Negara China sememangnya terkenal dengan undang-undang pelik dan pelbagai perkara kontroversi. Contohnya, penjualan telur tiruan dan sayur tiruan. Akibat jumlah penduduk yang terlalu ramai yakni melebihi 1 bilion, maka ramai pihak yang mengambil kesempatan menjual produk-produk tiruan kerana terdapatnya permintaan.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi pula 5 barangan pelik yang dijual di China. Produk-produk ini dianggap pelik kerana tidak dijual dimana-mana tempat lain di dunia ini dan sesetengahnya juga mengundang kontroversi daripada masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Ketam hidup daripada mesin layan diri

ketam hidup dalam vending machine

Untuk mendapatkan barangan basah yang segar seperti ikan dan daging, biasanya kita akan ke pasar. Walau bagaimanapun, Twin Lakes Crab Co iaitu sebuah syarikat pengedar ketam di China telah melakukan satu kelainan dengan menjual ketam hidup melalui mesin layan diri (vending machine).

Vending machine yang digunakan sama sahaja dengan mesin biasa dan mereka meletakkan ketam yang masih hidup itu dalam bekas khas yang mempunyai lubang saluran udara. Suhu dalam vending machine tersebut ditetapkan pada suhu 5 darjah Celcius, iaitu cukup sejuk untuk memastikan kesegaran ketam tersebut dan tidak terlalu sejuk sehingga membunuhnya.

2. Teh Panda

teh panda

Sama seperti orang Jepun, orang China juga mengamalkan budaya meminum teh pada setiap hari. Maka, sudah tentulah akan wujud produk-produk teh premium yang didakwa mempunyai pelbagai khasiat tambahan. Salah satunya adalah teh panda. Bagaimanakah teh ini dihasilkan? Daripada najis panda yang telah dikeringkan.

Harganya juga sangat mahal, iaitu $77,000 untuk satu kilogram serbuk teh ini. Secara teorinya, panda hanya memproses 30% daripada buluh yang dimakan manakala selebihnya akan dikeluarkan sebagai najis. Selain pelbagai nutrien lain, buluh dikatakan mempunyai antioksidan yang mampu menghalang penyakit kanser. Oleh itu, teh ini dipasarkan sebagai tonik untuk menghindari penyakit kanser.

3. Udara dalam tin

udara bersih dalam tin

Satu ketika dahulu, kualiti udara di China sangat teruk terutamanya di bandar-bandar besar. Polisi-polisi baru yang diperkenalkan oleh kerajaan sedikit sebanyak telah meningkatkan kualiti udara di China.

Menyedari akan peluang yang ada, sebuah syarikat, Chen Guangbaio telah bertindak menjual udara bersih yang diletakkan dalam tin kecil. Satu tin kecil udara bersih ini dijual sekitar 5 Yuan dan terdapat pelbagai jenis udara segar yang dijual yang diambil daripada tempat-tempat yang berbeza.

4. Kura-kura hidup sebagai cenderahati

haiwan hidup sebagai cenderahati

Bukan sahaja pelik, malah penjualan kura-kura hidup yang diletakkan dalam plastik tertutup sebagai cenderahati ini juga menimbulkan kontroversi dan menarik perhatian persatuan pencipta haiwan. Haiwan ini akan diletakkan dalam plastik yang berisi cecair khas yang mengandungi nutrien bagi haiwan ini untuk hidup selama 3 hingga 4 bulan.

Daripada gambar yang tersebar, ramai orang mendakwa bahawa haiwan ini mungkin tidak boleh hidup lama tanpa oksigen. Kebanyakan pihak yang membeli adalah kerana mempercayai bahawa cenderahati ini boleh membawa tuah. Tidak kurang juga yang membeli kerana hendak menyelamatkan dengan melepaskan semula haiwan ini ke tasik.

5. Teh yang dipetik oleh wanita yang masih dara

memetik daun teh

Satu lagi produk berasaskan teh yang dijual di China. Di ladang teh Jiuhua yang terletak di daerah Henan, hanya wanita yang masih dara diambil bekerja untuk mengutip daun teh. Bukan itu sahaja, mereka tidak dibenarkan menyentuh daun tersebut dengan tangan sebaliknya perlu menggunakan mulut dan meletakkan daun tersebut ke dalam bakul kecil yang disangkut pada dada.

Menurut syarikat tersebut, amalan tersebut bagi mengikut kepercayaan orang dahulu bahawa daun teh biasanya dikutip oleh pari-pari menggunakan mulut mereka. Syarikat itu juga mendakwa, daun teh yang dikutip akan menyerap aura positif daripada wanita yang masih dara dan memberi kebaikan kepada peminumnya.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)