Pernahkah terjadi kepada anda situasi seperti berikut...
Filem aksi superhero kegemaran anda baru sahaja ditayangkan di panggung dan beberapa orang rakan anda yang telah menyaksikan filem tersebut dengan pantas memuat naik ulasan peribadi mereka di media sosial.
Anda enggan membaca lalu terus menyembunyikan hantaran tersebut atau menatal laju-laju kepada post lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Anda terlihat pula hantaran beberapa rakan lain yang menulis "Siapa bagi spoiler, aku unfriend!" Anda pun tersenyum sinis kerana masih ada juga rakan yang seangkatan dengan anda.
Kenapa ramai orang tidak sukakan spoiler?
Bagi orang yang tidak sebulu dengan anda dan tidak kisahkan spoiler atau bocoran, mereka akan tertanya-tanya - apakah sebenarnya yang akan terjadi sekiranya anda "ter"tahu jalan cerita atau pengakhiran sesebuah filem? Adakah ia boleh bertukar menjadi suatu pengalaman yang tidak menyeronokkan?
Sekumpulan ahli penyelidik psikologi pernah menjalankan tiga siri eksperimen untuk menjawab persoalan ini.
Mereka menyediakan beberapa cerita pendek yang mengandungi anggaran 4,200 patah kata kepada 800 orang peserta eksperimen. Setiap eksperimen menguji genre berlainan termasuklah misteri, kisah dengan plot putar balik yang tidak disangka-sangka serta kisah yang membangkitkan emosi.
Dalam setiap genre, peserta diberikan cerita berbeza untuk dibaca. Ada cerita yang didahulukan dengan bocoran dan ada cerita yang tidak diberikan bocoran. Setelah pembacaan selesai, mereka diminta menilai tahap keseronokan membaca setiap cerita.
Keputusannya agak mengejutkan kerana para peserta memberikan rating yang tinggi kepada cerita yang telah diberikan spoiler. Malah, keputusan eksperimen itu juga secara umumnya dapat menyimpulkan bahawa para peserta lebih sukakan kisah yang telah didedahkan pengakhiran lebih awal.
Adakah ini bermakna spoiler bukanlah pemusnah jalan cerita tetapi sebenarnya membuatkan pengalaman lebih menyeronokkan?
Kenapa Kita Suka Spoiler?
Kajian empirik tersebut mendapati orang ramai sebenarnya menikmati kesan bocoran cerita walaupun seboleh-boleh ingin mengelakkannya. Para penyelidik membuat spekulasi bahawa penemuan yang berlawanan dengan gerak hati ini mungkin mempunyai teori penyebab yang berbeza.
- Kelancaran persepsi
Salah satu sebab kita sebenarnya dalam diam menyukai cerita dengan pengakhiran yang diketahui adalah disebabkan kelancaran persepsi. Selepas mengetahui spoiler, kandungan dan plot yang bakal menyusul telah dapat dijangka dan dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Hal ini demikian kerana beban kognitif ke atas pembaca atau penonton telah pun diringankan.
Setiap unsur dalam jalan cerita menjadi lebih mudah dikaitkan serta difahami, sekali gus menjadikan pengalaman itu lebih menyeronokkan.
- Tekanan yang dinikmati
Antara sebab lain seseorang menyukai cerita yang telah 'dibocorkan' adalah kerana mereka menikmati tekanan yang dibina setelah mengetahui plot twist yang bakal menjelma.
Situasi ini membangkitkan lagi perasaan teruja dan membolehkan penonton atau pembaca lebih fokus kepada cara watak utama menangani konflik melalui jalan cerita tersebut.
Percanggahan keputusan dua kajian
Walau bagaimanapun, satu kajian susulan yang dijalankan pada tahun 2016 pula mendapati peserta-peserta eksperimen tidak menyukai cerita yang telah dibocorkan lebih awal.
Jadi, bagaimanakah kita dapat menjelaskan percanggahan antara kedua-dua kajian ini?
Para penyelidik mengaitkannya dengan penggunaan bahan bacaan yang berbeza serta spoiler yang berlainan dalam kajian kedua. Kajian susulan itu menggunakan spoiler lebih pendek yang hanya memberi fokus kepada penghujung cerita manakala kajian sebelumnya pula spoiler memberikan gambaran yang lebih bernuansa seperti tema keseluruhan cerita.
Kaedah sesuatu spoiler disampaikan juga memberikan kesan penting dalam pengalaman seseorang pembaca atau penonton.
Selain itu, kajian kedua ini menyatakan kepentingan dalam perbezaan individu. Kelihatan seperti peserta yang mempunyai keperluan kognisi lebih tinggi (mereka yang sukakan teka-teki atau berfikir lebih berbanding yang lain) amat kecewa dengan spoiler yang terlebih dahulu mendedahkan pengakhiran cerita.
Jelas orang-orang seperti ini lebih suka berfikir apabila membaca atau menonton sesuatu cerita dan tidak suka cabaran itu dirosakkan oleh spoiler.
Jadi, adakah orang sukakan spoiler?
Walaupun penemuan eksperimen ini tidak jelas tetapi kelihatan seperti spoiler mungkin tidak memudaratkan keseronokan seperti yang dipercayai ramai sebelum ini. Dalam sesetengah kes, dapat meramalkan perkara yang akan berlaku dapat meningkatkan pengalaman terutamanya bagi mereka yang tidak suka terlalu berteka-teki mengikuti cerita.
Bahkan, terdapat bukti bahawa ramai yang suka menonton rancangan TV atau filem kegemaran mereka berulang kali. Walaupun sudah mengetahui jalan ceritanya, kekurangan cabaran kognitif membuatkan mereka dapat menikmati dan memahaminya dengan lebih baik.