Secara global, Manchester lebih dikenali disebabkan oleh Manchester United, dengan Manchester City menjadi tempat kedua dalam fikiran peminat bola sepak di luar England. Dengan kata mudah, Manchester United dianggap sebagai "abang" kepada City.
Malah satu ketika dahulu Sir Alex Ferguson sendiri menganggap pesaing United adalah Liverpool, Arsenal dan Leeds, bukannya City.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini menunjukkan betapa jauh tertinggalnya Manchester City dalam saingan bola sepak elit England.
Namun apa yang kita lihat pada hari ini adalah tersangat berbeza, di mana Manchester City mendominasi bola sepak England. Malah bukan sahaja di England, Manchester City juga ternama di kancah bola sepak Eropah.
Ramai yang hanya mengaitkan kejayaan Manchester City ini dengan pelaburan besar dari Abu Dhabi, namun kejayaan ini tidak dicapai sekelip mata dan semudah ABC dengan hanya berbelanja besar, kan?
Jika wang adalah penentu kejayaan, perkara yang sama dilakukan oleh Malaga yang mendapat pelaburan besar Qatar pada 2010, namun gagal. Lapan tahun selepas pelaburan tersebut, Malaga tersingkir dari La Liga.
Namun, nasib yang sama tidak alami oleh Manchester City.
Malah, kebangkitan syarikat sukan City Football Group (CFG) di sebalik tabir menjadi pemacu utama revolusi selama sedekad di kelab itu yang mengubah landskap bola sepak Manchester City selama-lamanya.
Jadi, bagaimana CFG melakukannya? Iluminasi.com kongsikan kisah bagaimana Manchester City menjadi organisasi bola sepak global yang pertama.
Untuk tempoh yang agak lama, Manchester City adalah kelab yang tersadung di EPL dengan beberapa siri penyingkiran dan kenaikan liga.
Kelab ini kemudiannya dilihat menjadi bertambah baik secara beransur-ansur di mana mereka secara konsisten berakhir di kelompok tengah EPL.
Sehinggalah pada 1 September 2008, tarikh yang mengubah nasib dan perjalanan sejarah Manchester City selama-lamanya.
Kelab ini telah diambil alih oleh Abu Dhabi United Group yang telah mengubah kelab "biasa-biasa" ini menjadi sebuah dinasti bola sepak.
Pada hari Abu Dhabi United Group mengambil alih, Manchester City menandatangani pemain ternama Brazil iaitu Robinho dengan rekod bayaran tertinggi kelab ini iaitu lebih 30 juta pound.
Ini serta-merta menyerlahkan hasrat pemilik baharu kelab.
Mereka kemudiannya membelanjakan 270 juta Pounds lagi untuk membeli pemain seperti Vincent Company, Pablo Zabaleta, Emmanuel Adebayor, Mario Balotelli dan Carlos Tevez.
Walaupun begitu, Manchester City masih belum berjaya sehinggalah mereka membawa pengurus baharu, iaitu Roberto Mancini.
Di bawah kendalian Mancini, Manchester City menandatangani lebih ramai pemain berprofil tinggi, layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dan memenangi Piala FA, trofi utama dalam tempoh 35 tahun.
Manchester City tidak berhenti di situ sahaja dan terus melabur. Pada tahun 2012, Mancini membeli beberapa pemain termasuklah Sergio Aguero dengan bayaran 38 juta Pound.
Manchester City memenangi enam perlawanan terakhir mereka musim tersebut dan memperoleh gelaran juara EPL buat kali pertama mereka dalam 44 tahun.
Pada tahun-tahun berikutnya, Manchester City meneruskan kebangkitan mereka dengan memenangi lebih banyak Liga Perdana dan Piala FA.
Dan ini mungkin kedengaran seperti kejayaan Manchester City hanya disebabkan oleh pelaburan 2 bilion Pound tersebut.
Walaupun pelaburan dari Abu Dhabi sememangnya memainkan peranan yang besar dalam kejayaan ini, namun ia tidak semudah itu.
Kejayaan yang dikecapi Manchester City sepanjang sedekad yang lalu mungkin tidak akan berlaku jika bukan kerana kebangkitan sebuah syarikat, The City Football Group (CFG).
CFG membawa kelab itu ke tahap yang lebih tinggi bukan sahaja kerana mereka membelanjakan wang yang banyak tetapi kerana mereka mempelopori strategi yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam dunia bola sepak.
(Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan)
Terdapat tiga watak utama dalam kejayaan City, dua daripadanya yang mendominasi tajuk berita ialah Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, ahli keluarga diraja Abu Dhabi dan Khaldoon al-Mubarak, seorang eksekutif muda dan penasihat kepada keluarga diraja.
Dipendekkan cerita, kedua-duanya membawa masuk wang pelaburan, namun wang tidak akan memberikan kejayaan jika anda tidak tahu cara membelanjakannya.
(Khaldoon al-Mubarak)
Di sinilah datangnya watak ketiga, Ferran Soriano.
Sebagai bekas naib presiden dan pengarah kewangan Barcelona, Soriano mempunyai rancangan berani untuk membina organisasi bola sepak global yang pertama.
Di Manchester City, Soriano cuba untuk melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh kelab lain termasuklah di Barcelona, iaitu menubuhkan kelab francais di negara lain.
Beliau menekankan peranan dan potensi francais dalam bola sepak serta sumbangan yang boleh disumbangkan oleh barangan jualan (merchandise) kepada pendapatan kelab.
(Ferran Soriano)
Idea Soriano adalah untuk mewujudkan sebuah syarikat yang akan mempunyai gabungan jenama global seperti Manchester City dan banyak kelab tempatan membangunkan bakat melalui rangkaian kelab yang akan menyediakan pemain untuk Manchester City.
Lebih penting, beliau dapat menjangkakan penumpuan Hiburan dan Sukan dalam dunia global.
Soriano memerhatikan potensi hubungan antara pertumbuhan pangkalan peminat kelab besar di seluruh dunia dan transformasinya kepada syarikat hiburan global dan bukannya sekadar menjadi penganjur acara tempatan.
Untuk merealisasikan visi jangka panjang ini, sebuah syarikat yang merangkumi konglomerat kelab dari seluruh dunia iaitu City Football Group telah diwujudkan pada 2013.
(City Football Group CFG)
CFG sudah memiliki atau memiliki secara bersama 10 kelab di lima benua termasuk kontrak ratusan pemain profesional serta bakat yang dipilih dengan teliti.
Pada tahun 2014, mereka membelanjakan 150 juta pound untuk membina kemudahan latihan pasukan pertama dan pembangunan belia baharu yang dikenali sebagai Akademi Bola Sepak City.
CFG akan meninjau dunia untuk menapis pemain dan membentuk mereka di akademi tercanggih di beberapa benua. Tujuan mereka adalah untuk menjual pemain atau menghantar yang terbaik kepada kelab yang akan dimilikinya.
Sebagai contoh, melalui rangkaian kelab, pemain boleh berpindah dari Club Atletico Torque ke Girona FC ke Manchester City sebelum menamatkan kerjaya di India di Mumbai City, China di Sichuan Jiuniu, atau AS di New York City.
Juga, melalui rangkaian bersepadu ini, pemain akan lebih selesa dengan gaya kelab CFG lain, kelab tersebut akan mempunyai maklumat dalaman mengenai pemain manakala pendapatan perpindahan akan berakhir kembali dalam satu korporat yang sama.
Ini mempunyai persamaan dengan francais Red Bull yang terdiri daripada Salzburg New York, Leipzig dan Bragantino.
Pemilikan beberapa kelab bersama telah menjadi kuasa yang semakin meningkat mengubah masa depan bola sepak.
Pendek kata, CFG merupakan usaha perintis dengan membeli kelab dan membangunkan pemain di benua yang berbeza, berkongsi data scouting dan perubatan merentasi sempadan serta menarik penglibatan penaja dan menyebarkan nama City di seluruh dunia.
Jadi selain faedah di atas padang, rangkaian kelab ini memberikan CFG keupayaan untuk mengembangkan lagi kehadiran komersial dan penglibatan peminat. CFG juga telah meneruskan pengembangannya ke dalam teknologi digital baharu.
Sebagai contoh, pembangunan Platform Keahlian Warganegara CFG dan penglibatan kelab ini dalam siri TV Amazon semuanya menjadi kelab bola sepak pertama yang dipaparkan dalam siri hit itu.
Ini hanyalah satu contoh pengaruh CFG sebagai perintis evolusi kandungan.
Manchester City juga telah melancarkan perkhidmatan langganan penstriman sendiri, bekerjasama dengan Intel untuk mencuba teknologi tontonan Trueview dan yang terbaharu menjadi pasukan pertama yang mencipta saluran mereka sendiri di youtube kanak-kanak.
CFG juga telah melabur dalam Sapphire Sport, dana modal teroka. Dengan memberikan tumpuan kepada teknologi dan sukan digital, dana ini merancang untuk menghasilkan antara lima dan enam pelaburan permulaan (start-up) setiap tahun.
Dengan cara ini, CFG mendapat manfaat dengan meneroka E-Sukan, Kesihatan Digital dan Generasi Media Seterusnya, semuanya bersesuaian dengan visi Soriano untuk CFG sebagai hab hiburan dan sukan.
Walaupun kebangkitan CFG tersangat hebat, namun ia juga pernah melalui beberapa cabaran. Antaranya adalah Liga Australia memperkenalkan peraturan baharu selepas CFG mendapat cara untuk mengelak daripada larangan liga terhadap yuran perpindahan antara kelab.
Manchester City membeli pemain tempatan mengatasi tawaran kelab dari Australia dengan membayar yuran perpindahan sebelum meminjamkannya terus ke Melbourne.
Liga Australia bertindak balas dengan mengharamkan tindakan itu untuk tahun pertama selepas ia berlaku.
Selain itu, Manchester City digantung dua tahun daripada Liga Juara-Juara kerana melanggar peraturan fair play kewangan UEFA, sesuatu yang tidak pernah berlaku kerana ia telah dibatalkan oleh mahkamah timbang tara sukan.
Walau bagaimanapun, City tetap didenda 9 juta pound kerana gagal bekerjasama dengan penyiasatan oleh UEFA.
Dengan pertumbuhan CFG yang semakin hebat, para pemegang saham utama di Abu Dhabi menjadi perhatian. Dakwaan pencabulan hak asasi manusia pekerja binaan migran di negara ini serta dengan sikap rantau ini terhadap LGBT dan hak wanita juga memberi kesan kepada syarikat itu.
Mereka merancang untuk membina stadium New York City FC di taman di Queens tetapi pembangkang awam menghalang mereka daripada berbuat demikian.
Memang ada kelab yang diubah sepenuhnya oleh pemilik yang berkuasa dari segi kewangan sebelum ketibaan Sheikh Mansour, namun tidak seperti Manchester City.
Sedekad yang lalu memaparkan kisah kejayaan, pertumbuhan dan pembangunan luar padang yang luar biasa dan kini CFG bernilai USD 4.8 bilion.
Sheikh Mansour dan Abu Dhabi United Group telah melabur banyak di Manchester City tetapi kejayaan kelab itu di peringkat global tidak boleh diletakkan semata-mata pada pelaburan mereka.
CFG ialah paradigma perniagaan bola sepak abad ke-21 yang menggabungkan pelbagai sektor iaitu wang, hiburan dan teknologi.
Seperti yang dinyatakan oleh Soriano sendiri: Di CFG, bola sepak biasanya merupakan cara untuk mencapai matlamat bukan sekadar tujuan bola sepak sahaja.
Dengan sokongan Mansour dan Mubarak, Soriano kini mengubah susunan bola sepak yang sedia ada dengan membina syarikat multinasional yang pertama.
Rujukan: