Bidang sains dan kejuruteraan komputer merupakan antara bidang yang dilihat penting bagi masyarakat dunia, menuju masa depan.

Keperluan hidup digital berorientasikan aplikasi komputer baik secara fizikal dan digital, yang dipacu kepintaran buatan serta kerangka analisis data, memang mengutamakan kemampuan seseorang untuk mengaturcara program menjadi satu kemahiran yang ditagih.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Secara universal, kursus pendidikan menawarkan kursus pengaturcaraan berasaskan bahasa Inggeris sebagai 'lingo' utamanya.

Tahukah anda, selain Inggeris - bahasa pengaturcaraan juga boleh wujud dalam bahasa berbeza, agar mudah difahami etnik tempatannya?

1. BAIK (bahasa Indonesia)

baik bahasa pengaturcaraan indonesia

Indonesia juga mempunyai bahasa pengaturcaraan sendiri yang dinamakan sebagai BAIK; singkatan kepada Bahasa Anak Indonesia Untuk Komputer, dibangunkan bagi pembangunan laman web pelbagai peringkat.

Direka agar menyokong pembangunan bertemakan pengaturcaraan berorientasikan objek (OOP), BAIK mempunyai kemampuan untuk melakukan kiraan-kiraan aritmetik ringkas dan kompleks, mengeluarkan paparan dan membentuk pengkalan data.

Dibentuk mirip dengan bahasa pengaturcaraan C, BAIK menggantikan sintaks bahasa tempatan, jadi seorang pengguna BAIK perlu menulis program dengan sintaks yang menggunakan istilah seperti BUKAN, DAN, ATAU, SELAGI, TULIS dan banyak lagi yang lebih mudah difahami penutur tempatan.

Kita pun senang nak faham bahasa ini.

2. Pelbagai (bahasa Cina)

bahasa pengaturcaraan programming bahaaa

Ekoran daripada jumlah penutur kedua paling ramai dalam dunia, usaha untuk membangunkan bahasa pengaturcaraan komputer menggunakan bahasa Cina juga ada pelbagai.

Antaranya adalah usaha menterjemahkan bahasa pengaturcaraan berasaskan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Cina, dengan projek seperti Chinese Basic, Chinese COBOL, Bingzhengzheng atau C++ bahasa Cina dan Little Turtle atau bahasa LOGO versi Cina.

Ada juga projek lebih besar seperti BCY atau Bianyi Chengxu Yuyan, sebuah bahasa pengkomputeran yang telah dibangunkan di China sejak tahun 1965, yang digunakan secara meluas.

Antara projek terbaru yang mendapat liputan di China adalah bahasa pengaturcaraan Wenyan, sebuah bahasa pengaturcaraan berasaskan sistem tulisan Cina tradisional yang diperkenalkan pada tahun 2020.

'Wenyan' dibangunkan oleh individu bernama Huang Ling Dong, seorang pelajar jurusan sains komputer dan seni di Carnegie Mellon Universiti. Wenyan direka sebagai bahasa serba guna. 

Selain itu, Institut Komputer dan Teknologi Akademi Sains China melancarkan bahasa pengaturcaraan baru yang dinamakan Mulan, khusus untuk pembangunan sistem kepintaran buatan dan IoT atau internet of things.

Dibangunkan untuk kegunaan awam, Mulan dikatakan mudah dipelajari serta mampu menyokong pelbagai jenis sistem operasi baik dalam bentuk mobil ataupun komputer persendirian.

3. QAIB (bahasa Arab)

bahasa arab qaib bahasa pengaturcaraan

Ketika menyertai program dalam bidang pengkomputeran, seorang pemuda dari Beirut, Lubnan bernama Ramsey Nasser menyedari majoriti bahasa komputer yang digunakan terlalu berorientasikan bahasa Inggeris.

Ini mengakibatkan individu yang khusus penutur Arab berhadapan masalah dalam memahami kemahiran mengaturcara, sekiranya bahasa Inggeris asing bagi mereka.

Dengan mengambil asas daripada bahasa pengaturcaraan klasik seperti Lisp dan Scheme, Ramsey membangunkan Qaib, sebuah bahasa pengaturcaraan berasaskan bahasa Arab yang diperkenalkan pada tahun 2012.

Sama seperti kaedah menulis dalam bahasa Arab, semua kod ditulis kanan ke kiri dan perlu ditaip menggunakan huruf-huruf Arab, berasaskan kepada sistem bahasa Arab Lubnan.

Ramsey bertuah dapat bekerjasama dengan sebuah badan NGO dari New York bernama Eyebeam yang membantu membangunkan Qaib bersama.

Qaib sesuai dijadikan langkah permulaan mana-mana individu berbahasa Arab untuk cuba menceburi kemahiran pengaturcaraan, jadi sistem bahasa Qaib dan antaramukanya juga tidak kompleks.

Yang lebih penting, Qaib juga tidak memerlukan seseorang tahu bahasa Inggeris untuk mula menggunakannya.

4. Paarashar (bahasa Sanskrit)

bahasa pengaturcaraan bukan bahasa inggeris

Sebagai bahasa tertua dunia, usaha untuk membangunkan bahasa pengaturcaraan berasaskan Sanskrit masih berjalan namun skop pembangunannya agak terhad.

Kajian untuk cuba menterjemahkan Sanskrit sebagai bahasa pengaturcaraan, mendapati wujud keserasian yang baik untuk digiatkan usahanya namun masih banyak perkara perlu diperhalusi sebelum program komputer dapat dibangunkan sepenuhnya dalam Sanskrit.

Antara usaha paling jitu setakat ini, adalah pembangunan sistem bahasa pengaturcaraan Vedic yang baru saja dimulakan tahun ini serta kerangka yang dinamakan sebagai Shardula.ai, yang dibina untuk mempopularkan sejenis bahasa pengaturcaraan Sanskrit bernama Parashaar.

Parashaar dibangun berdasarkan Python, yang merupakan antara bahasa pengaturcaraan paling popular di dunia, mempunyai kemampuan penghasilan artifak untuk dijadikan medium penyampaian data secara visual atas pelbagai jenis kegunaan.

Dibangunkan seorang pakar ICT bernama Sainath Shanbhag dari India, projek yang dimulakan pada tahun 2018 ini masih terhad daripada skopnya.

Setakat ini Parashaar direkabentuk tanpa memerlukan seseorang ada kefahaman tentang pengaturcaraan komputer.

5. MALAYBASIC (bahasa Melayu)

malaybasic bahasa pengaturcaraan

BASIC atau Beginner's All-purpose Symbolic Instruction Code adalah bahasa pengaturcaraan yang dibangunkan pada tahun 1964, pernah menjadi antara bahasa popular bagi pengaturcaraan.

Populariti ini dikukuhkan lagi selepas syarikat ATARI mempopularkan penggunaannya penghujung dekad 1970-an, membolehkan pengguna membangunkan sendiri program permainan komputer menggunakan peranti komputer dan konsol keluaran mereka.

Salah satu pecahan BASIC yang wujud serta mesra rakyat tempatan adalah MALAYBASIC, sebuah kerangka bahasa pengaturcaraan yang direka khusus untuk penghasilan program, terutamanya program permainan komputer 2D.

MalayBASIC dibangunkan dan disokong secara kendiri oleh seorang pengaturcara tempatan bernama Zolkefli Mohamad.

Sekiranya anda ingin cuba-cuba belajar pengaturcaraan tetapi kekangan anda adalah bahasa Inggeris - kami syorkan anda mempelajari MALAYBASIC sebagai batu loncatan anda.

Anda boleh memuat turun semua yang diperlukan serta tutorial bagi memulakan perjalanan anda dalam bahasa pengaturcaraan tempatan ini, di pautan ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)