Oleh pada 27 Mar 2017 kategori

Sekiranya anda pengguna sistem Windows, anda boleh lihat paparan berikut apabila anda pergi ke Start Menu > Computer (atau My Computer bagi Windows versi lama).

disk partition my computer

Jika anda masih belum mengubah apa-apa tetapan, anda boleh perhatikan bahawa sekatan cakera (disk partition) sentiasa bermula dengan huruf C diikuti dengan huruf-huruf lain. Bagi mereka yang tidak membuat sebarang partition pula, mereka akan mempunyai cakera keras tunggal iaitu 'Local Disk C:'

Pernah tak terlintas di fikiran anda.. Kenapa Windows menggunakan huruf C dan bukan huruf lain? Ataupun kenapa tidak dimulakan dengan huruf A? Kami rungkaikan misteri ini untuk anda.

Sejarah awal PC

Sebelum tahun 80-an, Personal Computer (PC) atau komputer peribadi tidak mempunyai sebarang pemacu cakera keras (hard disk drive) seperti yang dipasang pada komputer zaman kini. Walaupun cakera keras telah wujud sejak 1950-an dalam bentuk paling asas, namun ia tidak dijadikan salah satu komponen sistem komputer kerana kos yang tinggi.

cpu komputer dipasang dengan reader untuk disket

Cakera liut

Mungkin ada anak-anak muda zaman sekarang yang tak pernah dengar atau mengenali apa itu floppy disk, cakera liut atau lebih popular dengan panggilan disket. Ia merupakan satu alat bersalut magnet, berbentuk cakera dan datang dalam tiga saiz. Semasa zaman awal PC, cakera liut ini digunakan sebagai peranti untuk menyimpan segala data. Setiap CPU komputer juga dipasang dengan pembaca cakera liut untuk membolehkan komputer membaca data dari cakera liut.

Kebanyakan disket tidak boleh menyimpan data melebihi 1MB. Ya, 1MB sahaja maksimum. Secara fizikal, disket mempunyai saiz yang besar dan memakan ruang untuk penyimpanan. Maka, tak hairanlah apabila pengusaha teknologi cepat-cepat tukar disket dengan mewujudkan cakera padat (Compact Disc, "CD") pula. Lama-kelamaan, nama disket semakin tenggelam dan tidak digunakan.

evolusi floppy disk disket

Kembali kepada sejarah PC

Semasa zaman komputer menggunakan perisian MS-DOS, pemacu disket ini dilabel dengan huruf 'A:'. Kemudian apabila teknologi berkembang dan sistem baru didatangkan dengan dua pemacu cakera liut untuk kapasiti data yang lebih besar, pemacu kedua ini dilabel pula sebagai 'B:'. 

Tiada lagi pemacu cakera yang ditambah kepada PC. Maka, kedua-dua label huruf ini kekal sebagai pemacu komputer.

cd vs disket

Era baru hard disk drive

Pada hujung 80-an, teknologi menjadi semakin pesat dan cakera keras mula menjadi semakin murah dalam industri perkakasan. Sejak itu, hard disk mula mendapat tempat dan menjadi komponen standard dalam kebanyakan komputer. Walau bagaimanapun, ketika ini, sistem disket masih lagi digunakan. Maka, apabila ada ketiga-tiga pemacu, secara logiknya, pemacu cakera yang baru ini pun dilabelkan sebagai 'C:'.

Masa berlalu dengan pantas dan pemacu cakera liut telah disingkirkan sepenuhnya dari sistem komputer dengan ketibaan zaman milenium. Namun, sehingga ke hari ini, huruf 'C:' bagi hard disk drive itu masih kekal digunakan.

negara korea utara nampaknya masih menggunakan disket

Selain itu, simbol disket juga masih kekal menjadi ikon "Save" dalam kebanyakan perisian office suite sehingga ke hari ini. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, disket mati meninggalkan "Save" ikon.

Sumber rujukan dan bacaan tambahan:

1. TodayIFoundOut

2. Stackoverflow

3. Gizmodo


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)