Oleh pada 31 Jul 2019 kategori

Adat dan budaya masyarakat Melayu mempunyai unsur-unsur kesenian yang sangat tinggi nilainya. Ini dapat dinilai berdasarkan kepada warisan instrumen-instumen muzik yang diperturunkan pada masyarakat Melayu kita.

Walaupun peralatan-peralatan tradisional ini dilihat hanya digunakan ketika upacara-upacara rasmi seperti majlis perkahwinan, persandingan atau upacara melibatkan Raja-Raja; tidak dapat dinafikan melodi dan nada yang terhasil unik serta tidak mempunyai taranya dalam dunia muzik moden.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda tentang beberapa jenis instrumen muzik tradisional masyarakat Melayu yang popular serta sejarahnya? Jom kita tengok.

Kategori alat muzik masyarakat Melayu

contoh alat muzik masyarakat melayu

Dalam kajian untuk mengkelaskan peralatan-peralatan ini, kita perlulah terlebih dahulu mengetahui pengkhususannya. Semua perlatan muzik tradisional Melayu boleh dibahagikan kepada empat kumpulan;

a. Aerophone

Mewakili instrumen yang memerlukan pemainnya meniup angin ke dalamnya, seperti serunai, pinai atau seruling.

b. Membranophone

Instrumen membranophone pula adalah alat muzik yang yang memerlukan hentakan atau pukulan pada alas membran, yang biasanya dibuat daripada kulit haiwan. Hentakan boleh dibuat dengan tangan atau instrumen seperti kayu pemukul. Kompang, rebana dan gendang duduk dalam kategori ini.

c. Idiophone

Idiophone pula mewakili alat muzik yang menghasilkan bunyi daripada getaran yang berlaku ke atasnya. Biasanya alat muzik idiophone dibuat daripada logam keras. Antara alatan muzik tradisional Melayu yang popular berbentuk idiophone adalah gong.

d. Chordophone

Kategori ini pula mewakili peralatan muzik yang menghasilkan nada dengan menggunakan tali yang diikat pada badan atau bekas yang mampu menguatkan bunyinya. Dua instrumen tradisional popular chordophone adalah rebab dan gambus.

Sejarah Kompang

tradisi kompang majlis perkahwinan

Kompang adalah peralatan muzik paling popular sehingga sekarang, kerana alat ini terus menjadi salah satu instrumen wajib ada semasa majlis perkahwinan masyarakat Melayu.

Kompang dipercayai pada awalnya merupakan sebuah instrumen yang dibawa oleh pedagang Arab ke Tanah Melayu, sekitar abad ke 13 dan cukup popular sehingga menjadi salah satu alat muzik rasmi semasa pemerintahan kerajaan Majapahit yang wujud pada tahun 1293 hingga 1470 di Jawa.

Rangka kayunya dibuat daripada kayu keras kebiasaannya pokok nangka dengan kulit kambing yang ditarik menutupi permukaannya. Mempunyai pelbagai saiz di antara 6 ke 15 inci, saiz kompang 12 atau 13 inci menjadi pilihan ramai kerana saiznya yang padan dengan masyarakat kita.

Sejarah Gendang

jenis alat muzik tradisional

Gendang memainkan peranan yang besar dalam seni dan budaya masyarakat Melayu. Dikenali dengan nama kendang dalam bahasa Jawa atau 'kendhang' oleh masyarakat Tausug di Filipina, masyarakat Melayu memang terkenal sebagai pemain gendang yang handal.

Gendang tertua yang pernah ditemui dipercayai dimainkan sejak abad ke 9 di kawasan sekitara Borobodur. Sama seperti kompang, binaanya juga memerlukan rangka kayu kukuh sama ada pokok nangka, kelapa atau cempedek dengan bahagian kulitnya pula diperbuat daripada kulit kerbau untuk mendapatkan bunyi yang padu atau kulit kambing, untuk bunyi lebih nyaring.

Gendang paling besar dalam mana-mana satu persembahan dinamakan sebagai gendang ibu atau gendang indung, menjadi salah satu instrumen penting dalam persembahan gamelan.

Sejarah serunai

alat muzik tradisional orang melayu

Salah satu alat muzik yang menghasilkan bunyi yang amat mudah dikenali kerana kenyaringannya, tak sah persembahan silat dilakukan tanpa serunai dimainkan. Wajib ada! Selain silat, upacara wayang kulit juga menggunakan melodi serunai sebagai penghias persembahan.

Mempunyai bermacam jenis bentuk dan jenis, beberapa jenis serunai yang ada serunai daun kelapa, batang padi, Kelantan, Aliran Utara dan beberapa jenis lagi. Bentuk serunai juga berbeza-beza mengikut pengukirnya serta bunyi yang ingin dihasilkan.

Dipercayai berasal daripada masyarakat Minang yang datang dari Sumatera Barat, alat ini turut juga digelarkan sebagai puput serunai. Boleh diperbuat daripada bermacam jenis sumber bahan seperti batang padi, kayu, buluh, tanduk kerbau atau daun kelapa, sukar sebenarnya memainkan serunai bagi mendapatkan bunyi yang diinginkan. Memang tabik hormat mereka yang mampu mainkan alat muzik ini.

Sejarah rebab

permainan muzik tradisional orang melayu gitar rebab

Rebab sekiranya dilihat, sangat mirip dengan peralatan biola zaman moden. Menjadi salah satu instrumen paling penting dalam persembahan mak yong, menora dan wayang kulit - bunyi yang dihasilkan rebab mampu membuatkan kita rasa tenang dan damai.

Wujud banyak instrumen serupa di beberapa negara berbeza di seluruh dunia. Di Tanah Melayu kita ada rebab, di barat ada biola dan di China ada 'er hu.' Apa yang kita tahu, rebab yang ada di Tanah Melayu dipercayai datang daripada instrumen rebab yang dibawa pedagang Arab yang dinamakan sebagai 'rabab.'

'Rabab' pula dikatakan merupakan alatan muzik pertama yang menggunakan prinsip gesekan tali dengan menggunakan alat seperti busur, untuk menghasilkan melodi. Idea orang Arab menghasilkan instrumen ini kemudiannya diperkembangkan lagi oleh masyarakat Rom era Byzantine dan orang Greek, yang menghasilkan instrumen serupa bernama iyra.

Sejarah gong

gong alat istiadat masyarakat melayu

Di antara semua peralatan muzik yang ada dalam senarai ini, gong layak dikatakan peralatan paling tua serta paling meluas penggunaannya. Bukan saja tamadun orang Melayu menggunakan peralatan ini, malahan kawasan sekitar China dan Vietnam turut sama menggunakan gong dalam upacara mereka. Apa yang boleh dikatakan, orang Asia merupakan pencipta gong terawal.

Dipercayai mula digunakan sekitar tahun 2000BC, gong terawal didapati wujud di kawasan sekitar Burma, China dan Jawa. Bagaimanapun, catatan terawal berkenaan fungsi gong hanya direkodkan di China sekitar tahun 500.

Menjadi salah satu objek mewah yang hanya mampu dimiliki golongan bangsawan zaman dahulu, bahan utama yang digunakan bagi membuat gong adalah logam gangsa yang perlu ditempa dengan tangan. Bagi membezakan bunyi yang terhasil, logam lain seperti perak, emas, timah atau tembaga akan diadunkan ke dalam gangsa tadi bagi mendapatkan bunyi yang lebih dalam atau lebih lembut.




Hakcipta iluminasi.com (2017)