Oleh pada 18 Mar 2020 kategori

covid 19 tisu tandas air

Dalam kekalutan menghadapi penularan wabak Covid-19 yang melanda, ramai netizen berkongsikan visual memperlihatkan rakyat kita berpusu-pusu membeli tisu atau lebih khusus, tisu tandas.

Pembeliannya pula bukan dalam skala kecil malahan layak dikatakan tisu tandas memenuhi majoriti ruangan troli, seperti dalam perkongsian yang dapat penulis lihat. Kami tidak tahu sama ada tisu tandas itu benar-benar akan digunakan sebagai tisu tandas atau untuk tujuan lain.

Tetapi senario itu membuatkan penulis tertarik untuk menelaah tentang fakta sebenar berdasarkan kajian saintifik - bersihkah punggung yang dibersihkan dengan tisu tandas? Yang kedua, apa bezanya tahap kebersihan punggung yang dilap menggunakan tisu berbanding dengan individu yang menggunakan pancuran air?

Tisu atau air - mana yang lebih bersih?

orang ramai borong tisu tandas

Proses nyahtinja atau dalam bahasa mudahnya, berak - merupakan sistem semulajadi badan di mana badan kita akan membuang sisa-sisa makanan yang ada melalui lubang dubur. Di kalangan masyarakat seluruh dunia, kita tahu hanya ada dua cara normal pembersihan selepas berak dilakukan; sama ada dengan basuhan air atau dilap dengan tisu. Statistiknya - pengguna tisu lebih ramai berbanding pengguna air!

Oleh sebab itulah seorang penulis bernama Rose George dalam bukunya “The Big Necessity: The Unmentionable World of Human Waste and Why It Matters" mempersoalkan satu soalan penting - kenapa ramai orang merasakan diri mereka bersih, sedangkan lubang dubur mereka sebenarnya kotor?

Penyelidik sebulat suara bersetuju penggunaan pancuran air sebenarnya jauh lebih baik berbanding dengan penggunaan tisu. Ini kerana air mampu menanggalkan keseluruhan kotoran najis yang ada dan yang lebih penting, tidak meninggalkan bau yang kebiasaannya akan lekat pada bulu punggung yang ada.

Tisu pula akan meninggalkan kesan najis yang menyebabkan bau kurang enak di bahagian perineum punggung, disebabkan oleh sisa yang tertinggal. Selain itu, teknik mengelap yang betul perlu dilakukan bagi mengelakkan kecederaan kecil berlaku pada bahagian dubur.

Apa yang lebih penting, dengan penggunaan air - proses nyahtinja menjadi lebih lancar kerana bahagian punggung boleh dilembapkan bila najis agak sukar nak keluar. Kajian yang dilakukan di Korea Selatan pada tahun 2010 mendapati dengan memancutkan air pada lubang dubur, air akan bertindak sebagai pelincir bagi memudahkan najis keluar.

Individu yang menggunakan tisu tidak boleh berbuat demikian dan dia hanya boleh meneran, sampai muka merah-merah.

Kelemahan penggunaan air

tisu tandas terpaksa dicatu

Baik! Jadi kita sudah menetapkan fakta penggunaan air lebih baik dan lebih melancarkan berak berbanding tisu. Apa pula kelemahan penggunaan air? Ada. Kelemahan utamanya adalah rasa kurang selesa akibat rasa basah yang wujud, disebabkan oleh pancuran air tadi.

Oleh sebab itu, penyelidik kerap kali menyatakan - kaedah terbaik cebok adalah basuh dengan air kemudian lap dengan tisu lembut agar permukaan kulit tidak lagi lembap. Ini adalah kaedah terbaik yang memastikan kita bersih dan kering. Walaupun demikian, terdapat satu kelemahan yang jarang berlaku tetapi boleh berlaku, seandainya anda menggunakan pancuran air.

Satu penyakit yang didapati berlaku melibatkan pengguna pancuran air adalah hemorroid. Dalam kajian yang dijalankan di Jepun dari tahun 2013 hingga ke 2014 melibatkan 7637 orang warga mereka, didapati wujud peluang yang kecil serta tidak signifikan berlakunya hemorroid dan kecederaan pada tisu punggung sekiranya seseorang menggunakan pancuran air yang terlalu kuat.

Dapatan itu harus diingatkan dianggap tidak signifikan kadarnya tetapi kemungkinan untuk kecederaan berlaku tetap ada walaupun sangat jarang terjadi. Pada pandangan kami, janganlah dikuatkan pancur air itu, mana tahu anda mempunyai punggung yang sensitif pula.

Air menjimatkan poket dan melindungi alam

bidet toilet pancur air lebih bersih

Selain daripada bukti saintifik kenapa air perlu menjadi kaedah utama pembersihan dubur, penggunaan air juga mampu menjimatkan belanja rumah anda. Kami lihat harga tisu tandas boleh tahan juga tinggi harganya, apatah lagi apabila bercakap tentang tisu tandas berjenama.

Sudahlah menjimatkan wang ringgit, apa yang lebih penting adalah penggunaan air tidak menyumbang kepada penghasilan sisa-sisa yang akan menyerap masuk ke dalam saluran kumbahan kita - disebabkan tiada bahan asing yang perlu diuraikan selain daripada najis yang selamat dikeluarkan.

Dalam artikel bertarikh 23 Julai 2019, Dr. Evan Goldstein - seorang pakar dalam rujukan berkenaan tahap kesihatan yang menjalankan khidmat nasihat untuk golongan gay di Los Angeles; menasihatkan kepada orang ramai agar berhenti terus daripada menggunakan tisu, sebaliknya mula mempelajari kaedah membersihkan punggung dengan air.

Beliau secara terbuka mahu orang ramai memboikot terus tisu tandas dan tisu basah yang dipasarkan untuk tujuan pembersihan punggung kerana bagi beliau, sekiranya masyarakat dunia terus menggunakan tisu - yang kaya hanyalah pengeluar produk-produk ini.

Punggung anda tetap kotor walau macam mana pun anda cuba membersihkannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)