustrasi perang gibraltar

Ketika Gibraltar dibawah penguasaan Sepanyol, berlaku satu peristiwa yang memberi kesan kepada mereka sehingga ke hari ini.

Ekoran situasi ketiadaan waris yang layak meneruskan legasi empayar Sepanyol selepas kematian Raja Sepanyol, Charles II pada tahun 1700, semua wilayah yang dikuasai Sepanyol mula dilihat menjadi rebutan kuasa-kuasa di Eropah.

Pada tahun 1704, angkatan tentera laut yang disertai askar dari Inggeris dan Belanda diketuai seorang pemimpin bernama George Rooke, bertindak merampas Gibraltar dari tangan Sepanyol secara paksaan semasa kerajaan Sepanyol sedang bergolak.

Hasil daripada rampasan jajahan dan tekanan dua kuasa dunia ketika itu, Sepanyol yang pada ketika itu takhtanya diwarisi Raja Philip I, seorang raja yang dikatakan tidak mendapat sokongan mutlak; akhirnya Sepanyol tunduk kepada desakan Britain serta Belanda, akur bersetuju menandatangani dokumen perjanjian keamanan Utrecht pada tahun 1713.

Persetujuan wakil Sepanyol dalam perjanjian itu secara rasmi menyerahkan Gibraltar kepada Britain, menyatakan bahawa Gibraltar diserah kepada pentadbiran Britain "tanpa sebarang pengecualian atau halangan apa pun."

Cuma satu klausa penting diletakkan di bawah perjanjian ini yang memberi kesan besar kepada masyarakat Gibraltar. Klausa itu berbunyi;

Sekiranya Britain bersetuju untuk melepaskan kuasa mereka ke atas Gibraltar, kawasan itu secara automatik kembali semula ke tangan Sepanyol tanpa Gibraltar ada ruang untuk mendapatkan kemerdekaan.

Kenapa klausa ini penting? Sekejap lagi kita bincangkan.

Selepas Raja Philip I menyerahkan takhta pada tahun 1724, Sepanyol di bawah pentadbiran baru mula bertindak balas cuba mendapatkan semula Gibraltar, menerusi siri perang pada tahun 1727 sebagai titik permulaan usaha. 

Selepas berdekad lama mencuba, kemuncak kepada kempen perang ini akhirnya membawa kepada armada Sepanyol yang disokong oleh Perancis, menyerang pentadbiran Britain di Gibraltar selama 4 tahun daripada 1779 sehinggalah 1783.

Perang panjang ini yang menjadi antara perang paling besar di antara kuasa Eropah, yang menyaksikan Britain berjaya mempertahankan kedudukan mereka.

Selepas terlalu lama gagal dalam usaha mengusir Britain keluar kerana kekuatan yang  sukar dicabar di Gibraltar serta Perancis yang enggan meneruskan sokongan akibat masalah kewangan, Sepanyol dan Britain mencari jalan keamanan menerusi perjanjian diplomasi.

Sebuah perjanjian dimuktamadkan berdasarkan idea yang dicadangkan oleh wakil kerajaan Perancis, dinamakan sebagai perjanjian keamanan Paris 1783. Sepanyol bersetuju untuk menerima sebuah wilayah lain bernama Menorca dan akur untuk membenarkan Gibraltar terus ditadbir di bawah kuasa Britain.Jangan lupa tentang perjanjian Utrecht 1713 yang kami ceritakan lebih awal. Semua persetujuan yang ada dalam dokumen itu masih lagi dianggap aktif.

Peranan Gibraltar sebagai laluan penting Eropah

gibraltar perang dunia kedua

Selepas perjanjian dicapai, Sepanyol tidak lagi melakukan apa-apa tuntutan ke atas Gibraltar dan membiarkan Britain mentadbir kawasan tersebut.

Disebabkan kedudukan Gibraltar yang layak dikatakan antara pintu masuk utama ke kawasan Meditteranean, Britain mula menjalankan beberapa projek besar-besaran bagi memperkuatkan kedudukan mereka di situ. Pengkalan tentera udara dan laut mula dibesarkan. Laluan terowong bawah tanah bagi memudahkan pergerakan tentera dijalankan, mengorek terowong sepanjang 50 kilometer di sepanjang kawasan tersebut.

Kedudukan kukuh serta penguasaan ke atas Gibraltar merupakan faktor besar yang  menyumbang kepada keberkesanan taktik perang Britain semasa perang dunia kedua, ketika berdepan ancaman lawan mereka. 

Hubungan di antara Britain dan Sepanyol dalam isu melibatkan Gibraltar juga kekal tenang semasa perang dunia berlangsung walaupun ada permainan tarik tali antara kedua-duanya melibatkan isu garis sempadan.

Selepas lapangan terbang Gibraltar yang dibangunkan Britain, didakwa telah menceroboh garis sempadan yang telah ditetapkan, pada tahun 1954 Sepanyol memperkenalkan sekatan sempadan yang lebih ketat membataskan pergerakan Sepanyol-Gibraltar.

Tindakan itu membawa kepada sekatan lebih besar pada tahun 1967, semuanya dirangka demi mendesak Britain mengembalikan Gibraltar kepada Sepanyol.

Britain bijak memainkan sentimen, memulakan referendum rakyat untuk mendapatkan pungutan suara. Hasil daripada referendum itu, majoriti rakyat Gibraltar menyuarakan persetujuan agar Gibraltar kekal di bawah Britain dan tidak mahu dikembalikan kepada Sepanyol. Hanya lebih 40 orang dikatakan bersetuju Gibraltar kembali kepada Sepanyol.

Dengan sokongan kuat diperoleho, Britain memulakan langkah kedua dengan memulakan kerjasama bersama pemimpin tempatan Gibraltar bagi merangka draf awal perlembagaan Gibraltar. 

Berang dengan tindakan Britain itu yang jelas melanggar apa yang telah dipersetujui dalam tahun 1713, Sepanyol menutup terus sempadan mereka pada tahun 1968, mengenakan sekatan penuh ke atas semua bentuk hubungan dengan Gibraltar; mengakibatkan aktiviti ekonomi, perdagangan dan sebagai terputus. Saudara-mara dan ahli keluarga terpisah sepenuhnya. Apa saja usaha import eksport ke Gibraltar, harus dilakukan Britain menerusi jalan udara.

Perlembagaan Gibraltar yang diwartakan dengan persetujuan Britain pada tahun 1969, memberikan kuasa kepada pemimpin Gibraltar sebagai sebuah naungan Britain untuk membentuk kerajaan sendiri; mula kuasakuasakan tanggal 30 Julai 1969.

Tindakan itu dikecam teruk oleh kerajaan Sepanyol dan hubungan di antara Sepanyol dengan Britain dan Gibraltar menjadi lebih tegang.

Usaha meredakan ketegangan melalui jalan diplomatik

tentera britain disambut

Perseteruan Britain dan Sepanyol mula reda bila Sepanyol menyatakan hasrat mahu menyertai Kesatuan Eropah pada tahun 1975, yang memerlukan persetujuan Britain.

Siri-siri perbincangan di antara kedua buah wakil kerajaan akhirnya membuahkan hasil, dengan persetujuan di antara Britain dan Sepanyol dicapai dalam isu melibatkan Gibraltar menerusi perjanjian Lisbon tahun 1980.

Apa syaratnya?

Untuk Britain bersetuju menerima Sepanyol, pintu sempadan di antara kedua-dua buah negara haruslah dibuka semula dan Sepanyol harus menghormati kedudukan Britain dan permintaan rakyat Gibraltar yang enggan dikembalikan kepada Sepanyol.

Persetujuan ini berjaya dicapai dalam tahun 1985 dan akhirnya warga kedua-dua buah negara boleh merentas sempadan masing-masing. Pembukaan semula sempadan ini menamatkan sekatan panjang 16 tahun perlu dilalui rakyat Gibraltar, membolehkan aktiviti ekonomi kembali berjalan lancar.

Sepanyol tetap dengan pendirian 

idea kerajaan gabungan sepanyol britain gibraltar

Pada tahun 2002, wujud perbincangan di antara kerajaan Sepanyol dan Britain, untuk meletakkan Gibraltar di bawah pentadbiran secara kerjasama bersama.

Bagaimanapun untuk memuktamadkan idea tersebut masih memerlukan pungutan suara. Sebuah lagi referendum dimulakan dan keputusannya jelas membuktikan warga Gibraltar mahu mereka diberikan hak untuk menentukan nasib sendiri dan menolak sebarang idea yang seakan menghalang mereka merdeka.

Apabila Britain memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah pada tahun 2016, Gibraltar kembali menghadapi cabaran kerana kedudukan mereka sebagai sebuah kerajaan di bawah naungan Britain. Sekiranya United Kingdom tidak lagi menganggotai Kesatuan Eropah, Gibraltar juga dianggap tidak lagi sebahagian daripada kerajaan anggota.

Sehingga ke saat ini perbincangan berkenaan status Gibraltar terus berlangsung, melibatkan Britain, Sepanyol dan juga Kesatuan Eropah.

Di pihak masyarakat Gibraltar sendiri, mereka kelihatan tidak punya suara kuat dalam menentukan masa depan mereka. Referendum yang dibuat bagi menyatakan persetujuan untuk kekal dalam Kesatuan Eropah tidak direalisasikan kerana status mereka bukan sebagai sebuah negara berdaulat. Sepanyol pula terus keras mencuba, mahu Gibraltar dikembalikan ke bawah pentadbiran mereka.

Britain pula kini sedang bermain tarik tali menyeimbangkan semua permintaan yang ada, tekanan daripada pihak Kesatuan Eropah, usaha menjaga hati Sepanyol dan juga tuntutan pemimpin Gibraltar untuk merdeka daripada United Kingdom.

Sebab itulah bila pasukan bola sepak Sepanyol memenangi kejohanan EURO 2024 dengan menewaskan pasukan England,  isu Gibraltar kembali menjadi hangat diperkatakan. Ini kerana ramai di kalangan ahli masyarakat Sepanyol tetap berpegang bahawa Gibraltar adalah sebahagian daripada mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)