Rusuhan di Amerika Syarikat yang kerap berlaku disebabkan masalah segregasi dan ketidaksamaan etnik masyarakat di sana, tampak sukar mencapai solusi segera.

Apatah lagi melihat perpecahan di sana turut dipacu sentimen kerajaan Amerika Syarikat sendiri, terus mempertahankan tindakan keras yang dirasakan perlu ke atas kumpulan penjenayah di negara mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau demikian, beberapa solusi telah cuba diketengahkan oleh beberapa pihak bagi menyelesaikan masalah ini.

Salah satu usaha yang paling radikal, diumumkan oleh kerajaan Ghana apabila mereka menjemput etnik kulit hitam di Amerika Syarikat, untuk berhijrah ke negara mereka - bagi melarikan diri daripada penindasan yang dipercayai berleluasa.

Inisiatiaf jemputan pulang kepada etnik Afrika

presiden ghana black lives matter

Pada penghujung tahun 2018, kerajaan Ghana melalui Presiden Nan-Akufo Addo mengumumkan inisiatif terbaru yang bakal dijalankan pada tahun 2019, bagi menarik warga kulit hitam Afrika di seluruh dunia dalam usaha menyatukan mereka kembali di tanah asal mereka.

Tahun 2019 diisytiharkan oleh Ghana sebagai 'Tahun Kepulangan', sempena memperingati insiden tahun 1619 apabila kumpulan pertama hamba Afrika seramai lebih 20 orang yang 'diselamatkan' daripada sebuah kapal penjual hamba Portugis bernama San Juan Bautista.

Inisiatif besar-besaran kerajaan Ghana memujuk kembali etnik Afrika yang menjalani diaspora ke serata pelusuk dunia sudah dimulakan sejak Ghana merdeka lagi, pada tahun 1957.

Namun inisiatif ini hanya mula popular selepas kerajaan Ghana pada tahun 2000 meluluskan undang-undang, membenarkan warga Ghana memegang dua kewarganegaraan.

Dalam tahun yang sama, kerajaan Ghana juga mula melonggarkan kawalan ke atas akta imigeresen mereka, membenarkan mana-mana individu atau keluarga yang mempunyai susur galur keturunan Afrika tak kira warganegara mana sekalipun - untuk masuk ke negara itu tanpa perlu melalui kerenah birokrasi yang sulit.

The Joseph Project 2007

ghana pusat perhambaan afrika

Pada tahun 2007, sempena memperingati ulang tahun penghapusan sistem perhambaan, kerajaan Ghana melancarkan The Joseph Project bagi menggalakkan warga etnik Afrika pulang ke tanah asal mereka.

Dinamakan sempena figur Joseph dalam kisah kitab Bible, yang dikhianati abangnya sehinggakan dijual sebagai hamba - The Joseph Project menjadi langkah pertama kerajaan Ghana secara besar-besaran mahu menyatukan etnik Afrika.

Semua individu yang menyertai program The Joseph Project akan dibawa melawat lokasi-lokasi penting dalam sejarah masyarakat mereka, seperti kubu-kubu yang menempatkan golongan hamba.

Selain itu peserta juga akan dibawa melawat Pantai Assin Manso yang menjadi tempat di mana hamba dimandikan sebelum dinaikkan ke dalam kapal, daerah Salaga yang menempatkan 'pasar' di mana hamba dijual serta beberapa kawasan lain di mana nenek moyang mereka dikurung, diseksa dan dipergunakan penjajah.

Disebabkan status Ghana sebagai negara pertama Afrika yang berjaya membebaskan diri dari cengkaman penjajah, sehingga kini kerajaan Ghana menjadi pendahulu utama kepada usaha menyatukan semula komuniti Afrika yang dahulunya bersatu - tetapi telah berpecah belah disebabkan campur tangan kuasa asing.

Melihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat, kerajaan Ghana turut sama menawarkan peluang serupa tanpa berselindung lagi.

Pintu terbuka untuk etnik kulit hitam Amerika Syarikat

gambar ikonik black live olimpik

Sehingga tahun 2014, seramai 30,000 etnik Afrika yang menetap di Amerika Syarikat telah memilih Ghana sebagai rumah baru mereka dan angka ini dikatakan bakal meningkat, tahun demi tahun.

Pada penghujung tahun 2019, dalam sebuah majlis gilang gemilang, 100 orang warga Afrika-Amerika dan 26 lagi Afro-Caribbean diraikan selepas menjadi warganegara Ghana yang baru.

Faktor mencari kawasan persaraan yang sesuai untuk warga tua serta enggan menghadapi diskriminasi terus menjadi sebab utama kenapa angka kemasukan semula warga luar ke Ghana diramal terus bertambah.

Bagaimanapun, fokus terlalu besar kepada usaha menarik masyarakat kulit hitam luar untuk kembali telah menyebabkan beberapa masalah luar jangka timbul.

Harga belian dan sewaan kediaman di Ghana meningkat disebabkan ramai pelabur mengambil kesempatan ke atas kemasukan orang-orang luar.

Peniaga-peniaga juga turut menaikkan harga bagi mengaut untung akibat kemasukan pendatang baru, sama ada untuk melancong atau terus menetap di situ.

Itu semua tidak menghalang kerajaan Ghana untuk secara rasmi menjemput mana-mana warga Afrika-Amerika pulang semula ke Ghana, bagi meneruskan hidup - seandainya merasakan negara mereka tidak menghargai kehadiran mereka.

Pelawaan itu disuarakan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Ghana, Barbara Oteng-Gyasi pada 11 Jun 2020 untuk membolehkan mana-mana etnik Afrika pulang, membina kehidupan yang lebih bahagia bersama adik-beradik satu etnik yang lebih menghargai sesama mereka.

Jika anda berada di tempat etnik kulit hitam Afrika-Amerika - adakah anda akan menerima tawaran ini?

Rujukan

The African American who moved to Ghana 'to escape US racism'

2019: Year of return for African Diaspora




Hakcipta iluminasi.com (2017)