Pernahkah anda menonton berita, dokumentari atau rancangan televisyen di mana di dalamnya terdapat paparan skrin komputer atau TV sedang digunakan? Jika pernah, pasti anda perasan bahawa paparan skrin yang dirakam kamera itu terdapat kesan garisan yang bergerak-gerak padanya.

Hal yang sama juga berlaku sekiranya anda cuba mengambil gambar skrin komputer atau televisyen menggunakan kamera mahupun telefon pintar. Anda pasti tertanya-tanya mengapa perkara ini boleh terjadi. 

garisan pada skrin komputer atau tv

Seperti yang anda lihat pada gambar di atas, gambar di sebelah kiri adalah skrin komputer yang diperolehi melalui kaedah screenshot. Manakala gambar di sebelah kanan pula diambil menggunakan telefon pintar. Dapatkah anda melihat perbezaan di antara kedua-dua gambar ini?

Anda juga boleh cuba mengambil sendiri gambar skrin komputer menggunakan telefon pintar anda. Kemungkinan besar gambar yang diambil akan diliputi dengan 'corak pelangi' yang pelik tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

kesan garisan pada tv lama yang dirakam kamera 177

Fenomena yang sama juga dapat diperhatikan pada skrin televisyen dan komputer yang ditayangkan dalam filem atau rancangan TV. Fenomena ini menjadi lebih jelas kelihatan pada skrin televisyen lama jenis CRT (Cathode-ray tube). Berikut adalah penjelasan mengapa skrin TV dan komputer kelihatan berbeza dalam kamera berbanding melihatnya secara langsung.

Kebolehan otak memproses imej

Kita perlu benar-benar memahami dan menghargai bagaimana sebenarnya otak berfungsi. Apabila mata mula memandang sesuatu imej, otak sebenarnya yang akan memproses dan membuatkan anda dapat 'melihat' sesuatu. 

bagaimana otak memproses imej

Dengan kata lain, mata anda hanya menghantar sekumpulan foton (zarah tanpa jisim yang juga kuantum medan elektromagnet yang membawa tenaga, momentum dan momentum sudut) sahaja. Otaklah sebenarnya yang memproses dan membolehkan anda melihat sesuatu benda yang dipandang itu.

Apabila anda melihat gambar bergerak pula, pada hakikatnya gambar itu sendiri tidak bergerak. Sebaliknya, ia adalah satu koleksi gambar yang ditonjolkan secara pantas pada skrin. Perkara ini juga disebut sebagai frame rate.

perbezaan frame per second 664

Kemudian otak akan memproses gambar-gambar ini dan menjadikannya lancar sehingga anda berfikir bahawa gambar itu sebenarnya sedang bergerak dalam skrin. Semakin banyak frame rate yang ditayangkan semakin lancar sesuatu pergerakan itu dalam skrin.

Hampir semua filem Hollywood dirakamkan pada 24 fps (frame per second). Ini bermakna, setiap kali anda menonton filem Hollywood, anda sebenarnya melihat 24 imej statik yang ditayangkan pada skrin dalam satu saat. Filem aksi dan permainan video pula biasanya mempunyai frame rate yang lebih tinggi supaya gerakan kelihatan lebih lancar.

Moire atau corak berombak

garisan moire

Corak Moire adalah corak gangguan yang muncul apabila corak legap (bahan yang tidak membenarkan cahaya menembusinya) dengan jurang yang telus dilapisi corak yang serupa.

Gambar pada skrin komputer akan kelihatan ganjil kerana skrin diperbuat daripada tiga titik berwarna yang kecil (merah, biru dan hijau). Inilah mengapa tiga warna itu akan kelihatan pada skrin yang diambil menggunakan kamera hasil daripada pembentukan corak Moire tetapi sebenarnya corak pelangi ini tiada pada skrin.

Kadar Refresh

Satu lagi sebab mengapa terjadinya fenomena aneh pada skrin komputer atau TV adalah kadar refresh skrin itu. Bagi yang belum tahu, kadar refresh atau refresh rate adalah bilangan bingkai skrin digital (monitor desktop / komputer riba, TV dan lain-lain) yang boleh dipaparkan dalam sesaat.

tv moden mempunyai kadar refresh yang lebih tinggi

TV moden mempunyai kadar refresh yang lebih tinggi

Semakin tinggi kadar refresh sesebuah skrin itu, semakin seragam paparannya dan kurang kilauan yang dapat dilihat. Untuk maklumat yang lebih terperinci mengenai kadar refresh dan bagaimana ia memberi kesan kepada tontonan anda, klik di sini!

Sebuah skrin digital akan di refresh beberapa kali dalam sesaat. Mata kita tidak dapat menangkap proses ini kerana otak akan melancarkan pemandangan itu dan membuatkannya kelihatan konsisten tetapi kamera anda mampu melakukannya. Inilah salah satu sebab mengapa pandangan mata sebenar berbeza dengan kamera.

Skrin yang lebih lama akan dikemaskini atau di refresh oleh satu baris. Garis imbasan ini akan berjalan pada keseluruhan skrin sebanyak beberapa kali untuk mencipta imej pada skrin.

kesan moire pada skrin

Garis imbasan ini begitu pantas sehingga mata manusia tidak dapat menangkapnya. Jika anda mempunyai kamera berkelajuan tinggi, anda akan dapat menangkap garis imbasan ini terbentuk pada skrin.

Jika anda mengambil gambar skrin TV CRT yang lama, kamera biasa hanya akan dapat menangkap sebahagian skrin yang dinyalakan oleh garis pengimbasan ini.

Rujukan:

1. Wake Forest University

2. Wired

3. Tuts Plus



Hakcipta iluminasi.com (2017)