Eric Yuan adalah pengasas dan CEO kepada startup panggilan video Zoom Technologies, Inc. yang membina empayar platform bernilai $USD35 bilion ini dalam masa 9 tahun.  Nilai kekayaan lelaki berusia 49 tahun ini naik mendadak sebanyak 112% kepada $USD7.57 bilion sejak 3 bulan lalu, ketika mana seluruh dunia sedang mengalami krisis ekonomi sebagai kesan tidak langsung Covid-19.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak sebelum wabak ini merebak dengan meluas lagi, harga saham Zoom sudah meningkat dengan pantas. Hanya selepas setahun menjadi seorang jutawan (billionaire), pendapatan Eric terus bertambah melebih $USD7.5 bilion. Beliau enggan memberi komen tentang nilai kekayaan, kerjaya mahupun kehidupan peribadinya apabila disoal media.

Siapa Sebenarnya Eric Yuan?

siapa sebenarnya eric yuan

Eric Yuan dilahirkan di wilayah Shandong sekitar tahun 1969/1970. Kedua ibu bapanya merupakan jurutera perlombongan. Selepas menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda matematik, beliau bekerja selama 4 tahun di Jepun. Kemudiannya, beliau membuat keputusan untuk berpindah ke Silicon Valley, California selepas berasa terinspirasi mendengar ucapan Bill Gates berkenaan potensi dot-com, yakni dunia internet. 

Amerika Syarikat telah menolak permohonan visa Eric sebanyak hampir 30 kali sebelum membenarkan beliau berpindah ke California pada tahun 1997, ketika beliau hanya baru berusia 27 tahun. Menurutnya, permohonannya ditolak kerana pertengkaran yang berlaku antara beliau dan pegawai imgresen yang memproses permohonannya. 

Kehidupan Awal di Amerika Syarikat

eric yuan sampai di amerika syarikat

Ketika mula sampai ke Amerika Syarikat, beliau sangat tidak fasih berbahasa Inggeris, jadi dia lebih meletakkan fokus kepada kerjanya. Menurut Eric, beberapa tahun awal, beliau lebih banyak meluangkan masa menulis kod, dan sangat sibuk. Sekali sekala, beliau akan meluangkan masa untuk bermain bola sepak di padang, yang merupakan hobinya.

Eric bekerja dalam bidang telekonferensi. Pada tahun 2007, ketika beliau bekerja di sebuah syarikat persidangan video yang dikenali sebagai WebEx, di mana kemudiannya syarikat ini dibeli oleh sebuah firma gergasi teknologi, iaitu Cisco Systems. Pembelian ini bermakna Eric turut diserap masuk ke syarikat besar itu. Sebelum mengasaskan Zoom, Eric merupakan Naib Presiden di Cisco. 

Lahirnya Idea Untuk Mengasaskan Zoom

eric yuan dan isteri

Ketika masih tinggal di China, Eric dan kekasihnya menuntut di dua buah kolej berasingan, yang dipisahkan dengan jarak bersamaan 10 jam perjalanan kereta api. Kedua mereka kemudiannya berkahwin ketika beliau berusia 22 tahun. 

Saya hanya boleh melihatnya dua kali dalam setahun, dan ianya mengambil masa lebih daripada 10 jam untuk sampai ke sana menggunakan kereta api. Saya sangat muda pada ketika itu, sekitar usia 18 atau 19 tahun, dan saya fikir alangkah bagusnya sekiranya wujud sejenis alat pada masa akan datang di mana saya boleh melihat dan bercakap dengannya hanya dengan menekan sebuah butang. 

Situasi ini memberi idea kepada Eric untuk menggabungkan video ke dalam sistem persidangan berasaskan telefon, seperti yang dimiliki oleh Cisco. Beliau ingin menghasilkan sistem persidangan yang lebih mesra pengguna yang lebih menarik, maka terlahirlah Zoom. Aplikasi ini dikenali kerana latar belakang mayanya, yang membolehkan pengguna untuk kelihatan seolah-olah berada di pantai mahupun di Jambatan Golden Gate. 

Eric Yuan Gagal Mendapat Dana Pelaburan Untuk Startup Zoom

eric yuan gagal yakinkan cisco

Ketika masih bersama Cisco pada tahun 2011, Eric membentangkan idea sistem persidangan video kepada pihak pengurusan. Namun, bos-bosnya itu menolak idea beliau mentah-mentah, menyebabkan beliau serta merta meninggalkan syarikat teknologi itu untuk mengasaskan Zoom. 

Cisco lebih memberi perhatian kepada rangkaian social, dan cuba untuk menghasilkan sebuah platform seakan Facebook. Bagi beliau, mereka telah melakukan sebuah kesilapan besar. Tiga tahun selepas pemergiannya, pihak pengurusan Cisco menyedari bahawa apa yang dibentangkan Eric sebelum ini adalah betul. 

Sementara itu pula, ketika di awal kelahiran Zoom, Eric gagal untuk meyakinkan para pelabur untuk menyokong perniagaan barunya itu. Jadi, beliau terpaksa meminjam duit daripada rakan-rakan dan keluarga untuk pelancaran Zoom. Pelabur enggan mengambil risiko kerana pada pandangan mereka, pasaran untuk produk sedemikian adalah terlalu sesak, yakni terlalu ramai ingin menghasilkan produk yang lebih kurang sama fungsinya. 

Isteri Eric juga turut mempersoalkan tindakannya untuk meninggalkan Cisco, namun beliau berjaya meyakinkannya. Kata beliau kepada isteri, "Saya tahu ini adalah perjalanan yang jauh dan sangat mencabar, namun sekiranya saya tidak mencuba, saya akan menyesal."

Eric Yuan Terlibat Dalam Setiap Aspek Perniagaannya

eric yuan aktif dalam perniagaannya

Ketika di awal penubuhan Zoom, bekas jurutera itu terlibat dalam setiap aspek perniagaanya, termasuklah servis pelanggan. 

Ketika peringkat awal penubuhan Zoom, saya sendiri akan menghantar e-mel kepada setiap pelanggan yang membatalkan perkhidmatan kami. Seorang pelanggan membalas dengan menuduh saya menghantar e-mel yang dihasilkan secara automatik menyamar sebagai CEO, dan berkata bahawa Zoom merupakan syarikat yang tidak jujur.


Saya membalas dengan cuba untuk meyakinkannya bahawa e-mel itu memang sebenarnya daripada saya, dan bukannya e-mel pemasaran. Dia masih enggan mempercayai saya, jadi saya membalas dengan menawarkan untuk bertemu dengannya melalui panggilan Zoom ketika waktu itu juga bagi membuktikan bahawa beliau yang menulis e-mel itu. Panggilan video itu tidak pernah berlaku, namun pelanggan tersebut berhenti menuduh Zoom tidak jujur. 

Eric Yuan Bergelar Jutawan (Billionaire) Selepas Saham Terbitan Awam (IPO) Pada April 2019

eric yuan jadi jutawan selepas ipo

Pelancaran saham Zoom adalah antara IPO yang paling berjaya untuk tahun 2019, menjadikan nilai firma ini lebih tinggi berbanding syarikat aplikasi Lyft dan Pinterest. Harga saham Zoom naik 72 peratus pada hari pertama ianya diniagakan. Kini, syarikat ini bernilai sekitar $USD35 bilion, dan mempunyai sekitar 30,000 pelanggan korporat, termasuklah Samsung, Uber, Walmart dan Capital One.

Penggunaan Zoom telah berkembang sebanyak 1,900 peratus sejak December 2019 apabila kebanyakan negara mula mengambil langkah pencegahan Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan, di mana orang ramai digalakkan duduk di rumah.

Nilai saham Zoom telah naik mendadak sebanyak 2 kali ganda sejak 3 bulan lalu. Nilai kekayaan Eric sebanyak $USD7.57 bilion adalah daripada majoriti 19 peratus sahamnya di dalam Zoom, dan beliau kini berada di kedudukan ke-192 senarai 500 orang terkaya dunia yang dikeluarkan oleh majalah Bloomberg. Sebelum tahun 2020, beliau langsung tidak disenaraikan oleh Bloomberg.

Tahap Keselamatan Zoom Yang Lemah Mengundang Kontroversi

tahap sekuriti zoom lemah

Dengan pandemik Covid-19 yang semakin meluas, PKP yang lebih ketat terus dilaksanakan di kebanyakan negara. Platform Zoom terus digunakan secara meluas dalam tempoh PKP ini, namun tahap sekuritinya yang lemah terus mengundang kontroversi.

Untuk membaca dengan lebih mendalam tentang kontroversi ini, sila klik pautan di bawah ini:

Adakah Aplikasi ZOOM Selamat Digunakan?

Kesimpulan

Walaupun datang dari latar belakang orang kebanyakan, Eric Yuan berjaya menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa. Namun, beliau tetap merendah diri walaupun memiliki kekayaan luar biasa, kerana menurut Eric, kekayaan tidak memberi kebahagiaan kepadanya. Beliau lebih teruja sekiranya dapat meyakinkan orang ramai untuk bekerja dari mana-mana lokasi mereka berada. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. businessinsider.my
  2. medium.com
  3. ft.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)