Oleh pada 19 Nov 2019 kategori

terra nulius teknik jajahan merosakkan masyarakat pribumi

Sejarah sudah membuktikan sejak dahulu lagi, manusia akan berperang dalam merampas atau mempertahankan kawasan mereka. Ini kerana sesuatu tamadun hanya boleh dibentuk, sekiranya mereka mempunyai lokasi yang baik, kaya dengan sumber alam dan kedudukan yang strategik.

Empayar dunia satu masa dahulu sebelum abad ke 16, tamadun manusia masih lagi mengamalkan taktik penaklukan secara tradisional iaitu masuk menjajah dan mengambil alih tampuk pemerintahan, serta menekan masyarakat di situ untuk tunduk kepada mereka.

Bagaimanapun, apabila tiba abad ke 17 - pergerakan penjajahan mula meninggalkan bentuk ini tetapi mula memperkenalkan konsep dan peraturan yang membolehkan penjajahan atau kolonialisme berjalan, tanpa ada peperangan besar-besaran berlaku.

Konsep ini yang dinamakan sebagai 'terra nulius' atau 'tanah tidak berpenghuni', menjadi hujah baru bagaimana penjajah dibenarkan masuk, seterusnya menakluk dan menguasai kawasan-kawasan yang mereka inginkan sesuka hati sesama mereka.

Apa itu konsep 'terra nulius'?

terra nullius prinsip penjajahan moden

Konsep 'terra nulius' merupakan sebuah konsep undang-undang ciptaan masyarakat Rom zaman dahulu, yang digunakan bagi menetapkan hak ke atas benda atau perkara dalam permasalahan yang timbul.

Pada zaman Rom, undang-undang ini merangkumi skop yang lebih besar dan digelarkan sebagai 'res nullius' atau 'tiada pemilikan.' Undang-undang 'res nullius' boleh terpakai pada banyak perkara tetapi bagi masyarakat Rom, kebiasaannya konsep ini digunakan dalam menentukan hak empunya ke atas haiwan liar, kediaman yang ditinggalkan, ladang terbiar dan juga hamba yang ketiadaan tuan.

Bagi menentukan siapakah yang akan menjadi tuan punya dalam hal ini - konsep 'res nullius' digunakan dengan peraturan siapa yang menemui atau mengaku mereka tuan punya kepada isu rebutan terawal, akan diisytiharkan sebagai empunya yang sah.

Empayar Rom tidak sama sekali menggunakan konsep ini dalam meletakkan diri mereka sebagai tuan punya tanah sesuatu kawasan, tetapi bergantung dengan siri-siri peperangan sama ada penaklukan atau mempertahankan invasi sebagai kaedah menentukan tuan punya kawasan rebutan.

Malangnya, kumpulan penjajah Eropah yang mula menggerakkan kuasa mereka memperkembangkan konsep ciptaan Rom ini, memperkenalkan konsep undang-undang 'terra nullius' atau 'tanah tidak bertuan'. Solusinya sama - siapa yang jumpa dulu, dia pemilik tanah itu.

Syarat-syarat penjajah melakukan tuntutan 'terra nullius'

letak hak sebagai tuan punya

Dalam abad ke 16 dan 17, perjanjian tidak rasmi di antara kuasa-kuasa di Eropah menerima bahawa konsep 'terra nullius' akan dipegang, bagi memastikan tidak berlakunya persengketaan sesama mereka dalam siri-siri penjajahan yang pada ketika itu mula rancak.

Perjanjian konsep 'terra nullius' ini menyebut bahawa mana-mana tanah atau benua luar Eropah yang dianggap tidak bertuan serta tidak mempunyai sistem masyarakat yang sivil atau bertamadun (seperti mereka) layak dituntut dan diakui milik mereka - dengan tiada kuasa Eropah lain boleh mencabar tuntutan yang pertama sekali dilakukan.

Walaupun begitu, untuk memastikan tuntutan mereka tidak boleh dicabar - wujud beberapa syarat yang perlu dipenuhi penuntut. Yang pertama, kuasa Eropah itu perlu menunjukkan mereka mempunyai sebarang bentuk kawalan ke atas kawasan yang dituntut. Ini boleh dilakukan dengan membuktikan wujudnya pengiktirafan atau kerjasama di antara pemimpin setempat dengan kuasa Eropah yang menjajah.

Yang kedua, sekiranya kuasa Eropah tidak mempunyai kawalan ke atas sistem masyarakat atau gagal menunjukkan bukti adanya kerjasama dengan orang tempatan, mereka perlu mengemukakan bukti tuntutan mereka dalam beberapa bentuk yang ditetapkan.

Sama ada melalui penguasaan ibu negara tempat itu, penguasaan lokasi penting sumber alam seperti sungai, penguasaan kepada jalan keretapi (ketika itu rel keretapi amat penting) atau bukti untuk menunjukkan bahawa penuntut telah pun menguasai sebahagian daripada kelengkapan perang yang ada di tanah dituntut.

Seandainya semua perkara ini dipenuhi - kuasa Eropah yang ada tidak lagi layak mencabar kedudukan sekutu kuasa Eropah yang lain di situ dan harus mencari kawasan lain, untuk diduduki.

Kes-kes 'terra nullius' yang besar

halau masyarakat pribumi

Negara kita juga sebenarnya salah sebuah negara yang menjadi mangsa kepada konsep penjajahan moden ini, namun kita sekurang-kurangnya berjaya mengekalkan identiti masyarakat asal dengan hanya pemajmukan masyarakat berlaku, mengubah struktur masyarakat kita. Lihat saja bagaimana diskusi Britain dan Belanda dengan mudah bertukar-tukar 'hak milik' Tanah Melayu, tanpa wujud peperangan besar sesama mereka.

Itu kesan konsep dan pemahaman 'terra nullius' berjaya diterapkan, mewujudkan kerjasama yang berkesan dalam memudahkan kolonialisme di lakukan di serata dunia.

Dalam sejarah dunia, ada dua contoh paling utama yang seringkali dirujuk bagi menunjukkan keburukan sebenar amalan 'terra nullius' ini. Yang pertama adalah benua Afrika dan kedua, adalah negara Australia.

Penjajah Eropah diakui agak lambat mengesan faedah bagi mereka dalam menguasai benua Afrika, jadi gerakan kolonial di situ bermula lambat - sekitar penghujung abad ke 19 daripada tahun 1884 dan berlangsung sehinggalah tahun 1914.

Sebelum penjajahan dimulakan, 13 negara Eropah termasuklah Amerika Syarikat telah pun bersidang di Berlin dalam menentukan kaedah terbaik serta syarat-syarat yang perlu mereka patuhi dalam menentukan tuntutan serta sempadan kawasan-kawasan di benua tersebut.

Hasilnya, pada tahun 1914 hanya tinggal tiga buah negara Afrika yang tidak dijajah iaitu Liberia, Ethiopia dan sebahagian daripada Somalia ketika ini, dengan selebihnya, dipecahkan kepada penaklukan tujuh kuasa Eropah iaitu Sepanyol, Itali, Perancis, Britain, Jerman, Portugal dan Belgium.

Semuanya dilakukan atas semangat 'terra nullius.'

Bagaimana 'terra nullius' menyebabkan Australia dijajah

terra nullius australia

Dalam kes Australia pula, Britain bertindak licik dalam memastikan penguasaan mereka ke atas kawasan itu tidak dicabar. Oleh kerana syarat-syarat ketetapan 'terra nullius' memerlukan sesebuah kuasa Eropah itu hanya boleh menguasai kawasan yang dianggap tiada sistem masyarakat mereka sendiri, konsep itu sepatutnya tidak dipakai di Australia.

Ini kerana masyarakat pribumi Australia ketika itu sebenarnya sudah pun mempunyai sistem kod etika atau peraturan mereka sendiri. Campur tangan British bagaimanapun membubarkan sistem masyarakat yang sedia ada sehingga 'menidakkan hal' masyarakat pribumi untuk mengekalkan corak hidup dan sistem sosial mereka yang sudah diamalkan.

Bagaimanapun, Britain menghujahkan bahawa kaedah kolonial mereka di situ seiring dengan ketetapan 'terra nullius' jadi tuntutan mereka sah walaupun ada kuasa Eropah lain, seakan kurang setuju dengan tuntutan itu. Ini kerana mereka menyifatkan tindakan Britain di Australia tak ubah seperti satu bentuk penaklukan secara terbuka.

Oleh kerana itu, beberapa kes mahkamah dibuka pada tahun 1977, 1979 dan 1982 bagi mencabar kedudukan Britain di Australia, agar Britain mengiktiraf kedudukan orang pribumi yangt telah dirampas haknya.

sejarah masuknya bangsa eropa ke indonesia 858

Kes ini berlanjutan sehinggalah tahun 1992 apabila mahkamah tinggi Australia mengiktiraf bahawa masyarakat pribumi Australia telah pun dirampas hak mereka, ekoran kedatangan Britain ke situ - membolehkan tanah-tanah yang telah dirampas dikembalikan semula kepada orang asal serta kewujudan undang-undang yang melindungi dan mengiktiraf kedudukan orang pribumi Australia, dalam sistem masyarakat mereka.

Satu lagi kejayaan paling besar, adalah pengiktirafan bahawa kolonialisme Britain di Australia bertentangan dengan hak asasi manusia serta menyekat hak sosial dan sejarah orang pribumi - seterusnya mendeklarasikan bahawa pengaruh Britain di Australia bertentangan dengan konsep 'terra nullius.'

Bagaimanapun - bagi banyak masyarakat pribumi di seluruh dunia termasuklah kita di Malaysia khasnya orang Melayu, nasi dah jadi bubur. Semuanya kerana konsep 'terra nullius' menghalalkan penjajahan asalkan semua pihak berikan kerjasama.

Rujukan

Occupation and Res Nullius

Terra Nullius in Australia



Hakcipta iluminasi.com (2017)