Setelah perpisahan Korea Utara dan Korea Selantan puluhan tahun dahulu, kawasan sempadan kedua-dua negara ini kini merupakan antara kawasan yang paling dikawal ketat di dunia. Selain dikawal rapi pasukan tentera, ianya turut dipisahkan oleh binaan pagar besi dan kawasan lapang yang dipenuhi dengan periuk api.

Sebagai salah satu syarat perjanjian gencatan senjata yang telah ditandatangani pada tahun 1953, kawasan jalur sepanjang 4 kilometer yang dikenali sebagai zon penampan atau Korean Demilitarized Zone (DMZ) telah dibina. Menariknya, di kawasan DMZ ini terdapat sebuah padang golf bernama Camp Bonifas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di kawasan persempadan ini juga terdapatnya dua buah kawasan perkampungan yang berhadapan antara satu sama lain iaitu Kijong-dong dan Daeseong-dong. Daeseong-dong merupakan kawasan perkampungan yang terletak di kawasan wilayah Korea Selatan sementara Kijong-dong terletak di wilayah Korea Utara.

Daeseong-dong, aman tetapi tidak bebas

daeseong dong

Perkataan "Daeseong-dong" jika diterjemahkan kepada bahasa tempatan membawa maksud kawasan yang bebas. Kini, ianya menempatkan sekitar 226 orang penduduk dimana kebanyakannya adalah penduduk asal yang tinggal disitu sebelum tercetusnya perang antara kedua negara ataupun keturunan daripada penduduk asal disitu.

Walaupun nama kampung ini membawa maksud kebebasan, realitinya penduduk disini tidaklah begitu bebas dan hidup dalam keadaan terkawal. Malah, tiada orang luar yang dibenarkan masuk atau tinggal di kawasan ini.

Setiap penduduk juga mempunyai kad identiti khas dan mereka perlu melalui pelbagai pos kawalan keselamatan untuk keluar dan masuk daripada kawasan perkampungan mereka. Setiap penduduk juga mesti berada di rumah menjelang senja.

Setiap malam sekitar pukul 11 malam, jumlah penduduk akan dikira ini merupakan langkah keselamatan yang diambil bagi mengelakkan sebarang penceroboh yang masuk daripada Korea Utara. Terdapat juga beberapa cubaan menculik penduduk kampung disini dan penceroboh yang datang pula mendakwa mereka ingin melarikan diri kerana telah berpaling tadah kepada pihak Korea Utara.

Walaupun hidup dikelilingan kawalan keselamatan yang ketat, setiap penduduk di Daeseong-dong memperolehi pelbagai manfaat daripada pihak kerajaan. Setiap penduduk yang rata-rata terdiri daripada petani telah diberikan kawasan pertanian yang sangat luas.

Malah, mereka juga menikmati purata pendapatan bulanan antara yang tertinggi di Korea Selatan. Penduduk juga diberikan hak untuk mendapat pendidikan dan membuang undi semasa pilihan raya. Selain itu, mereka juga diberikan pengecualian bayaran cukai dan golongan remaja dikecualikan daripada menyertai program khidmat negara.

Sementara itu, kanak-kanak yang masih belajar di sekolah rendah juga mendapat perhatian yang lebih daripada kerajaan bagi memastikan mereka tidak terpesong dengan propaganda yang disebarkan oleh pihak Korea Utara. Kerajaan juga menyediakan peruntukan khas kepada sekolah untuk membeli peralatan yang mungkin tidak ditemui di sekolah lain di negara tersebut.

Kijong-dong, bandar hantu tanpa penduduk

kijong dong 688

Sementara itu, bersempadan dan berhadapan dengan Daeseong-dong, terdapat pula Kijong-dong, kawasan perkampungan yang terletak dalam kawasan wilayah Korea Utara. Dalam bahasa tempatan, ia membawa maksud kawasan yang aman.

Daripada jauh, kelihatan banyak bangunan tinggi dengan rekabentuk moden yang berdiri megah yang menampakkannya seolah-olah sebuah bandar yang hidup. Pada waktu malam juga, binaan bangunan-bangunan ini akan diterangi dengan cahaya-cahaya daripada lampu.

Namun, jangan tertipu. Realitinya, walaupun dilihat sebagai sebuah kawasan penempatan, Kijong-dong sebenarnya adalah kawasan kosong yang tidak berpenduduk. Lampu yang dipasang tersebut akan terbuka pada waktu yang ditetapkan.

Sekiranya terlihat kelibat manusia disini, ia hanya pekerja yang melakukan penyelenggaraan yang bekerja membaiki kerosakan disini. Mereka hadir kesini untuk mewujudkan ilusi dan gambaran bahawa terdapat manusia yang benar-benar tinggal di kawasan ini.

Walau bagaimanapun, pemerintah Korea Utara menafikan semua ini. Mereka mendakwa Kijong-dong merupakan sebuah kawasan perkampungan berasaskan pertanian yang didiami kira-kira 200 buah keluarga. Kawasan ini dikatakan turut mempunyai tadika, sekolah dan juga kemudahan hospital.

Kawasan perkampungan sebagai alat propaganda

bendera gergasi korea

Pada tahun 1980-an, kerajaan Korea Selatan telah mendirikan sebuah tiang bendera setinggi 98 meter bagi mengibarkan bendera negara itu yang dianggarkan seberat 130 kg. Pihak Korea Utara bertindak balas dengan membina sebuah tiang bendera setinggi 160 meter yang mampu mengibarkan bendera seberat 270 kg. Pada masa kini, ianya diiktiraf sebagai tiang bendera ke 4 tertinggi di dunia.

Pihak Korea Selatan menganggap bahawa kewujudan Kijong-dong hanyalah sebagai alat propaganda kerajaan Korea Utara yang kononnya ingin memaparkan seolah-olah penduduknya hidup aman dan bebas. Walau bagaimanapun, tanpa sedar perkampungan Daeseong-dong juga dijadikan sebagai alat propaganda kerajaan Korea Selatan terhadap negara jiran mereka.

Kedua-dua pihak dikatakan memasang pembesar suara pada bahagian atas bangunan dan dihalakan kepada jiran mereka. Kemudian, akan dipasang lalu kebangsaan dan ucapan-ucapan propaganda bagi memburuk-burukkan jiran masing-masing.

Bunyi ucapan atau lagu yang dimainkan oleh pihak Korea Utara selalunya berkisarkan mengenai ucapan anti pengaruh barat dan lagu-lagu patriotik negara mereka. Sementara itu, pihak Korea Selatan pula biasanya akan memainkan lagu-lagu K-Pop dengan bunyi yang sangat kuat.

perang pembesar suara 524

Bunyi daripada pembesar suara ini sangat kuat sehingga bunyinya dikatakan mampu didengari di wilayah Korea Utara sejauh 10km pada waktu pagi dan 24km pada waktu malam. K-Pop merupakan alat propaganda yang berkesan kerana ianya memberi gambaran bahawa Korea Selatan merupakan sebuah negara yang moden, kaya dan progresif.

Alat pembesar suara yang dipasang di kedua-dua kawasan perkampungan ini dikatakan sudah wujud sejak tahun 1960-an lagi. Pada 2004, kedua-dua negara telah bersetuju untuk menghentikan penggunaan pembesar suara ini.

Walau bagaimanapun, akibat ketegangan yang dicetuskan oleh Korea Utara berikutan ujian senjata nuklear oleh Korea Utara pada tahun 2016, alat pembesar suara ini kembali digunakan. Beberapa bulan sebelum perjumpaan bersejarah pemimpin dari kedua-dua buah negara ini pada April 2018, alat pembesar suara ini kembali dihentikan penggunaannya sebagai tanda penghormatan.

Namun, sampai bilakah tindakan ini dapat bertahan?

Kredit:

  1. Mirror
  2. Wikipedia
  3. The New York Times
  4. BBC News



Hakcipta iluminasi.com (2017)