Dengan pengamalan sistem pemerintahan diktator di Korea Utara, kerajaan sentiasa memantau dan mengehadkan setiap pergerakan rakyatnya. Selain itu, pihak pemerintah juga mengehadkan pendedahan setiap rakyatnya kepada pengaruh luar, antaranya mengharamkan filem daripada luar negara dan melarang pemakaian baju atau seluar fesyen barat, antaranya jeans.

Di kaca televisyen juga, hanya rancangan yang pro-pemerintah sahaja yang akan dipaparkan. Filem-filem propanda juga ditayangkan bagi memberi gambaran bahawa pengaruh luar sentiasa buruk dan pemerintah merupakan penyelamat bagi setiap rakyat.

Peminat filem barat

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kim Jong-il, iaitu bapa kepada pemerintah Korea Utara sekarang Kim Jong Un merupakan seorang peminat-peminat filem dari barat dan gemar menghasilkan filem-filem propaganda. Walaupun Korea Utara mempunyai peraturan keras mengharamkan kemasukan filem-filem Barat, beliau mempunyai agen khas yang ditugaskan untuk menyeludup masuk filem-filem dari Barat ini.

Malah, menurut laporan beliau dikatakan mempunyai 15000 koleksi filem-filem dari Barat dan antara filem yang digemarinya adalah filem James Bond dan Rambo.

Selain minat terhadap filem-filem Barat, Kim Jong-il juga dikatakan mempunyai minat untuk menghasilkan filemnya sendiri. Beliau turut bernasib baik apabila bapanya telah memberikan beliau kepercayaan dengan melantiknya sebagai seorang Pengarah dalam bahagian perfileman di Jabatan Penyiaran dan Propaganda Korea Utara.

Filem-filem yang dihasilkan pada peringkat awal banyak tertumpu kepada penentangan pemerintah terdahulu terhadap Jepun di Manchuria pada tahun 1930-an. Walaupun filem ini berjaya mencapai matlamat dan objektif sebenar ianya ditayangkan, beliau dapati filem ini kurang mendapat perhatian daripada golongan muda. Beliau dapati bahawa barisan pelakon dan krew filem tersebut terlalu kaku dan tidak sehebat pelakon dari Barat.

Pada ketika itu, Kim juga turut meminati seorang pengarah dan produser filem dari Korea Selatan, Shin Sang-ok. Shin merupakan seorang pengarah ternama dan dihormati di Korea Selatan yang sudah menghasilkan 60 buah filem. Malangnya, kerjayanya dalam bidang perfileman menghadapi zaman kegelapan apabila studio perfilemannya ditutup kerana mempunyai masalah dengan pihak kerajaan Korea Selatan.

Kim percaya bahawa Shin adalah individu yang dicari-cari dan mampu menyelamatkan industri perfileman di Korea Utara. Maka, beliau telah merancang satu komplot untuk menculik Shin ke Korea Utara.

Strategi penculikan pengarah filem terkenal Korea Selatan

shin sang ok

Untuk menculik Shin, Kim telah menjadikan bekas isteri Shin sebagai umpan. Bekas isteri Shin, Choi Eun-hee yang merupakan seorang pelakon ternama di Korea Selatan telah diberikan tawaran lakonan di Hong Kong. Sebaik sahaja sampai di Hong Kong, Choi telah diculik oleh pasukan agen rahsia Korea Utara.

Shin yang khuatir akan nasib yang menimpa bekas isterinya ituChoi, telah terbang ke Hong Kong untuk mencari bekas isterinya itu. Malangnya, beliau telah diculik oleh pasukan agen Korea Utara. Shin telah berusaha beberapa kali untuk melarikan diri daripada Korea Utara namun tidak berjaya. Akibat tindakannya itu, beliau telah ditempatkan di kem tahanan Korea Utara dan dilayan dengan sangat teruk.

Setelah 4 tahun, pada 1986 Kim percaya bahawa Shin sudah serik dipenjarakan dan sudah bersedia untuk bekerjasama bagi menghasilkan filem terbaru buatnya. Shin dan bekas isterinya, Choi dilepaskan dan dibawa ke meja rundingan untuk berbincang bagi penghasilan filem terbaru. Shin dan Choi masing-masing terkejut apabila melihat satu sama lain buat kali pertama dan tidak mengetahui bahawa mereka berdua mengalami nasib yang sama.

Dalam perbincangan tersebut, Kim telah menjelaskan rancangannya untuk Shin dan Choi. Beliau mahu mereka berdua menghasilkan filem mengenai propaganda komunis. Selain itu, Kim juga meminta kedua mereka membuat pengakuan bahawa kedatangan mereka ke Korea Utara adalah bagi melarikan diri daripada tekanan kerajaan Korea Selatan.

Shin dan Choi setuju untuk memberikan kerjasama dan atas nasihat Kim, mereka berdua akhirnya berkahwin kembali. Walaupun sangat membenci ideologi komunisma, Shin mengakui beliau menerima tawaran untuk menyelamatkan dirinya dan Choi. Kehidupan mereka berubah sekelip mata dan mereka berdua dilayan seperti golongan bangsawan.

Filem Pulgasari

pulgasari

Selama beberapa tahun, Shin berjaya menghasilkan 7 buah filem dan antara filem terbaiknya adalah filem terakhirnya yang berjudul Pulgasari. Filem ini adalah hasil cetak rompak filem Godzilla, iaitu sebuah filem popular dari Jepun suatu ketika dahulu.

Bagi menghasilkan kesan filem yang hebat seakan-akan sama dalam filem sebenar Godzilla, maka Kim menggunakan strategi yang sama untuk menculik pasukan pereka kesan khas yang bertugas menghasilkan filem Godzilla. Pasukan ini telah ditipu kononnya mereka akan bekerja di China, walhal mereka kemudiannya diseludup ke Korea Utara.

Melarikan diri dari Korea Utara

melarikan diri dari korea utara

Walaupun filem Pulgasari tidaklah sehebat filem-filem luar negara, keunikan yang terdapat padanya membolehkan filem ini mendapat perhatian ramai rakyat Korea Utara. Oleh itu, Kim telah bercadang untuk memasarkan filem ini ke pasaran antarabangsa bagi menyebar luaskan propagandanya yang dimuatkan dalam jalan cerita filem ini.

Kim berjaya mengenalpasti sebuah syarikat pemasaran berpangkalan di Austria untuk memasarkan filemnya itu ke pasaran antarabangsa. Tidak lama kemudian, Shin dan Choi telah diterbangkan ke Vienna untuk berjumpa dengan syarikat pemasaran tersebut. Hasil bantuan daripada rakan dalam industri perfileman, mereka berdua akhirnya berjaya melarikan diri daripada kawalan pihak tentera Korea Utara.

Mereka berdua telah melarikan diri ke pejabat Kedutaan Amerika Syarikat dimana mereka telah diberikan perlindungan. Tindakan mereka semestinya menyebabkan Kim bengang dan beliau telah menarik balik tayangan Pulgasari di pawagam sekitar Korea Utara. Akibat daripada tayangan filem ini yang terhad di Korea Utara, maka filem ini dikatakan sangat sukar didapati di luar negara sehinggalah pada tahun 1998 apabila ianya dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. Vanify Fair
  3. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)