tetikus pertama di dunia dicipta dari kayu

Zaman sekarang, kita mempunyai banyak kaedah untuk berinteraksi dengan peranti seperti komputer, televisyen, pen digital atau telefon pintar. Bagaimanapun, kita harus berterima kasih kepada peranti yang masih setia bertugas sehingga kini - tetikus (Mouse).

Tetikus atau 'mouse' menjadi peranti yang sangat lama bertahan berikutan penggunaanya yang memudahkan penggunaan komputer, selain memberikan ketepatan yang jitu bila kita memerlukannya. Walaupun penggunaannya semakin berkurangan disebabkan populariti telefon pintar, kami yakin tetikus akan kekal relevan dan teknologinya semakin dikembangkan. Masih banyak perisian memerlukan kawalan yang hanya ditawarkan oleh tetikus, seperti Adobe Photoshop dan juga berjuta permainan video komputer.

Tahukah anda lima jenis tetikus yang benar-benar mengubah cara kita berinteraksi dengan komputer? Berikut adalah lima yang benar-benar membawa evolusi besar pada teknologi tetikus.

Tetikus pertama dunia - 'X-Y Position Indicator for a display system'

mouse pertama dunia

Tetikus pertama dunia dicipta pada era 1960-an sebelum reka bentuknya selamat dipatenkan pada 17 November 1970. Dicipta oleh seorang jurutera bernama Douglas Engelbart, yang ketika itu bertugas di Universiti Stanford.

Tetikus pada mulanya digelarkan 'X-Y Position Indicator for a display system' berikutan fungsinya yang mampu membaca gerakan pada koordinat X dan Y dan memaparkan gerakan itu pada skrin. Diperbuat daripada kayu, berbentuk kotak dan mempunyai hanya satu butang, alat tersebut mula dipasangkan bersama dengan sistem komputer keluaran syarikat Xerox pada tahun 1973.

Walau bagaimanapun, sistem komputer tersebut tidak mendapat sambutan dan penggunaan tetikus gagal dipopularkan. Selain legasi ciptaan tetikus, Engelbart juga dikreditkan sebagai orang yang bertanggungjawab menamakan tetikus 'mouse.'

Bagi memudahkan orang ramai memanggil peranti tersebut berbanding nama asalnya, Engelbart menggelarkannya 'mouse' kerana bentuk ciptaannya itu sama seperti seekor tikus, berikutan wayarnya yang muncul di belakang peranti - menyerupai ekor tikus. (rujukan)

Ball Mouse memperkenalkan bebola sebagai pembaca pergerakan

mouse ball guna bebola

Menjadi salah seorang individu yang membina tetikus pertama dunia atas idea Douglas Engelbart, seorang jurutera bernama Bill English mengenalpasti satu kelemahan dalam idea Engelbart.

Pengesan pergerakan yang dipasang dalam setiap tetikus menggunakan roda sehingga memerlukan peranti yang agak besar untuk menempatkan roda di dalamnya. Bagi menyelesaikan masalah ini, Bill memperkenalkan teknologi pengesan pergerakan menggunakan bebola yang lebih tepat berbanding roda.

Ciptaan English nyata sangat popular kerana berjaya mengecilkan saiz tetikus, sehinggakan menjadi peranti standard kebanyakan pejabat yang menggunakan komputer. Bagaimanapun, berikutan roda yang digunakan perlu bergesel dengan permukaan kasar untuk membaca pergerakan, habuk dan daki mula berkumpul di bahagian dalaman tetikus.

Walau demikian, Ball Mouse berjaya merevolusikan penggunaan tetikus di seluruh dunia.

Pengenalan Microsoft Mouse dan Apple Lisa Mouse

microsoft mouse butang hijau

Pada tahun 1983, industri komputer menyaksikan pengenalan orang ramai pada tetikus moden pertama yang berjaya dalam pasaran. Syarikat Apple mengeluarkan sistem komputer Lisa disertakan dengan tetikus yang digelarkan Lisa Mouse. Dibina menggunakan rekaan yang dicipta Engelbart, jurutera Apple memperkenalkan beberapa perubahan besar sebagai penambahbaikan. Bola besi yang disalut getah digunakan untuk membaca gerakan, memberikan ketepatan lebih baik.

Jurutera Apple membangunkan prototaip untuk Lisa Mouse, mengambil kira jumlah butang yang perlu, kekuatan butang, kekuatan bunyi yang terhasil bila butang ditekan sehinggalah bentuk yang terbaik untuk pengguna. Apple Lisa Mouse menjadi asas pengenalan tetikus satu butang untuk syarikat Apple yang masih kekal sehingga kini.

Microsoft Mouse merupakan peranti tetikus pertama keluaran Microsoft. Dijual sekali dengan perisian Microsoft Word, Notepad dan tutorial penggunaannya, Microsoft Mouse menjadi tetikus pertama memperkenalkan rekaan ergonomik pada badannya.

Berbeza dengan Apple yang memilih untuk menggunakan satu butang, Microsoft memperkenalkan tetikus dua butang yang diwarnakan dengan warna hijau. Oleh sebab warna yang agak unik itu, Microsoft Mouse ini turut sama dikenali dengan nama 'tetikus mata hijau' oleh pengikut industri zaman tersebut.

Ciptaan tetikus optikal pertama dunia

bahagian bawah tetikus optikal

Mungkin serik dengan daki dan habuk yang berkumpul dalam tetikus, Steve Kirsch seorang usahawan yang banyak mendanai syarikat teknologi menubuhkan Mouse Systems Corporation dengan kerjasama Institut Teknologi Massachussette (MIT). Kerjasama keduanya berjaya mencipta tetikus pertama dunia yang menggunakan teknologi optikal, mengesan kedudukan dengan menggunakan cahaya infrared.

Dalam masa yang sama, syarikat Xerox menerusi pencipta mereka Richard Lyon berjaya membina sebuah sensor pengesan cahaya yang mampu mengesan pergerakan. Sensor itu berjaya dipasang pada tetikus, seterusnya menggantikan bebola yang digunakan sebelum itu. Xerox menjadi syarikat pertama memasarkan tetikus optikal pada tahun 1988.

Malangnya, berikutan harganya yang sangat tinggi serta di luar kemampuan orang kebanyakan, banyak pihak tidak menukarkan tetikus mereka kepada tetikus optikal, memilih untuk kekal dengan tetikus bebola. Hanya pada tahun 1998 harga tetikus optikal menjadi lebih murah dan mampu milik, barulah tetikus optikal menjadi pilihan ramai.

Roda skrol pertama pada tetikus - Genius Easyscroll

genius easyscroll

Pada tahun 1993, seorang jurutera Microsoft bernama Eric Michelmen sedang meneliti bagaimana pengguna Microsoft Excel melakukan tugasan. Michelmen mendapat setiap pengguna berdepan kesukaran untuk menavigasi paparan, dengan banyak input diperlukan hanya untuk mengubah kedudukan masukan data.

Michelmen berpendapat sebuah lagi peranti yang dikawal dengan tangan pengguna yang bebas, bakal membolehkan pengguna mengawal gerakan paparan dan tayangan data dengan lebih mudah. Hasil perbincangan dengan jurutera lain, idea 'takal pengawal zoom' itu diperkembangkan, kerana membesar atau mengecilkan skrin agak terhad penggunaannya hanya untuk satu peranti. Jadi idea untuk membolehkan proses 'skrol' dan 'panning' diperkenalkan, mendapat maklum balas yang baik.

tetikus komputer sejarah 714

Sayangnya - idea yang sama juga rupa-rupanya sedang direka bentuk oleh sebuah syarikat Taiwan bernama KYE Systems. KYE Systems menjadi syarikat pertama di dunia berjaya mengeluarkan sebuah tetikus yang mempunyai roda untuk memudahkan pergerakan dan navigasi pada skrin yang dinamakan Genius Easy Scroll, dilancarkan pada tahun 1995.

Microsoft yang sudah membangunkan teknologi skrol sejak 1993, terpaksa menunggu pada tahun 1996 untuk memperkenalkan Microsoft Intellimouse yang membawa penambahbaikan pada rekaan Genius Easyscroll. Walaupun bukan yang pertama, sejarah membuktikan Microsoft Intellimouse berjaya mempopularkan penggunaan roda skrol pada tetikus, menyelesaikan satu masalah besar pada setiap pengguna tetikus komputer.

Teknologi laser pertama dunia milik Logitech

tetikus pertama guna teknologi laser

Syarikat gergasi Logitech turut tidak ketinggalan memainkan peranan mereka dalam memperincikan lagi teknologi disebalik tetikus. Logitech menjadi syarikat pertama memperkenalkan tetikus bebola pertama dunia pada tahun 1989 dan tetikus tanpa wayar MouseMan Cordless, pada tahun 1992 yang menggunakan teknologi frekuensi radio.

Bagaimanapun, sumbangan Logitech yang benar-benar diakui mengubah teknologi tetikus adalah pengenalan Logitech MX1000 pada tahun 2004. MX1000 adalah tetikus pertama dunia menggunakan sensor berasaskan laser berbanding sensor optikal LED yang digunakan tetikus lain.

Dengan pengenalan sensor berasaskan pengesan laser, ketepatan pergerakan tetikus berjaya ditingkatkan. Pengenalan laser membantu mengatasi masalah sensor optikal LED, kerana tetikus berasaskan laser boleh digunakan pada permukaan seperti kaca lutsinar.

Selain itu, teknologi laser membolehkan cahaya merah yang biasanya terpancar dari bawah permukaan tetikus hilang, kerana sinaran laser yang ditembak tetikus tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Namun harga tetikus laser jauh lebih mahal berbanding tetikus optikal biasa, jadi sehingga kini tetikus optikal bersensor LED masih menjadi standard tetikus di seluruh dunia.


tags : , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)