Penyokong pasukan bola sepak suka berbicara tentang kos gaji atau yuran perpindahan pemain, dalam mencongak kos pentadbiran sebuah kelab bola sepak.

Jarang penyokong nak tahu berapakah kos sesebuah kelab atau persatuan bagi menganjurkan satu perlawanan di stadium.

Segala lampu limpah, papan skor visual dan papan iklan elektronik yang perlu dinyalakan di sekitar padang,  sudah tentu memerlukan belanja yang tinggi ditanggung pengurusan. Ini belum mengambil kira banyak lagi kos lain.

Tahukah anda berapa anggaran bil elektrik yang perlu dibelanjakan dalam satu perlawanan bola sepak, yang berlangsung selama 90 minit perlawanannya? 

Stadium adalah beban elektrik yang tinggi

lampu limpah stadium bola sepak

Setiap stadium mempunyai spesifikasi dan penggunaan yang berbeza-beza, bergantung kepada fasiliti di dalamnya.

Ada stadium mewah seperti stadium sebuah kelab di selatan Semenanjung Malaysia, yang tampak gah dengan lampu berwarna-warni memenuhi keseluruhan.

Ada juga stadium yang nampak sangat daifnya, sehinggakan papan tanda skor perlawanan pun masih mengguna cara tradisional perlu ditukar paparan angkanya secara manual setiap kali gol dijaringkan.

Di Amerika Syarikat misalnya, kelengkapan stadium ragbi Amerika yang terlalu canggih memerlukan bekalan elektrik yang agak tinggi amaunnya, sehinggakan badan penyelia kerajaan Office of Energy Efficiency & Renewable Energy mengeluarkan garis panduan bagi mengawal penggunaan elektrik di stadium, yang semakin tidak terkawal.

Perubahan kepada sistem lebih jimat guna

papan iklan led tepi padang stadium

Di sana, penggunaan panel solar dan turbin angin sebagai penjana bekalan elektrik untuk kegunaan stadium sudah lama digalakkan sebagai ganti bekalan, Mana-mana stadium yang berjaya menepati garis panduan akan diberikan insentif tertentu kerajaan.

Menurut kajian di Amerika Syarikat, tahap penggunaan elektrik untuk sebuah stadium sukan popular seperti ragbi atau besbol selama satu musim secara puratanya menyamai tahap penggunaan lebih 3,000 buah rumah dalam tempoh sama dengan angka penggunaan lebih USD1 juta setahun adalah perkara biasa.

Bagi membantu penjimatan, pertukaran mentol lampu limpah stadium daripada jenis lampu metal halida atau halogen jenis lama, kepada jenis LED banyak menyumbang penjimatan perbelanjaan kelab - dengan setiap lampu hanya memerlukan kuasa di antara 300 ke 2000 watt.

Mentol jenis lama biasanya memerlukan spesifikasi minima 1500 watt untuk dianggap layak diguna dalam sebuah stadium.

Walaupun dengan penjimatan-penjimatan sebegini, kadar penggunaan elektrik di sebuah stadium masih tinggi kerana beban yang diperlukan tetap tak boleh kita elakkan. Lagipun, sukan sudah menjadi satu kaedah pengiklanan yang popular. 

Jadi kebanyakan pengusaha stadium tetap akan berusaha menempatkan papan iklan berbentuk elektronik yang lebih interaktif di sekeliling stadium, walaupun mereka sedar kos penggunaan elektrik mereka akan bertambah. 

Berapa kos elektrik satu perlawanan bola sepak?

bil elektrik tnb

Jika kita bercakap tentang sukan bola sepak pula, secara puratanya berdasarkan statistik yang diperolehi penganjuran Piala Dunia 2018 di Russia - sebuah stadium memerlukan kira-kira 25,000KWh (kilo watt per hour) untuk perlawanan selama 90 minit. Kita belum ambil kira masa tambahan lagi.

Untuk perbandingan kasar - rumah penulis hanya menggunakan sekitar 400 ke 450KWh untuk sebulan.

Angka tinggi penggunaan sebuah stadium belum mengambil kira faktor tambahan kos lain seperti pemanas kerusi jika perlawanan dianjurkan semasa cuaca sejuk atau sistem pendingin hawa atas padang dan stadium, seperti yang bakal digunakan di Qatar bagi penganjuran Piala Dunia 2022. 

Majoriti tenaga yang diperlukan dalam satu-satu perlawanan mewakili 38% adalah untuk menyalakan lampu limpah stadium, papan skor dan papan iklan.

23% adalah untuk sistem kawalan suhu stadium dalam cuaca di Russia.

21% untuk kegunaan penyediaan makanan, katering dan penyejukan bahan mentah, 11% adalah untuk memastikan penyiaran perlawanan melalui media berjalan lancar dan selebihnya atau 7% adalah untuk kegunaan lain.

Sukar kami bayangkan berapa kos yang diperlukan untuk satu perlawanan di Qatar, di mana keseluruhan stadium bakal disejukkan bagi menangani suhu ketika perlawanan yang dijangka melebihi 40 darjah celcius.

Ratusan ribu kos elektrik satu perlawanan?

cara kira bil elektrik tnb

Seperti yang sudah kami sebutkan di atas, dalam satu-satu perlawanan yang dianjurkan - kadar penggunaan elektriknya menyamai keseluruhan penggunaan sebuah pekan kecil untuk tempoh sama.

Sekiranya kita ambil 25,000KWh dan kita kira menggunakan sistem tarif kediaman kita, kos yang akan ditanggung pengurusan bola sepak untuk satu perlawanan 90 minit adalah RM14,462.90.

Ingat...ini kami kira guna tarif kediaman.

Bagaimanapun kebanyakan stadium di negara kita pada pandangan kasar penulis masih kurang penggunaan elektriknya, kerana kita masih lagi menggunakan papan iklan jenis lama serta tidak banyak memasang skrin gergasi di banyak sudut stadium.

Kos pengendalian perlawanan kita juga lebih rendah kerana jumlah kamera yang diguna dalam satu perlawanan agak terhad, jika dibandingkan dengan jumlah kamera yang dipasang di stadium-stadium bertaraf antarabangsa.

Kami tidak dapat mengira kos penggunaan elektrik stadium dalam kiraan komersial, kerana ada banyak kategori atau kelas yang perlu diperjelaskan sebelum kita dapat mengira anggarannya. Jika kami cuba, angka yang kami dapat untuk satu perlawanan boleh mencecah puluhan sehingga ratusan ribu ringgit kosnya.

Apa yang cuba kami sampaikan di sini - sukan bola sepak memang memerlukan belanja yang besar, bukan saja untuk mendapatkan khidmat pemain bahkan untuk memastikan lampu stadium terang-benderang. 

Sekiranya anda mendapati siaran langsung di sesetengah stadium tampak agak suram, itu adalah kerana lampu limpahnya tidak memadai mencerahkan aksi atas padang. Lebih cerah lampu, lebih cantik kualiti visual yang dapat dirakam. Lebih banyak lampu, lebih banyak kos perlu dikeluarkan.

Nak jelas aksi di stadium, bil elektriknya pasti tinggi. Kalau persatuan atau kelab tak berapa cukup bajet, beraksilah mereka dalam padang yang tampak sedikit menyeramkan.

iklan

Rujukan

How much energy does a World Cup stadium use in 2018?

Here's The Staggering Amount Of Energy Used During The World Cup




Hakcipta iluminasi.com (2017)