Dalam era teknologi maklumat yang membuatkan bermacam jenis informasi dan data berada di hujung jari anda, generasi yang lahir selepas zaman millenium jelas bertuah kerana lahir ketika era teknologi boleh dikatakan matang dan sudah berevolusi secara lengkap. Dengan perkembangan ini, teknologi jadi semakin mudah diakses dan mudah dikendalikan oleh sesiapa saja.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun begitu, ada banyak sebenarnya memori yang kami, generasi tua ini simpan dan akan terus jadi kenang-kenangan kami kerana kami melalui fasa teknologi masih lagi dalam proses perkembangan dan teknologi pada zaman kami, saya boleh katakan banyak memakan masa dan tenaga kami dalam menggunakannya.
Berikut adalah 10 perkara yang benar-benar menunjukkan berbezanya teknologi untuk kita mengakses media hiburan yang kita ada sekarang berbanding teknologi 20 tahun dahulu, yang mampu membuatkan semua generasi sebelum millenium tersenyum riang.
1. Perlu bangun menekan butang di televisyen
Percaya atau tidak, beberapa belas tahun dahulu, hanya TV orang berada saja yang mempunyai alat kawalan jauh. Jadi, generasi sebelum era baru perlu bangun menukar sendiri saluran televisyen kerana butangnya berada di televisyen. Itulah sebabnya ada masanya kami malas, jadi kami biarkan sajalah. Yang bertuah, ada adik. Adik adalah alat kawalan jauh kami pada waktu itu. Sebab itulah, televisyen sekarang semua butang disorok berbanding tv dahulu yang butangnya betul-betul di depan. Nak mudahkan adik tekan.
2. Hanya ada 4 saluran televisyen sahaja!
Sebelum bermulanya siaran Astro atau pembekal siaran televisyen berbayar pertama di negara kita, Mega TV, kami hanya mempunyai 4 saluran sahaja selalunya. RTM1, RTM2 dan TV3. Kemudian ditambah dengan NTV7 dan TV9. Sebelum NTV7 dan TV9 wujud, ada satu saluran yang dah pupus bernama Metrovision yang saya akui bosan dan kemudian dijenamakan menjadi 8TV sekarang ini. Dengan saluran-saluran inilah kami tonton semuanya. Peluang dapat tengok filem dalam televisyen merupakan satu acara keluarga yang dilakukan beramai-ramai.
3. Guna telefon awam
Memang sukar nak jumpa telefon awam sekarang ini, tetapi dengan telefon awam yang menggunakan duit syiling atau sistem kad melalui RIng-Ring Kad atau Citifon inilah, kami semua berhubung. Dulu, inilah prepaid kami. Beli kad bernilai RM10, pergi ke telefon awam dan kemudian berboraklah dengan ada orang lain beratur kat belakang kami. Borak pula durasinya bergantung kepada lokasi. Kalau panggilan sama negeri, murah lah sikit. Kalau panggilan ke negeri lain, laju saja kredit ditolak. Cakap pun cepat-cepat.
4. Walkman, Kaset, Bateri dan Pen Kilometrico
Dulu lebih ramai guna walkman. Kalau dia ada Discman yang memainkan cakera padat, dia kaya. Untuk orang kebanyakan, ada walkman ni best gila dah. Tapi pada waktu itu, teknologi bateri bukan macam sekarang. Sekarang semua orang ada bateri boleh caj semula dalam telefon. Dulu walkman pakai bateri AA. 4 biji RM3 untuk bateri Eveready atau RM9 untuk bateri alkali yang tahan lebih lama seperti Duracell atau Energizer.
Dengar lagu pula guna kaset, jadi setiap kali main kena pusing balik kaset. Nak rewind pakai walkman, bateri cepat habis. Jadi kami guna penutup pen Kilometrico untuk pusing balik kaset kami.
5. Adjust aerial TV
Dulu semua TV mesti ada aerial atas dia. Kalau tak ada atas TV, mesti ada dekat luar rumah aerial yang dipasang atas atap atau guna buluh tinggi supaya dapat siaran. Masalah pada ketika itu adalah siaran memang tak stabil. Jadi setiap kali bangun tukar saluran (tak ada remote control) kami kena adjust balik kedudukan aerial supaya gambar clear. Ada masanya kami tengok sajalah tv dengan gambar buruk sebab malas nak adjust. Lagipun, ada sesetengah aerial, bila kita pegang, kita boleh rasa elektrik statik kat tangan. Melompat juga dibuatnya.
6. Kena tukar-tukar wayar belakang TV
TV pada zaman dulu sebelum era millenium tak ada banyak tempat sambungan di belakangnya. Kebanyakan TV pada waktu tu hanya ada satu aje sambungan. Dialah sambungan untuk dapat signal TV, dialah juga sambungan untuk sambungkan konsol paling legenda untuk kanak-kanak Malaysia waktu tu iaitu Micro Genius. Seperti biasa, adik akan ditugaskan untuk menjadi kuli tukar wayar belakang TV.
7. Download satu lagu 2 hari
Pada zaman awal kemunculan format mp3 dulu ada banyak kedai yang jual cakera padat cetak rompak yang mengandungi beratus lagu dalam satu keping cd. Bagaimanapun, bukan semua lagu ada. Jadi, kebanyakan dari kami terpaksalah menggunakan "khidmat-khidmat khas" seperti Napster atau Kazaa untuk memuat turun lagu secara haram. Pada ketika itu, kalau sebuah lagu dapat dikecilkan sehingga 4MB memang cukup bertuah rasanya kami kerana selalunya, untuk download satu lagu, memerlukan lebih dari 2 hari waktu memuat turun. Dapat cukup 1 album yang dicari, fail yang kami ada tu akan kami copy masuk dan burn dalam CD, sebab fail tu sangat-sangat-sangat berharga.
8. Tengok video klip atau video konsert
Zaman sekarang ada Youtube, jadi nak tengok persembahan ni mudah. Tulis saja nama artis, akan keluar beratus jenis persembahan mereka. Tetapi tak berapa lama dahulu, kalau dapat tengok klip video artis kegemaran kami dalam TV, kami akan meloncat kegembiraan sebab jarang dapat tengok klip video ni.
9. Carik radio
Kalau anda pergi ke rumah-rumah kampung, pasti ada lagi yang tersimpan mini kompo yang menggunakan sistem radio yang kita kena cari sendiri pakai roda bulat besar dan tengok ikut meter frekuensi. Pusing punya pusing carik radio yang kita nak, nak dapat siaran yang betul-betul jelas ni pun susah sebab ada sesetengah radio tu sensitif betul dia punya roda. Kemudian bila dah bosan dengar radio tu, nak tukar ke siaran lain kena ulangi balik langkah yang sama sampai jumpa frekuensi yang kita nak. Nak dapatkan balik semula radio yang tadi kita dengar? Pusing balik tombol tu dan cari balik.
10. Tangkap gambar
Kami dulu-dulu, bila tangkap gambar, kami perlu tunggu roll filem habis ditangkap kemudian tunggu gambar dicuci di kedai sebelum dapat tengok gambarnya. Ada kepala terpotong ke, muka buruk ke, tak ready bergambar ke atau gambar blur, semuanya terpaksa diterima sebab dah tak ada dah peluang untuk bergambar semula seperti sekarang. Sebab itulah kalau anda tengok, gambar kanak-kanak zaman dulu semuanya berdiri tegak, itu kerana takut nanti ada blur pergerakan yang akan mencacatkan gambar.