Kredit: Getty / metro.co.uk
Sebelum ini kami telah merungkai misteri berkaitan kapal terbang akan mengapa tingkapnya berbentuk bujur. Walaubagaimanapun, terdapat satu lagi perkara yang masih menimbulkan tanda tanya iaitu apa yang berlaku apabila kita menggunakan tandas pesawat dan mengepam di udara pada ketinggian 32,000 kaki? Di manakah semua sisa kumbahan manusia itu pergi dan dilupuskan?
BESARKAN TEKS A- A+
Tandas pesawat sudah wujud sejak awal perjalanan udara diperkenalkan lagi dimana juruterbang perang dunia kedua membuang air kecil dalam botol serta membuang air besar dalam kotak dan melemparkannya keluar melalui tingkap. Sehingga kini, sesetengah masyarakat masih percaya bahawa kapal terbang membuang najis berwarna biru yang beku (blue ice) melalui udara.
Kredit: newscrunch.in
Pasti anda tertanya-tanya, adakah kapal terbang pernah membuang sisa kumbahan manusia semasa terbang di udara? Jawapannya ialah tidak boleh dan tidak dibenarkan. Jadi, apa yang berlaku kepada najis di dalam tandas pesawat?
Menurut konteks penerbangan, blue ice adalah sisa kumbahan yang membeku dan bocor semasa sesuatu pesawat itu sedang terbang. Mengapa ia berwarna biru? Ini kerana warna cecair penyahinfeksi tersebut sendiri ialah biru yang kemudiannya membeku bersama sisa kumbahan dan kemudiannya membentuk pepejal yang juga berwarna biru.
Terdapat banyak kes dimana blue ice yang jatuh mampu memberi kerosakan teruk kepada objek yang dihentamnya. Malah, ia dikatakan mampu merosakkan bumbung kereta dan rumah.
Kredit: foxnews.com / thacmaster.proboards.com
Seiring dengan perkembangan teknologi, terdapat dua sistem yang digunakan dalam tandas penerbangan moden. Pertama ialah 'sistem sisa buangan tertutup' yang berfungsi seperti tandas rumah biasa dan membuang air sisa buangan ke dalam tangki kumbahan semasa penerbangan. Sementara itu, sistem kedua yang lebih moden dipanggil 'sistem sisa buangan vakum' yang menyerap air sisa buangan ke dalam tangki.
Menurut laporan laman web gizmodo.com, tandas vakum bergantung kepada sedutan yang kuat dan dinding yang licin untuk menarik bahan buangan menggunakan hanya kiraan satu pecahan daripada satu galon air. Menekan butang 'flush' membuka injap di bahagian bawah mangkuk tandas pesawat dan mendedahkan kandungannya ke dalam vakum pneumatik. Selepas itu, vakum tersebut menyedut beban melalui saluran pembetung kapal terbang ke dalam tangki yang mengandungi 200 galon air. Kemudian, sisa itu tersimpan di dalam tangki tersebut sepanjang tempoh penerbangan sebelum disedut keluar oleh kru di atas darat.
Selain itu, terdapat selak di bahagian luar pada tangki sisa kumbahan itu bagi memastikan juruterbang tidak membuang najis yang terkumpul secara tidak sengaja semasa di udara. Oleh itu, dakwaan bahawa isi tandas dibuang sementara pesawat masih berada di udara pada zaman kini adalah tidak benar sama sekali.