Satu ketika dahulu, sekiranya anda membuka siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) atau mana-mana siaran di kaca televisyen anda pada awal pagi sebelum ianya bermula, anda akan melihat paparan di atas di tayangkan bersama dengan bunyi nyaring.

Persoalannya, apakah paparan grafik tersebut? Adakah ia sekadar paparan yang diletakkan sementara menunggu siaran sebenar bermula?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jawapan ringkasnya, tidak. Ianya adalah satu cara pihak yang terlibat dalam penyiaran (krew, jurutera dll) memastikan siaran yang dipaparkan terpancar di kaca televisyen seperti yang dingini. Ianya mempunyai maksud tertentu yang hanya difahami oleh pihak yang terlibat di seballik tabir penyiaran rancangan di kaca  televisyen.

Fungsi "Test Card"

Klik video di atas sekiranya anda rindukan bunyi nyaring yang dikeluarkan sewaktu kad ujian visual dipaparkan di RTM satu ketika dahulu

Bagi yang tidak tahu, paparan grafik berwarna-warni ini juga dikenali sebagai "kad ujian visual" (test card) atau corak ujian (test pattern) yang berfungsi menguji isyarat siaran televisyen. Namun, dengan kemajuan teknologi masa kini, ianya tidak lagi digunakan.

Kad ujian ini biasanya disiarkan pada masa ketika pemancar aktif tetapi tidak ada program yang disiarkan. Sebab itulah anda biasa melihatnya pada awal pagi sebelum siaran bermula dan pada tengah malam ketika semua siaran rancangan yang dipaparkan telah tamat.

Digunakan sejak siaran televisyen terawal, kad ujian visual pada asalnya dahulu adalah kad fizikal di mana kamera televisyen akan memfokuskan padanya. Kad seperti ini masih  digunakan untuk penentukuran, penjajaran, dan pemadanan antara kamera dan camcorder.

Kad ujian pada masa kini

test card

Sementara itu, kad atau corak ujian yang digunakan untuk menentukur atau menyelesaikan masalah isyarat pada hari ini tidak lagi menggunakan kad fizikal sebaliknya dihasilkan oleh penjana isyarat ujian yang tidak bergantung pada konfigurasi (dan kehadiran) kamera yang betul.

Selain itu, kad ujian yang digunakan juga dapat menguji parameter tambahan seperti sync, frames per second dan frequency.

Kad yang dihasilkan secara digital membolehkan vendor, penonton dan stesen televisyen menyesuaikan peralatan mereka untuk fungsi yang optimum. Siaran audio semasa kad ujian ditunjukkan biasanya memaparkan nada gelombang sinus, radio atau muzik.

Sejak kebelakangan ini, penggunaan kad ujian ini juga semakin meluas ke paparan digital lain seperti dinding LED besar dan projektor video. Malah, kad-kad ujian ini juga nampaknya sudah menjadi satu trend. Di YouTube misalnya, terdapat banyak video yang memaparkan kad corak ujian ini berjam-jam lamanya. 

Sejarah penggunaan kad ujian visual

sejarah kad ujian visual

Kad ujian visual di televisyen pertama kali digunakan pada tahun 1920-an. Nilai estetika atau coraknya tidak penting kerana ia dirancang secara teknikal untuk membolehkan jurutera elektrik menjadikannya sebagai panduan untuk menentukur dan menghasilkan gambar yang sesuai. Kad ujian ini akhirnya menjadi ikon nostalgia era TV hitam putih.

Pada awal kemunculannya, kad ujian yang digunakan bukanlah seperti yang biasa kita lihat. Sebaliknya, ia berbentuk bulat dengan corak oskiloskop di atas garisan grid segi empat tepat. Fungsinya adalah memeriksa prestasi pemancar dari studio ke antena dan resolusi gambar. 

Sekiranya bentuk bulat pada tengah berbentuk bujur dan tidak bulat dengan sempurna, misalnya, ini bermakna terdapat masalah teknikal yang perlu diperbaiki dan paparan visual yang dipaparkan bukanlah yang terbaik. Kad ujian visual awal ini sangat ikonik memandangkan terdapat lukisan lelaki Red Indian pada atasnya.

fungsi kad ujian visual

Lingkaran seterusnya menunjukkan warna kelabu (dengan kepekatan berbeza) dan bahagian paling luar berwarna putih. Bahagian ini berfungsi untuk menguji kontras (contras) dan bayangan (shading) pada gambar yang dipaparkan.

Dengan berpandukan kad ujian visual ini, penyesuaian secara berkala pada kamera dan monitor studio akan dilakukan sepanjang hari. Seorang jurutera penyiaran yang berpengalaman dapat melihat gambar lelaki Red Indian dan dengan cepat mengetahui sama ada visual yang dipaparkan adalah baik atau terdapat sedikit perubahan yang perlu dilakukan. 

Kad ujian visual ini memaparkan semua elemen yang diperlukan untuk menyesuaikan perspektif, pembingkaian, garis lintang, tindak balas frekuensi, kontras dan kecerahan. Setelah TV warna diperkenalkan, kad ujian ini diwarnai tetapi pada tahun 70-an ia tidak lagi berguna. 

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Smith Journal
  3. Print Mag



Hakcipta iluminasi.com (2017)