Jika setiap kali kita berak atau buang air besar mengambil masa sekitar 12 minit, maka manusia menghabiskan 73 jam dalam setahun untuk aktiviti ini!

Dan sudah tentunya selepas aktiviti "melabur" ini, kita berasa tersangat lega seolah-olah beban dalam hidup kita berkurangan, kan?

Persoalannya, mengapa kita berasa lega selepas berak? Memang kita perlu berak untuk meneruskan hidup seharian namun tak dapat nafikan ia merupakan sesuatu yang melegakan!

Proses buang air besar adalah untuk menyingkirkan sisa badan dan makanan yang tidak dicerna, serta memberi ruang untuk lebih banyak makanan dalam sistem penghadaman anda.

Walau bagaimanapun, keseronokan bukan sahaja datang dari pembersihan usus ini, tetapi juga disebabkan oleh rangsangan saraf tertentu dalam badan.

Saraf Pudendal

saraf pudendal

Saraf pudendal ialah saraf campuran yang memiliki kedua-dua saraf deria dan motor. Saraf ini bertanggungjawab terutamanya untuk pemuliharaan deria dan motor perineum serta alat kelamin luar bagi kedua-dua jantina.

Perineum adalah kawasan antara dubur dan alat kelamin. Saraf ini melalui pinggul anda dan kawasan gluteal (punggung) di bahagian atas tulang paha, menghubungkan ke saraf yang datang daripada saraf tunjang.

Manusia mempunyai saraf pudendal di kedua-dua belah kiri dan kanan badan.

Saraf pudendal ini bertanggungjawab untuk kebanyakan pergerakan dan sensasi yang berlaku di kawasan pelvis kita termasuklah di bahagian kemaluan dan dubur luaran serta otot yang membolehkan tahi keluar.

Aktiviti berak menghasilkan ransangan saraf ini dan oleh kerana saraf ini mengalir ke dubur dan alat kelamin serta bertanggungjawab untuk input deria, ia akan memberikan keseronokkan apabila dirangsang.

Saraf Vagus

saraf vagus

Kolon dalam usus besar disambungkan ke batang otak oleh saraf panjang yang dipanggil saraf vagus.

Sebagai saraf utama sistem saraf, saraf vagus mengawal selia pelbagai proses badan penting termasuklah mood, pencernaan, tindak balas imunologi dan degupan jantung.

Saraf vagus menghantar isyarat dari sistem pencernaan dan organ lain ke otak dan bahagian belakang.

Ia adalah saraf kranial kesepuluh (saraf yang bersambung terus dari otak) dan bergerak dari tempat asalnya iaitu batang otak ke bawah leher serta ke dalam perut.

Jadi apabila anda berak, otot di bahagian punggung dan kawasan pelvis mengendur.

Hal ini merangsang saraf vagus yang boleh membuat kadar denyutan jantung dan tekanan darah anda turun, lantas membuatkan kita berasa tenang dan lega untuk masa yang singkat.

Walau bagaimanapun, rangsangan saraf vagus yang keterlaluan adalah tidak bagus malah boleh membuatkan anda pengsan ketika berak dan bukannya keseronokkan.

Rujukan:

1. NCBI

2. Health UCSD

3. Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)