Setiap orang pasti pernah menggunakan kemudahan troli, yang disediakan pasar raya untuk memudahkan urusan beli-belah kita.

Troli biasanya disediakan secara percuma bagi kegunaan namun kemudahan yang ada ini juga menjadi satu masalah besar kepada pihak pengurusan pasar raya, selepas terlalu ramai pelanggan enggan memulangkannya ke tempat sepatutnya selepas selesai urusan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudahlah disepah-sepahkan, ada juga pelanggan tidak bertanggungjawab yang membawanya ke luar kawasan pasar raya bahkan bagi mereka yang duduk berdekatan, ada yang membawanya pulang ke rumah.

Pernahkah anda terfikir kenapa masalah yang sebenarnya kecil ini sering berlaku? Pasti ramai akan menjawab sifat malas menjadi punca kan? Sebenarnya malas hanyalah separuh dari penjelasannya.

Teori troli beli-belah ujian sebenar sifat murni manusia

teori troli belanja 3

Dalam hidup kita, kita biasanya diselia kelakuan kita oleh peraturan atau undang-undang yang ditetapkan. Seseorang itu moral kompasnya dibentuk oleh peraturan yang telah ditetapkan, sama ada dia suka atau tidak dan majoriti orang akan patuh. 

Bagaimanapun dalam situasi di mana apa akan berlaku selepas sebuah troli beli-belah digunakan, kita tidak mempunyai peraturan yang tetap untuk dipatuhi. Apa maksudnya? 

Memulangkan troli beli-belah selepas selesai digunakan adalah satu situasi di mana seseorang itu tidak diselia mana-mana peraturan, sebaliknya semuanya bergantung 100% kepada sifat moralnya. 

Realitinya tidak ada peraturan khusus yang menetapkan kita PERLU atau WAJIB meletakkan kembali troli. Seseorang yang tidak meletakkan troli pula tidak boleh dipersalahkan kerana enggan memulangkannya walaupun dia mungkin menyusahkan orang lain!

Jika seseorang itu mempunyai kesedaran untuk memulangkan troli yang dah diguna ke tempatnya, dia pula tidak akan menerima sebarang faedah atau imbuhan hasil daripada tindakan dia. Sebaliknya tindakan itu hanya akan merugikan masa dan tenaga sendiri. 

Banyak penyelidik percaya tabiat seseorang boleh dinilai daripada apa yang individu itu biasanya lakukan terhadap troli, kerana situasi sebegini memerlukan kita secara kendiri mewujudkan peraturan atau pelepasan yang akan menentukan apa tindakan kita selanjutnya. 

Apa saja tindakan kita, baik yang positif atau yang negatif - tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada kita. Tetapi apabila ramai enggan memulangkan troli, keburukan yang tidak kita nampak akan menjadi lebih besar.

Situasi kucar-kacir membawa kepada persekitaran buruk

troli bersepah malaysia

Kami pernah membincangkan berkenaan isu kenapa orang susah dan miskin, seringkali nampak selesa dengan keadaan lebih kotor? Isu tersebut memang agak kompleks untuk difahami apatah lagi apabila kita yang lebih bernasib baik - tidak berada dalam kasut mereka.

Namun asas penjelasan kenapa orang miskin akan kelihatan kotor menjurus kepada kesimpulan apabila seseorang itu sudah terbiasa dengan keadaan sedemikian di sekelilingnya setiap hari, dia akan mula rasa senang dalam keadaan sebegitu walaupun hakikatnya hidup mereka harus diperbaiki.

Salah satu keburukan utama kita enggan memulangkan troli, agak berkait dengan situasi di atas. Bila kita sebagai sebuah masyarakat sudah biasa melihat pemandangan troli bersepah serta tidak dipulangkan, kita sebenarnya akan rasa selesa dengan situasi sebegitu serta akan mengakibatkan masalah sedemikian lebih membarah.

Ini disebabkan oleh sifat manusia yang didapati akan menjangkiti satu sama lain tanpa sedar. 

Kajian-kajian psikologi telah menunjukkan minda kita sebagai sebuah masyarakat akan menuruti apa yang kita nampak. Lebih ramai orang tidak memulangkan troli sehingga menyebabkan troli bersepah di kawasan parkir pasar raya, akan lebih ramailah orang yang memilih jalan serupa membiarkan saja troli selepas selesai urusan.

Sekiranya kita selepas selesai membeli belah melihat troli berada dalam keadaan tersusun, kemungkinan untuk kita memulangkan kembali troli ke tempat sepatutnya akan menjadi lebih tinggi. 

Dalam erti kata lain jika kita aplikasikan teori ini ke dalam ruangan yang lebih luas, apabila sesebuah masyarakat sudah biasa dengan suasana bersepah - lama-kelamaan akan makin ramai orang biasa dengan suasana tersebut dan enggan mengubahnya.

Seandainya kita seorang yang malas menjaga persekitaran tetapi duduk dalam komuniti yang benar-benar menjaga kecantikan kawasan perumahan, kita sendiri akan berusaha mengubah perangai kita untuk mencantikkan lagi kediaman kita.

Pulangkan troli untuk mulakan perubahan

kumpul troli di putrajaya

Sukarelawan perlu membantu mengumpulkan troli di sekitar Putrajaya! Putrajaya!

Satu sifat negatif yang kerap kita miliki adalah sikap "dia boleh? Kenapa saya tak boleh?" dalam menghakimi tabiat buruk yang seringkali kita amalkan. Sikap inilah yang menjadi punca kepada banyak masalah masyarakat kita saban hari. 

Satu contoh mudah - jika seseorang mula ambil jalan mudah meletakkan saja kereta di depan kedai sehingga menghalang laluan kereta lain - pasti ada pemandu lain yang akan turut sama mengikut perbuatan itu sehingga memburukkan lagi keadaan. 

Situasi-situasi negatif sebegini kebiasaannya bermula dengan seorang, tetapi akan melarat sehingga menjadi satu norma; walaupun majoriti yang melakukannya sedar kesalahan norma itu. 

Begitulah juga dengan amalan memulangkan troli. 

Kita semua sedar kita seharusnya meletakkan kembali ke tempat yang disediakan, namun ramai memilih untuk tidak melakukannya kerana kita melihat ada banyak troli lain bersepah. Ini adalah perkara yang perlu kita ubah.

Memulangkan troli memanglah pada mata kasar kita tidak akan membawa perubahan besar kepada dunia, tetapi dengan satu perbuatan mudah itulah kita akan menghalang orang lain daripada menyepahkan troli mereka selepas itu. 

Ada banyak cara kita akan mempengaruhi orang lain tanpa kita sedar. Tindakan kita memulangkan troli tanpa kita ketahui sebenarnya mencipta tekanan kepada mana-mana individu lain yang nampak perbuatan kita untuk menurutinya. Sifat itu seperti mana kami sudah sebutkan, berjangkit.

Secara psikologinya itulah lumrah manusia. Kita akan menuruti persekitaran kita. Jika persekitaran majoriti kita berterabur, kita akan cenderung biasa dengan suasana bersepah. Sekiranya persekitaran kita kemas, majoriti kita pun akan mencari kekemasan. 

Jadi persoalannya di sini - bagaimanakah persekitaran anda sekarang? Bersih, bersepah, teratur atau huru-hara? Apa yang anda nampak hendak tak hendak, adalah cerminan diri anda juga.

Rujukan

Why Don't People Return Their Shopping Carts?




Hakcipta iluminasi.com (2017)