luis suarez dan patrice evra rasis

Masalah perkauman memang kerap berlaku di dalam permainan bola sepak dan isu ini bukanlah satu isu baru. Telah dilakukan pelbagai usaha dalam membantu meredakan insiden-insiden bersifat perkauman daripada terus berlaku, namun naluri manusia ada kalanya sukar untuk lari daripada memainkan warna kulit dan keturunan sebagai satu cara mudah untuk mendapat kredibiliti.

Melihat senarai ini, memang agak jelas sekali semua masalah berlaku melibatkan pemain kulit hitam sebagai sasaran. Berikut adalah lima insiden perkauman di kalangan pemain dan individu yang telah terlibat dengan sukan bola sepak dan mendapat liputan luas di seluruh dunia.

1. Thierry Henry digelarkan 'black s*it'

thierry henry dan jose antonio reyes rasis luis aragones

Setiap jurulatih perlu mempunyai kemahiran untuk memotivasikan pemain, tetapi lain pula bagi Luis Aragones yang mahu meyakinkan salah seorang pemain muda Sepanyol ketika itu, Jose Antonio Reyes.

Reyes yang bermain di kelab yang sama iaitu Arsenal dengan penyerang Perancis, Thierry Henry mungkin menghadapi masalah rendah diri, kerana kerap dibandingkan dengan penyerang legenda Perancis itu. Menggunakan perkataan "Tell that negro de mierda [black shit] that you are much better than him," Aragones cuba meyakinkan Reyes.

Ayat beliau didengari sepenuhnya oleh wartawan yang membuat liputan dan disiarkan di media Sepanyol. Tindakan Aragones mendapat kecaman hebat masyarakat di Perancis. Aragones hanya didenda EUR3,000 oleh FIFA, membuatkan Henry kurang gembira dengan jumlah denda tersebut. Hubungan Henry dan Reyes dingin selepas insiden itu walaupun bermain dalam kelab yang sama. (rujukan)

2. John Terry dan 'f*cking black c*nt'

anton ferdinand john terry rasis

Dalam perlawanan bola sepak di antara pasukan Chelsea dan QPR pada 23 Oktober 2011, kapten pasukan England ketika itu John Terry didakwa telah menuturkan kepada Anton Ferdinand, seorang pemain England lain kata-kata "Anton you f***ing black c*** f***ing nobhead."

Dalam perbicaraan mahkamah, mahkamah mendapati Terry tidak berjaya dibuktikan menuturkan ayat tersebut lalu dia dibebaskan daripada tuduhan. Bagaimanapun, persatuan bola sepak England melakukan siasatan sendiri selepas itu dan mendapati ada asas kukuh insiden itu benar-benar berlaku.

Terry dilucutkan jawatannya sebagai kapten pasukan England, digantung empat perlawanan dan didenda sebanyak £220,000. Ekoran hukuman itu, Terry mengumumkan persaraannya daripada karier bola sepak dengan pasukan kebangsaan England. (rujukan)

3. Ron Atkinson gelar pemain kulit hitam malas

atkinson desailly kesilapan semasa siaran langsung

Dikenali sebagai salah seorang pengulas bola sepak terbaik di England, Ron Atkinson akhirnya terpalit dengan satu insiden yang memusnahkan seluruh karier yang dibina selama ini. Bertugas sebagai pengulas dengan saluran ITV pada 21 April 2004 sebagai pengulas perlawanan separuh akhir di antara Chelsea dan Monaco, Atkinson tidak menyedari mikrofonnya masih dipasang dan siaran belum ditamatkan.

Atkinson memberikan komen berkenaan prestasi pemain pertahanan Chelsea dari Perancis, Marcel Desailly dalam perlawanan itu. Menyifatkan persembahan pemain itu sebagai "what is known in some schools as a f***ing lazy, thick n****r" - dialognya disiarkan secara langsung kepada penonton di seluruh dunia. Atkinson dipecat daripada terus menjadi pengulas dan kariernya menjunam teruk hanya kerana kesilapan yang berlaku tak sampai 10 saat. (rujukan)

4. Marc Zoro digelarkan monyet oleh peminat Inter Milan

adriano dan marc zoro semasa perlawanan

Salah satu pemain yang paling awal bangun melawan insiden perkauman dalam sukan bola sepak adalah Marc Zoro, bekas pemain kelab Messina di Seria A, Itali. Penyokong Itali cukup terkenal gemar melaungkan sentimen bersifat perkauman kepada pemain-pemain kulit hitam di stadium dan Zoro adalah antara pemain yang kurang bernasib baik semasa bermain menentang kelab Inter Milan.

Digelarkan 'monyet' sepanjang permainan, Zoro akhirnya kecewa, cuba mengambil bola dan memboikot permainan. Dia berjalan meninggalkan padang sambil cuba ditenteramkan oleh dua orang pemain kulit hitam lain iaitu Adriano dan Obafemi Martins yang mengatakan perkara itu adalah sesuatu yang selalu terjadi pada mereka juga.

Zoro berjaya menghabiskan permainan namun tindakannya meninggalkan padang memberi kesan besar pada liga bola sepak Itali selepas itu. Langkah-langkah untuk membendung masalah perkauman diperkenalkan. Walau bagaimanapun, dalam pertemuan kedua kelab itu selepas insiden itu berlaku, penyokong Inter Milan menaikkan kain rentang yang bertulis "peanuts and bananas are the pay for your infamy." (rujukan)

5. Luis Suarez dan Patrice Evra

luis suarez dan patrice evra insiden rasis

Perlawanan di antara Liverpool dan Manchester United kebiasaannya berlangsung dalam keadaan panas, berdasarkan reputasi kedua-dua buah kelab di England. Tidak menghairankan insiden panas mampu berlaku apabila kedua-dua kelab bertembung. Suarez yang bermain berhadapan dengan Evra sejak mula permainan dengan beberapa insiden pertembungan sudah berlaku. Kedua-dua pemain dilihat kerap berperang mulut sepanjang perlawanan.

Apabila perlawanan tamat, Evra melakukan laporan aduan mengatakan Suarez menggelarkannya dengan perkataan 'negro.' Suarez menafikan ada unsur perkauman dalam ucapannya kerana di Uruguay negara asal beliau, perkataan itu merupakan satu perkataan yang biasa diucapkan merujuk kepada warga Uruguay yang berkulit hitam.

Insiden itu mendapat liputan meluas peminat dan media, dengan banyak pihak memberikan pandangan masing-masing. Liverpool menyatakan sokongan kepada Suarez dengan memakai baju bertulis nama Suarez, namun tindakan itu dikecam banyak pihak kerana bersifat tidak sensitif.

Siasatan mendapati Suarez bersalah dan dikenakan penggantungan lapan perlawanan serta denda £40,000. Walaupun begitu kisah ini berakhir dengan gembira. Pada 2016, Evra memberikan isyarat dia sudah melupakan insiden di antara mereka selepas memuji Luis Suarez sebagai pemain penyerang terbaik kerana memenangi anugerah kasut emas UEFA tahun tersebut.

Selepas Perancis memenangi perlawanan suku akhir menentang Uruguay semasa Piala Dunia 2018, Evra tidak dapat menahan diri dan mentertawakan Luis Suarez kerana terkeluar daripada persaingan Piala Dunia. Seperti yang kita tahu, Perancis akhirnya memenangi kejohanan tersebut dan kami pasti Evra ada banyak idea bernas untuk mengusik Suarez di masa akan datang.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)