pengaturcara pertama dunia 329

Dalam dunia pengaturcaraan komputer yang dipelopori kaum lelaki, nama Ada Lovelace mungkin kurang dikenali. Walau bagaimanapun, wanita ini bukan calang-calang individu kerana beliau merupakan pengaturcara pertama di dunia!

Ada Lovelace atau nama penuhnya Augusta Ada King dilahirkan pada 10 Disember 1815 di London. Beliau terkenal kerana menulis program komputer pertama di dunia sebelum komputer wujud! Malangnya bagi dunia, hidupnya tidak lama. Beliau meninggal di London akibat barah rahim pada 27 November 1852.

Apa yang uniknya beliau menulis algoritma mesin pertama di dunia untuk mesin pengkomputeran awal yang hanya ditulis di atas kertas. Ada Lovelace adalah seorang ahli matematik hebat tetapi namanya kurang dipopularkan memandangkan ketika 1840-an, golongan wanita sering didiskrimasi dan direndah-rendahkan oleh masyarakat.

Minat mendalam terhadap matematik

mesin pengiraan pertama 149

Ada Lovelace adalah anak perempuan penyair terkenal Lord Byron. Perkahwinan kedua ibu bapanya hanya bertahan lebih daripada setahun sebelum keduanya bercerai. Amat malang buat Ada kerana beliau tidak pernah bertemu ayahnya.

Ibunya, Anna Isabella Milbanke, merupakan seorang yang pintar dan berpendidikan tinggi. Ada Lovelace tidak pernah mengenali ayahnya yang meninggal ketika Ada Lovelace berusia lapan tahun.

Ibunya amat menitikberatkan pendidikan bagi anaknya ini bagi memastikan Ada Lovelace tidak terikut-ikut dengan perangan "gila" bapanya. Maka, Ada Lovelace  diperkenalkan kepada pengajian muzik, bahasa Perancis, sains dan matematik. Walau bagaimanapun, matematik lebih menarik minatnya.

Permulaan dalam bidang pengaturcaraan

analytical engine

Sebahagian mesin Analytical Engine yang sempat dibina

Pada tahun 1833, Ada Lovelace yang masih seorang remaja telah bertemu dengan profesor matematik dari Cambridge University, Charles Babbage, yang telah mencipta Difference Engine, sebuah komputer mekanikal yang direka untuk menghasilkan jadual matematik secara automatik dan bebas ralat.

Charles Babbage tidak pernah membina mesin sebenar Difference Engine kerana masalah peribadi dan masalah kewangan untuk membangunkannya. Ada Lovelace terinspirasi oleh prototaip Difference Engine dan sejak pertemuan itu keduanya berkawan rapat.

Menjelang tahun 1834, Charles Babbage telah memulakan pula perancangannya merekabentuk mesin Analytical Engine, komputer tujuan umum pertama yang menggunakan punch card untuk input dan outputnya. Mesin ini juga menghadapi masalah kewangan dan tidak pernah dibina sepenuhnya.

Pada tahun 1843, Ada Lovelace menerjemahkan sebuah makalah Perancis yang ditulis oleh ahli matematik Itali, Luigi Menabrea mengenai Analytical Engine. Beliau juga menambahkan ribuan kata-kata catatannya sendiri ke kertas itu. Lama-kelamaan, beliau menyedari bahawa Analytical Engine itu turut dapat menjalankan urutan operasi matematik yang lebih luas.

Contoh yang ditulisnya adalah cara mengira nombor Bernoulli dan tulisannya dianggap oleh sejarawan komputer sebagai program komputer pertama. Beliau bahkan membuat spekulasi bahawa Analytical Engine dapat digunakan untuk melakukan operasi pada "hal-hal lain selain angka" seperti nota muzik.

Ramalan kewujudan komputer

sejarah penciptaan komputer

Selain daripada itu, Ada Lovelace adalah seorang yang berwawasan jauh. Beliau memahami bahawa nombor dapat digunakan untuk mewakili lebih dari sekadar kuantiti dan mesin yang dapat memanipulasi angka dapat dicipta untuk memanipulasi data yang diwakili oleh angka.

Beliau meramalkan bahawa mesin seperti Analytical Engine dapat digunakan untuk menyusun muzik, menghasilkan grafik dan berguna untuk sains. Sudah tentu, semua ramalan itu menjadi kenyataan dalam 100 tahun kemudian dengan terciptanya komputer.

Malangnya, hanya sebilangan kecil Analytical Engine yang pernah dibina dan Ada Lovelace meninggal pada tahun 1852. Namun, kemasyhurannya tetap ada. Beliau memberikan namanya kepada bahasa pengaturcaraan Ada.

Selain itu, setiap tahun pada hari Selasa minggu kedua pada bulan Oktober, sambutan Hari Lovelace Ada diadakan bagi mennghargai sumbangan wanita untuk sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. 

Lebih dari seratus tahun selepas kematiannya, nota anotasi Lovelace diterbitkan semula dan kisah hidupnya telah diketengahkan dalam beberapa drama, bermula pada tahun 70an dengan Childe Byron (1977) dan terbaru, drama yang diterbitkan pada tahun 2015 bertajuk Ada and Memory Engine.

Kredit:

  1. Britannica Encylopaedia
  2. World Atlas
  3. The New Yorker


Hakcipta iluminasi.com (2017)