Oleh pada 16 Jun 2022 kategori

Walaupun kini masyarakat Melayu di Malaysia sudah sinonim dengan kehidupan berteraskan agama Islam, masih ada elemen tradisi nenek moyang kita yang kita santuni dan terus amalkan, tanpa kita tahu baik buruknya.

Salah satunya adalah amalan masih kedengaran iaitu menyebut ungkapan 'simpang malaikat 44' atau 'selisih malaikat 44', apabila segelintir individu berbangsa Melayu berdepan dengan situasi atau kejadian buruk.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Misterinya di sini - kenapa perbuatan itu berterusan diamalkan dan apakah makna sebenar di sebalik angka '44' yang disebutkan?

Perbuatan yang tiada makna dari aspek Islam

sejarah istilah mintak simpang malaikat 44

Sebelum kita mengulas lebih lanjut berkenaan topik ini, adalah lebih baik untuk kami perjelaskan terlebih dahulu sejelas-jelas mungkin bahawa...

Secara asasnya ungkapan 'simpang malaikat 44' dan angka '44' yang disebutkan itu tidak mempunyai hubung kait dengan kepercayaan Islam, kecuali bagi mereka yang berpegang kepada cabang ilmu yang diistilahkan sebagai ilmu Laduni.

Ada banyak pandangan yang membincangkan berkenaan cabang ilmu tersebut, tetapi secara majoritinya ulama' berpendapat asas kepada ajaran tersebut yang diambil daripada kisah berkenaan Nabi Musa as. dan Nabi Khidir as. dalam al-Quran boleh dikatakan menyeleweng.

Konsep ilmu laduni ini yang digunapakai mudah disalahfaham pelajarnya serta dikatakan bertentangan dengan bentuk ilmu yang benar-benar dikuasai oleh Nabi Khidir as.

Kesalah tanggapan ini dirisaukan sehingga boleh membentuk kepercayaan setiap pengamalnya mampu membawa satu bentuk bentuk syariat berbeza, yang bertentangan dengan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw.

Cabang ilmu yang samar-samar

ilmu laduni cabang ilmu samar samar

Dalam riwayat sebenar, Nabi Khidir as. mempunyai kebijaksanaan memperkembangkan ilmu yang hadir secara ilham atau 'ladun', hasil daripada amalan yang telah dilakukannya sepanjang hidup daripada wahyu yang diterimanya dari Allah swt.

Kelebihan ini membolehkan Nabi Khidir as. tidak terikat dengan ajaran yang dibawa Nabi Musa as.

Kebanyakan pandangan sahih meletakkan ilmu ladun atau berteraskan ilham ini sebagai sesuatu yang tidak boleh diajarkan, hanya akan dianugerahkan Allah swt. kepada insan terpilih - jauh berbeza dengan konsep ilmu Laduni yang dipegang segelintir masyarakat kita zaman sekarang di mana ada guru yang mengaku mereka mampu mengajar ilmu Laduni.

Baik, sudah kita perjelaskan secara ringkas kedudukan 'ilmu Laduni' dalam aspek majoriti ulama'.

Kami perlu mengingatkan kepada anda, gerakan ilmu Laduni ini juga cukup besar pengaruhnya sehinggakan ramai menjadi pengikutnya.

Apa yang sangat membimbangkan, kategori ilmu Laduni ini samar-samar kedudukannya dalam perspektif Islam, ekoran daripada label namanya yang dipetik dari kitab suci al-Quran hubungkaitnya yang kelihatan ada asas kukuh dalam Islam.

Sudah banyak gerakan berteraskan Laduni diletakkan dalam pengawasan, dibanteras serta dikategorikan sesat di negara kita dan Indonesia.

Jadi pesanan kami, berhati-hati ya.

Cukup kita cerita tentang gerakan ajaran Laduni - sekarang kita kembali kepada topik asal kita yakni ungkapan 'istilah malaikat 44' dan kenapa kepercayaan ini dibimbangi berasal dari cabang ilmu Laduni.

Dari Mana Asal Istilah Simpang Malaikat 44 disebut?

pantang bersalin 44 hari

Dalam aspek kehidupan masyarakat Melayu terdahulu, angka 44 dikatakan memainkan peranan yang agak penting - khasnya dalam bidang perbidanan atau kelahiran seseorang manusia ke bumi ini.

Menurut buku berjudul Ensiklopedia Perbidanan Melayu karya Anisah Barakbah, angka 44 mewakili rahsia alam yang mempunyai hubungkait dengan sifat kejadian manusia.

Asasnya 44 mewakili jumlah hari di mana seseorang wanita perlu berpantang selepas setiap kelahiran, bagi memulihkan tubuh mereka yang telah rosak.

Itu asasnya! Kita belum meneroka dengan lebih dalam lagi rahsia angka 44 ni ya.

Kepercayaan bahawa seseorang wanita perlu berpantang selama 44 hari ini pula diambil daripada hubungan angka tersebut dengan alam.

Alam kita ini menurut kepercayaan nenek moyang kita dibentuk daripada 4 penjuru dan setiap penjuru melambangkan 4 elemen berbeza iaitu air, api, tanah dan angin.

4 elemen itu pula dikatakan mempunyai pengaruh besar yang akan membentuk keperibadian seseorang berdasarkan sifat elemen itu.

Di setiap penjuru alam yang ada, setiap penjuru dibahagikan kepada 44 dimensi dan setiap satu dimensi itu dipercayai dijaga oleh 44 malaikat.

Dari sinilah kepercayaan tentang 'malaikat 44' diambil dan menjadi amalan.

Sehinggakan di kalangan nenek moyang kita dulu ada yang percaya dalam melakukan sesuatu perbuatan, kita perlulah meminta izin atau perlindungan daripada 44 malaikat yang menjaga 4 penjuru alam.

Konsep 44 ini terus menjadi amalan nenek moyang kita semasa mereka hidup, menjadi penguat semangat kepada mereka apabila berhadapan kesusahan.

Malangnya konsep ini tidak terpakai hanya ketika hidup saja, kepercayaan ini turut sama dipegang bagi mereka berhadapan kematian.

Orang dulu percaya angka 44 menguasai kematian

44 dimensi alam dijaga 44 malaikat

Kami sudah jelaskan bagaimana angka 44 mempunyai pengaruh kepada hidup dari alam rahim sehinggalah ketika kehidupan di atas muka bumi, menentukan corak hidup masyarakat Melayu terdahulu.

Jadi tidaklah menghairankan konsep serupa turut diguna pakai bagi memandu nenek moyang kita dalam berhadapan kematian.

Masyarakat Melayu zaman dahulu ada yang percaya bahawa seseorang itu yang bakal meninggal dunia, prosesnya bermula 44 hari sebelum nyawanya dicabut -pintu dimensi yang akan menjemputnya masuk dibuka 44 hari sebelum dia meninggal dunia.

Apabila seseorang itu mati, ubun-ubun seseorang terbuka bagi membolehkan rohnya keluar melalui perjalanan akhir merentasi 44 dimensi, sebelum sampai ke tempat asalnya.

Begitulah secara kasar perjalanan hidup seseorang dari mula hingga akhir, serta pengaruh angka 44 kepadanya.

Kita kini yang semakin celik tentang agama pun ada kemungkinan pernah tersasul menyebut ungkapan 'simpang malaikat 44' atau 'selisih malaikat 44' hanya disebabkan oleh tradisi nenek moyang kita.

Siapa 'Tok Guru' atau pengasas ilmu malaikat 44 ni?

tok guru pencipta kepercayaan 44 malaikat

Persoalannya - dari mana datangnya kepercayaan tentang 4 penjuru alam, 4 elemen alam, 44 dimensi dan 44 malaikat ini?

Tiada siapa dapat menjawab soalan ini dengan jelas bukan.

Atas sebab itulah kepercayaan masyarakat Melayu ini sering dikaitkan dengan kategori ilmu Laduni, kerana semua pegangan yang tercipta hadir dipercayai berlaku secara spontan hasil idea atau ilham semata.

Apa yang jelas, sebarang bentuk ilmu yang bercanggah dengan konsep asas agama Islam sebaik-baiknya dielakkan - walaupun pada dasarnya ilmu tersebut kelihatan menyerupai apa yang terkandung dalam kepercayaan Islam sebenar.

Nasihat kami - noktahkanlah terus penggunaan frasa 'simpang malaikat 44' atau 'selisih malaikat 44'. Tidak ada sebab musabab kenapa kepercayan sedemikian perlu terus dijadikan ucapan harian kita.

Pegang yang asas saja sudah.

Kita wajib percaya pada makhluk ghaib termasuklah malaikat dan kita juga dididik sejak kecil tentang nama 10 malaikat.

Kita diberitahu jumlah malaikat sebenar jauh lebih besar bilangannya - di luar batas pemikiran kita. Tidak ada disebut kaitan angka 44 dengan mana-mana asas kepercayaan kita terhadap makhluk ghaib.

Dari mana datangnya kepercayaan 44 malaikat, melindungi 44 dimensi ini mungkin hanya Dia Yang Maha Mengetahui tahu siapa pemulanya. Ilmu tanpa guru sememangnya bahaya untuk diteruskan jadi amalan, apatah lagi ilmu yang terus dipegang sebagai satu pegangan dan kepercayaan.

Rujukan

Hukum Bergantung Kepada Ilmu Ladunni

Ensiklopedia perbidanan Melayu




Hakcipta iluminasi.com (2017)